Produk Pelangsing Bukan Jalan Pintas Untuk Kurus

Produk pelangsing merangkumi produk yang diambil secara oral (melalui mulut) bagi tujuan untuk mengurangkan berat badan. Contoh produk pelangsing badan termasuklah produk suplemen dalam bentuk tablet dan kapsul serta ubat yang mempunyai kesan pelangsingan badan. Ubat-ubatan ini merupakan Ubat Terkawal, misalnya seperti orlistat, phentermine dan liraglutide yang boleh didapati melalui doktor atau ahli farmasi, sama ada dengan atau tanpa preskripsi, bergantung kepada kumpulannya. Selain itu, terdapat juga produk yang dipasarkan sebagai produk minuman, contohnya seperti teh dan serbuk berperisa buah-buahan yang perlu dibancuh.

Permintaan terhadap produk pelangsing badan dilihat kian meningkat kini kerana sesetengah pihak mempunyai tanggapan bahawa produk ini berkesan untuk menguruskan badan dalam tempoh yang singkat. Malah, ada juga yang bergantung sepenuhnya kepada produk pelangsing kerana terlalu mempercayai dakwaan keberkesanan dan keselamatan produk tersebut yang diiklankan secara meluas oleh penjualnya. Persoalannya, adakah produk pelangsing benar-benar berkesan dan selamat?

Produk Pelangsing Yang Dicampurkan Dengan Bahan Terlarang

Secara umumnya, produk pelangsing yang berasaskan bahan semula jadi seperti ekstrak tumbuhan dan herba hanya dapat menghasilkan kesan dengan perlahan dan perlu diambil secara berterusan. Oleh sebab itu, terdapat produk ini yang sengaja dicampurkan dengan bahan terlarang untuk membolehkannya memberikan kesan yang lebih cepat dan sekali gus melariskan penjualan produk. Hal ini menimbulkan isu keselamatan kerana bahan terlarang yang dicampurkan itu berisiko menyebabkan pelbagai kesan sampingan, terutamanya jika diambil secara berterusan dan tanpa pengawasan doktor.

Antara bahan terlarang yang sering dikesan dicampurkan dalam produk pelangsingan badan ialah sibutramine. Sibutramine merupakan Ubat Terkawal yang digunakan untuk rawatan obesiti dan hanya boleh diberikan oleh doktor selepas penilaian menyeluruh pesakit dilakukan. Walau bagaimanapun, pada tahun 2010, kebanyakan negara termasuk Malaysia telah menarik balik sibutramine daripada pasaran. Penggunaan sibutramine diharamkan berikutan terdapat peningkatan risiko kesan sampingan kardiovaskular seperti kegagalan fungsi jantung dan strok.

Selain sibutramine, terdapat juga produk pelangsing yang dicampur dengan phentermine. Phentermine ialah sejenis Ubat Terkawal yang bertindak terhadap sistem saraf pusat dan seterusnya merencat rasa lapar. Ubat ini kebiasaannya digunakan dalam rawatan obesiti bagi pesakit yang mempunyai faktor risiko lain seperti hipertensi, diabetes dan paras kolesterol yang tinggi. Phentermine hanya dapat diperoleh dengan preskripsi daripada doktor.

Kesan Pengambilan Produk Pelangsing Yang Dicampur Dengan Bahan Terlarang

Produk pelangsing yang dicampurkan dengan sibutramine atau phentermine mungkin dapat memberikan kesan penurunan badan dengan cepat. Namun, produk ini turut berisiko mendatangkan kesan sampingan yang berbahaya kepada kesihatan.

Sibutramine telah dilaporkan dapat menyebabkan serangan jantung akibat pembekalan darah yang tidak mencukupi kepada otot jantung. Kesan sampingan lain sibutramine termasuklah pening, sembelit, pedih ulu hati, mulut kering, rasa mual dan gangguan tidur. Terdapat juga laporan menunjukkan segelintir pengguna sibutramine ini mengalami perubahan emosi dan gangguan mental. Malah, sibutramine juga boleh merosakkan organ utama lain seperti hati dan buah pinggang jika diambil dalam jangka masa yang panjang.

Bukan itu sahaja, individu yang menjadi kurus dengan bantuan sibutramine dan phentermine berkemungkinan untuk mendapat rebound weight gain secara mendadak. Hal ini kerana kedua-dua ubat ini bertindak dengan merencat selera makan dan mengurangkan rasa lapar. Proses penurunan berat badan yang berlaku hanya disebabkan pengurangan pengambilan kalori semata-mata dan tidak dibantu dengan pengubahsuaian gaya hidup.

Nasihat Untuk Orang Awam

Produk pelangsing dalam kategori Ubat Terkawal dan suplemen yang hendak diambil haruslah dipastikan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Hal ini demikian kerana produk yang berdaftar telah diuji dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanannya.

Orang awam boleh membuat semakan status pendaftaran produk-produk ini menerusi fungsi “Carian Produk” atau “Product Search” yang terdapat dalam laman web NPRA (www.npra.gov.my) atau melalui aplikasi telefon pintar “NPRA Product Status”. Aplikasi ini boleh dimuat turun daripada “Google Play Store”, “Apple Apps Store” atau “Huawei AppGallery”. Semakan boleh dilakukan dengan memasukkan salah satu daripada input carian, seperti nama produk, bahan aktif atau nombor pendaftaran.

Produk pelangsing dalam kategori makanan dan minuman pula tidak perlu berdaftar dengan KKM. Walau bagaimanapun, produk-produk ini tidak boleh diiklankan dengan sebarang tuntutan kesihatan. Apatah lagi dengan dakwaan yang melampau seperti mampu mengurangkan berat badan dalam masa yang singkat dan dapat melangsingkan tubuh tanpa perlu mengambil diet sihat dan bersenam.

Oleh sebab itu, orang awam haruslah lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan iklan produk pelangsing badan, terutamanya yang banyak terdapat dalam media sosial. Elak daripada terpengaruh dengan iklan yang menjanjikan perubahan drastik serta testimoni daripada individu lain. Jaminan keberkesanan produk tanpa bukti saintifik dan testimoni adalah bentuk pembuktian yang paling lemah dan boleh direka-reka untuk menarik perhatian pengguna.

Orang awam disaran untuk sentiasa membaca maklumat yang tertera pada label produk pelangsing dengan teliti dan mematuhi arahan pengambilan yang disarankan. Sekiranya mengalami kesan sampingan haruslah berhenti mengambil produk tersebut secara serta-merta dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

Individu yang ingin menurunkan berat badan dinasihatkan untuk merujuk ahli profesional kesihatan bagi mendapatkan panduan pengurusan berat badan yang betul. Pengamalan gaya hidup sihat menerusi diet yang seimbang dan aktiviti fizikal yang konsisten dapat membantu menurunkan berat badan dengan lebih sihat dan selamat. Selain itu, dapatkan juga nasihat dan pandangan doktor atau ahli farmasi sekiranya ingin mengambil sebarang produk pelangsing.

Orang awam turut digalakkan untuk melaporkan aduan atau menyalurkan maklumat tentang penjualan produk pelangsing yang disyaki tidak berdaftar atau iklan produk pelangsing dalam kategori makanan dan minuman yang mempunyai tuntutan kesihatan. Aduan atau maklumat boleh dikemukakan menerusi portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) KKM di alamat https://moh.spab.gov.my.

Tiada Jalan Pintas Untuk Menurunkan Berat Badan

Kesedaran orang awam tentang bahaya pengambilan produk pelangsing adalah kunci utama untuk membendung penjualannya yang berleluasa di Malaysia. Apabila kurangnya permintaan kepada produk pelangsing yang meragukan ini, maka kuranglah produk-produk ini dijual dalam pasaran.

Keinginan untuk memiliki tubuh yang langsing dalam masa yang singkat dengan mengambil produk pelangsing secara sembarangan boleh membahayakan kesihatan. Pengambilan diet yang seimbang di samping melakukan aktiviti fizikal secara berterusan merupakan cara yang lebih baik untuk mengawal berat badan. Tiada jalan pintas untuk menguruskan badan.

Kenali ubat anda, sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum).

(Artikel tulisan saudara Mohd Shahiri Abd Ghapar ini merupakan hasil kerjasama antara pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Solidaritas)

Komen