Di dalam istilah Latin, terdapat satu terma undang-undang yang diberi nama Mandamus (kami memerintahkan). Ia adalah satu perintah mahkamah (mandamus) yang mengarahkan atau memaksa mahkamah bawahan, pegawai kerajaan atau agensi awam untuk melaksanakan suatu tugas tertentu yang diwajibkan oleh undang-undang. Dalam erti kata lain ia adalah arahan yang tidak boleh diingkari, dari atas ke bawah.
Mandamus bagaimanapun bukanlah boleh dilaksanakan semberono. Ia adalah satu arahan yang jelas di mana pihak yang disuruh itu pula mempunyai kewajipan undang-undang yang nyata untuk melaksanakan tindakan tersebut. Dalam erti kata lain, yang disuruh untuk melaksanakannya mestilah mempunyai kapasiti untuk melakukan. Arahan mandamus juga tiada budi bicara, ini kerana tindakan yang diperintahkan itu bersifat wajib, dan bukan pula pilihan, atau pertimbangan peribadi. Ia juga satu bentuk jalan terakhir iaitu ia hanya boleh dipohon, atau dipaksa-laksanakan apabila tiada lagi remedi undang-undang lain yang adil atau mencukupi.
Dalam Adat Perpatih, ada banyak pantang larang dan kesalahan berkait aturan adat. Sebagai contoh jika pembesar adat itu mengacau lopak orang di mana ia adalah larangan keras agar tidak melanggar sempadan, menceroboh, atau masuk campur urusan pentadbiran luak (wilayah) Undang yang lain. Terdapat pula kesalahan melangkah hukum dan muafakat di mana ada pihak melanggari tindakan melangkaui peranan Lembaga Yang Delapan atau bertindak sewenang-wenang tanpa permuafakatan.
Sayugia diingatkan kesalahan yang disebut di atas bukanlah kesalahan jenayah besar yang melibatkan nyawa, tubuh badan dan harta benda. Dalam amalan Adat Perpatih terdapat undang-undang yang dikenali sebagai Undang-Undang Nan Lapan, iaitu lapan jenayah melibatkan membunuh (tikam bunuh), berzina (sumbang salah), mencuri (maling curi), menyamun (samun sakal), memberontak (dahaga dahagi), rasuah (umbuak umbai), membakar (siar bakar), dan santau menyantau (upas racun).
Perhatikan, rasuah adalah kesalahan yang berat dalam Adat Perpatih. Maka tidaklah menghairankan apabila Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah mengenainya selepas 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan mengangkat sumpah jawatan mereka; di mana barisan EXCO baharu diingatkan hendaklah melaksanakan amanah secara jujur, adil dan profesional dan tidak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi, keluarga atau sahabat, terutamanya berhubung tender dan projek kerajaan.
Dalam amalan adat Perpatih ada kesalahan dikenali sebagai Kesalahan Sumbang Dua Belas dan antara lain adalah; sumbang pemandangan, sumbang percakapan, sumbang perjalanan, sumbang kedudukan, sumbang salah, dahaga dahagi, kerut muka, memaki hamun, buruk bunyi, bunting buntang, pecah berita kejahatan dan berdalih kata berhadapan.
Saya berpandangan Kesalahan Sumbang Dua Belas ini berkait rapat dengan perbilangan yang kita semua kenal, ‘Biar Mati Anak Jangan Mati Adat’. Iaitu kalau pun yang melakukan kesalahan dua belas itu adalah orang yang kita kasih, adat atau undang-undang tetap terpakai, dan mesti dilaksanakan. Perintah larangan, pengadilan, dan mungkin penurunan atau pelengseran pesaka akan berlaku secara mandamus, dari atas ke bawah; yang mana dalam hal ini adalah daripada pihak Raja kerana di dalam Adat Perpatih, Raja adalah berkeadilan, lantas diturunkan ke bawah.
Dato Muhamad Rashid Manggis yang membuat catatan mengenai hal ini dalam buku atau dokumen beliau bertajuk ‘Negeri Sembilan: Hubungannya dengan MinangKabau’ (1970), dan diperakukan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan dalam tahun 1970 memberikan petua perintah mandamus ini:
‘Setelah ketua-ketua ini diberi tugas menurut susunan adat yang telah ditentukan, seperti bunyi petua: ‘Adat bertentu, Bilangan beratur.’ Maka berjalanlah pentadbiran negeri dengan sempurna mengikut Peraturan Adat. Adat ertinya undang-undang. Tiap-tiap seseorang yang disebutkan mengukuhi Adat bererti memegang dan mematuhi.
Adat bererti memegang dan mematuhi undang-undang. Di mana seorang Buapak, Lembaga atau Undang malah Raja sekalipun tahu, bahawa seseorang telah melakukan suatu kesalahan yang melanggar Adat (undang-undang) menjadi tanggungjawablah kepada ketua-ketua tersebut menghukumnya menurut besar kecil kesalahannya, kendatipun yang melakukan kesalahan itu seorang anak kesayangan sendiri. Untuk penguatan jiwa peraturan undang-undang itu, dimaktubkanlah kata-kata hikmat: ‘Biar Mati anak, Jangan mati adat.’
Inilah bentuk mandamus dalam Adat Pepatih, satu perintah undang-undang yang mengarahkan atau memaksa pembesar di bawah melibatkan Undang, Lembaga, Buapak, dan Perut untuk melaksanakan suatu tugas tertentu yang diwajibkan oleh adat atau undang-undang.
Dalam Adat Pepatih, sekiranya kita merujuk hulu asal undang-undang atau amalannya di Minangkabau kita akan mendapati seseorang Penghulu (dalam hal ini di Negeri Sembilan adalah Undang) selaku ‘pemangku adat’ diminta berhati-hati dengan beberapa kepantangan yang tidak boleh dilanggar.
Dalam hal konflik di Negeri Sembilan hari ini, yang nampaknya enggan diputuskan oleh pihak yang ingin menegakkan seorang Yamtuan Besar yang tidak sah, saya berpandangan mandamus adat; iaitu perintah pemancung dari Raja Berkeadilan harus dilakukan demi menghentikan percekcokan, atau pertelingkahan yang tidak berakhir. Tuanku Yamtuan Besar adalah kuasa pemutus dan apex, yang mana Baginda perlu melaksanakan ‘Adat bertentu, Bilangan beratur.’
Jika ada Undang itu sendiri telah melakukan suatu kesalahan yang melanggar Adat (undang-undang) maka menjadi tanggungjawab Baginda untuk menghukumnya meskipun Undang itu kaya, bergaya, dan memiliki bekap di belakang. Ini kerana dalam mandamus adat, iaitu undang-undang Adat Perpatih itu, terdapat kata-kata hikmat: ‘Biar Mati anak, Jangan mati adat.’ Sudah-sudahlah melanun mengacau negeri orang, eloklah dijaga negeri sendiri jangan dibolosi Yahudi.
Berhentilah duhai pembesar adat, berhenti dari menyeksa rakyat Negeri Sembilan dengan perangai keanak-anakan penuh sumbang, iaitu membentak memanjat atau menghentak tanah yang mana semua ini bukan perangai seorang Tan Sri, Penghulu, apatah lagi seorang pembesar. Ini bukan perangai seseoran yang mengaku pakar adat.

Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.









