Bahaya Wewenang Tuduhan ‘Barua Harbi’

Ada satu kempen yang digerakkan oleh mereka yang tertentu dari ‘parti Islam’ iaitu melekatkan tuduhan sebagai barua harbi untuk mereka yang menyokong PH (justeru mereka dianggap penyokong parti DAP yang teras kepimpinannya bukan beragama Islam).

Tuduhan ini serius. Ia adalah satu bentuk takfiri. Dan ia tidak normal sama sekali. Saya sendiri ikut dituduh harua harbi, dan saya pernah mencabar seorang pemimpin parti itu dari Sabah mengenai hal ini.

Mereka menggunakan ungkapan barua harbi ini untuk menggambarkan pengundi Muslim yang mengangkat pemimpin DAP. Dengan melekatkan kata harbi (boleh diperangi) kepada pemimpin bukan Islam tertentu, mereka juga sedang (dengan sedar atau tidak sedar) memberi lesen dan menghalalkan darah penyokong pimpinan ini.

Sudah tentu ini adalah sesuatu yang ekstrem lagi berbahaya.

Untuk rekod, Menteri Besar Perak dari Umno tidak terkecuali berdepan dengan tuduhan barua harbi yang mulai dimasyhurkan pada 2025. Lemparan kata itu bagaimanapun lebih kerap dikemukakan terhadap penyokong PH.

Saya menganggap ini satu rantaian kepada tuduhan kafir (istilah Islaminya ialah takfiri) dan merupakan satu tuduhan moral, akhlak dan akidah yang melampau.

Saya sendiri tidak akan memaafkan mereka yang menuduh saya sedemikian dan akan menuntut mereka ini diperlakukan seperti mana saya dituduh di akhirat kelak.

Mufti Terengganu ke-10 (1953 hingga 1975) Syed Yusuf Ali az-Zawawi pernah mengeluarkan satu fatwa berkenaan tuduhan kafir-mengkafir. Fatwa penuh beliau itu diterbitkan oleh Baytul Hikma pada 2018, dan dirumikan oleh Arsyad Mokhtar.

Fatwa Berkenaan Tuduhan Kafir-Mengkafir: Pada Menyatakan Ciri-Ciri Orang Kafir Yang Boleh Diundi Dalam Pilihanraya itu diterbitkan atau dikeluarkan pada 2 Okt 1963 untuk mengingatkan mereka yang terlibat dalam politik dan berkecimpung dalam kempen pilihan raya untuk tidak menuduh kafir seseorang Islam yang lain.

Mufti Terengganu itu mengingatkan: “Agama Islam mengharamkan seseorang Islam itu menuduh kafir terhadap seseorang Islam yang lain” dan menegaskan tuduhan sebegitu “adalah suatu dosa yang besar” menurut ijmak ulama.

Bukan itu sahaja, mufti tersebut menyatakan: “Maka wajiblah di atas tiap-tiap orang yang suka mempermain-mainkan perkataan ‘kafir-mengkafir’ ini menginsafi akan dosa yang dia lakukan itu, dan wajiblah ia bertaubat dengan serta-merta supaya tidaklah ia berkekalan di dalam dosa yang besar itu yang akan membawa ke neraka. Jika ia masih kekal membuat tuduhan itu, maka wajiblah di atas pemerintah ta’zirkan dia dengan apa cara yang difikirkan patut dan munasabah.”

Mufti Menegur 63 Tahun Lalu

Membaca keterangan fatwa itu kita mendapati dengan jelas bahawa si penuduh orang lain kafir hendaklah bertaubat malah perlu dihukum. Al-Marhum az-Zawawi juga mengingatkan warganegara bukan Islam di negara tercinta kita ini tidak boleh dituduh dan didakwa kafir harbi sewenang-wenangnya memandangkan mereka menerima hukum-hakam Malaysia moden.

Negara ini ada undang-undang dan ketua agama Islamnya pula ialah raja-raja Melayu: “…sekalian pertubuhan-pertubuhan siasah yang mendukungi suara yang terbanyak daripada penduduk-penduduk negara ini; dalam mana telah dikanunkan bahawa tiap-tiap warganegara ini adalah mempunyai hak-hak dan tanggungan yang sama dari segi undang-undang negeri, tidak terkecuali sama ada warganegara itu beragama Islam atau pun tidak, selagi dia taat dan patuh kepada undang-undang negeri; dan sekaliannya telah mengaku dan mengesahkan bahawa apa-apa yang ada kaitan dengan perkara-perkara agama Islam adalah terpulang kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan pada mengendalikannya. Manakala kita tilik kepada apa yang tersebut di atas itu, nescaya tidaklah terluput dari pandangan kita betapa besarnya muslihat am yang terkandung di dalamnya. Oleh yang demikian, tidaklah ada halangan dari segi syara’ bahawa seseorang Islam itu memilih atau mengundi seseorang kafir yang telah diakui sah kewarganegaraannya dengan segala syarat-syarat yang tercatit dalam Perlembagaan…”

Dari kandungan fatwa ini diperakukan tidak jatuh akidah kita orang Islam jika mengundikan seorang pemimpin bukan Islam di dalam Malaysia moden ini. Mufti Terengganu itu mengingatkan lemparan tuduhan kafir ini dilakukan oleh segelintir umat Islam ketika berkempen pilihan raya.

Menurut Mufti Terengganu tersebut: “Bahawa sesungguhnya langkah taktik setengah-setengah ahli siyasah yang belum masak yang berani menerbitkan fitnah agama yang besar seumpama itu amatlah menyedihkan tiap-tiap seorang Islam yang cemburukan ugamanya dan tiap-tiap orang Islam yang mempunyai akal fikiran yang waras dan bebas. Mereka hendaknya beringat bahawa akibat pesona yang sebegitu beracun akan menimpa batu kepala mereka sendiri sebelum daripada orang lain. Allah Taala sahaja yang Maha Mengetahui tuduhan yang dibuat itu bukan sekali-kali kerana agama dan bukan sekali-kali kerana Allah, malahan sebagai umpan untuk memancing suara rakyat yang lurus.”

Berdasarkan fatwa pada itu, saya ingin menyeru pihak berkuasa agama untuk bertindak tegas terhadap kelompok yang menggunakan agama, menuduh orang Islam lain sebagai kafir, dan memain-mainkan hujah politik dan agama untuk kepentingan dan agenda sendiri.

Jika seorang mufti pernah menegur pada 1963 perihal “umpan untuk memancing suara rakyat yang lurus” (baca: jahil) maka mengapakah kita masih bertimbang rasa dan membiarkan tuduhan takfiri, termasuklah barua harbi diperkenal dan dimasyhurkan oleh sekelompok ahli politik ekstrem.

Kita hendaklah mengambil tindakan terhadap dakwaan ekstrem ini dengan kadar segera sebelum Malaysia jatuh ke kancah perseteruan agama dan kaum yang genting. Bala bencana 1963 yang bermula di Terengganu ini sedang dibawa ke Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor dengan pelbagai helah.

Ia harus dihentikan.

Komen