Catatan Pengarah Pendidikan Politik DAP
Ada sesuatu yang sihat apabila sebuah parti masih mampu bertengkar dengan dirinya sendiri. Hari ini, kita mendengar suara yang keras, suara yang gusar, suara yang marah, dan suara yang masih mahu percaya. Saya berterima kasih kepada setiap perwakilan yang bangun bercakap, dan juga kepada mereka yang duduk mendengar.
Tidak semua kata-kata menyenangkan telinga. Memang begitulah sepatutnya. Persidangan yang hanya menghasilkan tepukan ialah perhimpunan. Persidangan yang menghasilkan pertanyaan ialah pendidikan.
Daripada perjalanan menuju persidangan ini, saya belajar satu perkara yang nampaknya mudah tetapi sering mahal harganya dalam politik: sesuatu yang memuaskan perasaan belum tentu memuaskan hasil.
Orang lama sudah lama mengingatkan, menang sorak kampung tergadai. Politik pula mempunyai terlalu banyak kampung yang tergadai kerana pemimpinnya terlalu ghairah mahu menang sorak.
Sebab itulah pendidikan politik bukan usaha mengajar ahli apa yang mesti difikirkan. Tugasnya lebih sukar. Kita mesti belajar bagaimana hendak berfikir ketika marah, bagaimana menimbang hasil dan akibat ketika tertekan, dan bagaimana membezakan prinsip daripada desakan hati yang mahu segera dipuaskan. Perbahasan Persidangan DAP ke-18 ini memberi kita beberapa pelajaran tentang perkara tersebut.
Pertama, kepimpinan bukan sekadar kebolehan membuat keputusan. Pemimpin yang hanya bercakap sesama pemimpin akhirnya akan mendengar gema suara mereka sendiri.
Akar umbi bukan hiasan kepada demokrasi parti. Mereka membawa khabar dari cawangan, pasar, kedai kopi, rumah panjang, pangsapuri, kampung dan bandar yang tidak semestinya sampai ke bilik mesyuarat pusat.
Jika kita meminta ahli percaya kepada kepimpinan, kepimpinan juga mesti belajar mempercayai suara ahli.
Kedua, prinsip yang tidak sampai kepada rakyat akhirnya menjadi slogan. Kita bercakap tentang reformasi institusi, rasuah, politik perkauman, peluang yang saksama dan Malaysia yang lebih adil. Tetapi rakyat tidak hidup di dalam manifesto. Mereka hidup dengan gaji, harga barang, sekolah, hospital, bas, lesen, undang-undang dan layanan pejabat kerajaan. Maka reformasi mesti turun dari rostrum kepada kehidupan. Kalau tidak, kita hanya pandai menamakan perubahan tanpa menghadirkannya.
Ketiga, kemarahan ialah maklumat, bukan strategi. Ia memberitahu kita sesuatu sedang salah. Tetapi ia tidak memberitahu kita tindakan mana yang benar. Keputusan tentang gabungan, logo, pilihan raya, jawatan atau penyertaan dalam kerajaan mesti dinilai daripada pencapaian dan hasilnya, bukan daripada sedapnya tepukan selepas diumumkan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Politik yang matang bertanya bukan sahaja, “Apa yang kita rasa malam ini?” tetapi, “Ke mana keputusan ini membawa kita lima atau sepuluh tahun lagi?”
Keempat, politik bukan pertandingan prestasi semata-mata. Sebuah kerajaan boleh membawa pelaburan, pekerjaan, simpanan dan pentadbiran yang lebih baik, tetapi tetap tewas kepada cerita yang lebih dipercayai. Di sinilah angka sering kalah kepada rasa dan sentimen.
Hamparan angka tidak mempunyai wajah. Statistik tidak mempunyai hubungan. Fakta hanya menjadi keyakinan apabila dibawa dengan bahasa yang difahami, melalui manusia yang dipercayai.
Pagi tadi, Setiausaha Agung ada sebut secara sambil lalu yang melekat pada saya: kadangkala, untuk sesuatu yang kita mahu sampaikan benar-benar dipercayai, orang lain perlu mengatakannya.
Ini bukan muslihat komunikasi. Ini pelajaran tentang kepercayaan. Dalam politik, siapa yang bercakap kadangkala sama penting dengan apa yang diperkatakan.
Kelima, jika politik perkauman menang sesekali, jawapannya bukan menjadi lebih perkauman. Api tidak dipadam dengan minyak. Tugas kita ialah memahami ketakutan tanpa tunduk kepadanya, menjawab keresahan tanpa membesarkannya, dan memastikan setiap orang Malaysia berasa aman dengan identitinya tanpa perlu takut kepada identiti orang lain.
Melawan rasuah dan perkauman memang sukar. Kalau perjuangan itu mudah, ia tidak memerlukan sebuah gerakan politik selama enam dekad.
Keenam, autonomi datang bersama tanggungjawab. Kita percaya kepada federalisme, desentralisasi dan ruang kepada kepimpinan tempatan. Tetapi orang yang meminta hak membuat keputusan juga mesti bersedia memikul akibat keputusan itu.
Tidaklah semenggah jika kemenangan kita dakap sebagai milik sendiri tetapi kekalahan kita campakkan ke halaman orang lain.
Akhirnya, kita belajar kembali maksud kesatuan. Kesatuan bukan semua orang berkata ya. Kesatuan ialah keberanian berkata tidak, kesediaan mendengar sebabnya, kebijaksanaan membuat keputusan, lalu kedewasaan bergerak bersama selepas keputusan dibuat.
Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Muafakat bukan ketiadaan pertentangan. Muafakat ialah kemampuan mengurus pertentangan tanpa memusnahkan persaudaraan perjuangan.
Penyokong kita tidak meminta kita menjadi sempurna. Mereka meminta kita belajar. Mereka meminta kita menunaikan amanah. Mereka meminta setiap jawatan yang kita pegang menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada sebelum kita memegangnya.
Maka janganlah perbahasan Persidangan DAP kali ini mati bersama lampu dewan yang dipadamkan. Bawalah pulang pertanyaannya. Fikir lebih panjang, dengarlah lebih luas, bercakaplah lebih manusiawi, pikullah tanggungjawab, dan fahami mereka yang belum memahami kita.
Kerana akhirnya, kuasa bukan destinasi kita. Malaysia yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia – itulah destinasinya.

Howard Lee adalah Ahli Parlimen Ipoh Timor (PO64). Beliau juga ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selain menjadi ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, Majlis Perundingan Luar Negeri dan ahli Lembaga Eksekutif Perak Investment Management Centre. Howard juga merupakan mantan Ketua Pemuda Sosialis DAP serta mantan Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa (IUSY).









