Ini adalah sudut pandang dari ahli akar umbi DAP yang berbangsa Melayu, beragama Islam dan tahu mengucap dua kalimah syahadah.
Pada 16 Ogos lepas, telah selesai persidangan parti DAP 2026 yang diadakan di Putrajaya, pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Selepas beberapa tahun DAP menjadi sebahagian dari Kerajaan Persekutuan, inilah buat pertama kalinya persidangan parti diadakan di Putrajaya.
Persidangan tahun ini sepatutnya adalalah satu persidangan biasa. Tidak ada pemilihan pucuk pimpinan parti yang lazimnya akan mengundang kehadiran ramai perwakilan. Namun begitu, bersandarkan prestasi buruk parti dalam PRN Sabah 2025 dan rentetan keputusan kurang memuaskan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan 2026, persidangan tahun ini membawa satu usul khas untuk menentukan sama ada DAP kekal dalam Kerajaan Persekutuan hingga tamat penggal atau tidak.
Seramai 1,857 perwakilan telah memilih untuk parti KEKAL di dalam Kerajaan Persekutuan manakala 242 lagi memilih untuk parti KELUAR.
Kekal: Apa Seterusnya?
Sebagai seorang Melayu Islam yang memilih untuk bersama DAP, saya sedar bahawa antara cabaran terbesar parti ini bukan sekadar memenangi pilihan raya. Cabaran yang lebih besar ialah bagaimana DAP mahu difahami dan diterima dengan terbuka dalam sebuah negara yang majoriti rakyatnya berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Selama berdekad-dekad DAP pemahaman tentang DAP di kalangan orang Melayu adalah mengikut acuan yang didefinisikan oleh pihak lawan. DAP adalah parti Cina, anti-Melayu, anti-Islam, mahu menghapuskan hak Melayu, mahu memperjuangkan konsep sama rata dan malah kononnya mahu mengubah asas kenegaraan Malaysia, termasuklah merombak perlembagaan.
Kita boleh menafikan tuduhan ini seribu kali. Namun sampai bila DAP mahu hidup dengan menjawab naratif yang dicipta orang lain?
Justeru sudah tiba masanya DAP membina naratifnya sendiri.
Pertama, DAP tidak seharusnya membenarkan setiap polemik berkaitan Melayu dan Islam berubah menjadi pertarungan antara DAP dengan Melayu-Islam. Ini perangkap politik yang sangat merugikan.
DAP tidak perlu berlumba dengan PAS tentang siapa lebih Islam. DAP juga tidak perlu berlumba dengan UMNO tentang siapa lebih Melayu.
Sebaliknya, kita perlu kembali kepada satu asas yang jelas. Kembali pada perlembagaan dan pada masa sama komited pada keadilan, tadbir urus yang baik dan kesejahteraan rakyat.
DAP harus berasa selesa menyatakan bahawa kita menerima kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.
Pada masa yang sama, kita juga mempertahankan hak sah setiap warganegara Malaysia.
Tidak ada percanggahan antara kedua-duanya. Ia jelas termaktub di dalam Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.
Masalah yang membelenggu DAP selama ini ialah apabila dituduh anti-Melayu, kita terlalu cepat menjawab, “DAP bukan anti-Melayu.”
Tanpa sedar, kita sebenarnya masih bermain dalam gelanggang yang dibina oleh lawan. Kita hanya bereaksi menjawab tuduhan serta fitnah pihak lawan.
Naratif kita sepatutnya lebih besar. DAP ialah parti Malaysia yang mempertahankan Perlembagaan dan mahu memastikan Malaysia adalah untuk semua rakyat.
Kedua, DAP memerlukan lebih ramai pemimpin Melayu. Tetapi sekadar mempunyai calon atau ahli Melayu tidak mencukupi.
DAP memerlukan Melayu yang mempunyai pemikiran dan suara sendiri.
Melayu DAP ini perlu mampu berbicara secara substantif dan berisi mengenai ekonomi Melayu, FELDA, TVET, pendidikan Islam, kemiskinan luar bandar, tanah rizab Melayu, keusahawanan Bumiputera, wakaf, mobiliti sosial dan masa depan kelas menengah Melayu.
Pendek kata, apa sahaja yang berkisar pada hidup mati orang Melayu.
Melayu DAP ini tidak boleh sekadar menjadi jurucakap yang menterjemahkan pendirian pemimpin lain ke dalam Bahasa Melayu. Tidak boleh sekadar menjadi penyampai mesej pemimpin yang lain dengan harapan ia boleh diterima Melayu kerana telah dilunakkan oleh seorang Melayu.
Mereka mesti mempunyai keberanian untuk berkata: “Ini pandangan saya tentang kepentingan masyarakat saya dan masa depan mereka.”
Ketiga, DAP perlu berhenti bertarung dengan PAS di gelanggang yang dipilih oleh PAS atau UMNO.
Apabila politik sentiasa berkisar tentang siapa lebih Melayu atau siapa lebih Islam, akhirnya perbahasan mengenai perkara yang benar-benar mempengaruhi kehidupan rakyat akan tenggelam.
Kita perlu membawa perbincangan kembali kepada persoalan yang lebih nyata.
Tentang bagaimana meningkatkan pendapatan keluarga? Bagaimana graduan mendapat pekerjaan dengan gaji bermaruah? Bagaimana usahawan kecil boleh berkembang? Bagaimana anak muda mampu membeli rumah? Bagaimana sekolah, hospital dan pengangkutan awam boleh menjadi lebih baik?
Begitu juga dengan agenda Bumiputera.
DAP tidak sepatutnya terperangkap dalam dikotomi mudah antara dasar Bumiputera dan meritokrasi.
Kita boleh menyokong pembangunan ekonomi Bumiputera dengan bersungguh-sungguh sambil menuntut supaya setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan hasil yang setimpal.
Tentang berapa ramai usahawan Bumiputera berjaya berkembang maju menjadi syarikat besar? Berapa ramai jurutera dan profesional dilahirkan? Berapa ramai keluarga berjaya keluar daripada kemiskinan?
Kita harus jelaskan bahawa mempertikaikan ketirisan dan amalan rent-seeking bukan bermakna menentang agenda pembangunan Bumiputera. Dan menyokong agenda pembangunan Bumiputera bukannya bermakna menafikan hak bukan Bumiputera.
Saya rasa tiga hal ini yang perlu diberi perhatian untuk membolehkan kewujudan DAP difahami dan diterima dengan terbuka oleh pengundi Melayu.
Tetapi akhirnya persoalan paling penting bukanlah bagaimana kita mahu membuat orang Melayu menyukai DAP.
Soalan yang lebih penting ialah bagaimana DAP boleh menjadi sebuah parti yang kehadirannya dalam kerajaan tidak bercanggah dengan kepentingan agama, komuniti, keselamatan ekonomi dan kedudukan Perlembagaan mana-mana rakyat Malaysia.
Untuk itu kita perlu membina naratif kita sendiri.
Sebagai seorang Melayu dalam DAP, saya tidak mahu DAP menjadi lebih Melayu daripada UMNO atau lebih Islam daripada PAS.
Saya mahu sesuatu yang lebih bermakna.
Saya mahu DAP menjadi parti yang membuktikan bahawa mempertahankan Perlembagaan, memajukan masyarakat Melayu dan Bumiputera, menjaga hak masyarakat bukan Melayu, memerangi ketirisan dan mentadbir negara dengan cekap bukanlah agenda yang saling bercanggah.
Semuanya boleh dilakukan serentak.
Jika DAP mampu membuktikannya melalui tindakan, kita tidak lagi perlu menghabiskan masa menjelaskan siapa kita.
Rakyat akan melihatnya sendiri.









