Dalam kita bersedih dan bersimpati atas pemergian Sjn Muhamad Muazam Shah Kamardin, timbul gesaan daripada pelbagai pihak agar demonstrasi ular berbisa hidup di pentas dihentikan sepenuhnya.
Gesaan ini boleh difahami. Apabila sesuatu kejadian melibatkan kehilangan nyawa, sudah tentu persoalan mengenai keselamatan, prosedur dan keperluan meneruskan aktiviti tersebut perlu dibangkitkan.
Namun, perbincangan mengenai keselamatan juga perlu dibuat secara objektif berdasarkan data dan prinsip penilaian risiko.
Setakat maklumat yang tersedia kepada umum, arwah meninggal dunia selepas kejadian gigitan ular ketika melakukan demonstrasi. Sama ada kematian tersebut disebabkan secara langsung oleh envenomasi atau terdapat faktor lain yang menyumbang memerlukan pengesahan berdasarkan penilaian perubatan rasmi. Saya tidak mahu membuat spekulasi berdasarkan pelbagai cerita yang sedang tersebar.
Berdasarkan laporan yang dapat dikenal pasti, terdapat sekurang-kurangnya empat kes gigitan ular ketika demonstrasi atau persembahan di Malaysia antara tahun 2006 hingga 2026.
Kes ini sememangnya tidak boleh dipandang ringan. Sekurang-kurangnya satu daripadanya melibatkan kematian akibat gigitan tedung selar ketika persembahan. Kes lain pula melibatkan mangsa yang mengalami kecederaan dan memerlukan rawatan hospital.
Kes-kes tersebut menunjukkan bahawa insiden yang mendatangkan kemudaratan ketika demonstrasi ular memang boleh berlaku dan akibatnya berpotensi menjadi serius.
Tetapi dari sudut statistik dan epidemiologi, empat kes sahaja tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa demonstrasi ular berbisa mempunyai kadar risiko yang tinggi sehingga pengharaman menyeluruh merupakan satu-satunya pilihan.
Masalah paling asas ialah kita mempunyai numerator, tetapi tidak mempunyai denominator yang sesuai.
Kita tahu sekurang-kurangnya empat kejadian telah dilaporkan. Tetapi berapa banyak demonstrasi ular sebenarnya telah dilakukan di Malaysia sepanjang 20 tahun tersebut?
Kita tidak tahu.
Bayangkan sekiranya empat kejadian berlaku daripada hanya 40 demonstrasi. Itu bersamaan 10 peratus. Tetapi sekiranya empat kejadian berlaku daripada 4,000 demonstrasi, angkanya menjadi 0.1 peratus.
Numeratornya tetap sama, iaitu empat kes, tetapi interpretasi terhadap tahap risiko berubah dengan sangat besar.
Menggunakan jumlah penduduk Malaysia sebagai denominator juga tidak sesuai kerana majoriti penduduk tidak pernah terdedah secara langsung kepada aktiviti demonstrasi ular. Denominator yang lebih bermakna mungkin jumlah keseluruhan demonstrasi, jumlah pengendali yang terlibat, jumlah sesi pengendalian atau jumlah jam pendedahan pengendali kepada ular.
Masalahnya, setakat ini kita tidak mempunyai data tersebut.
Ada satu lagi perkara yang perlu difahami iaitu bias pelaporan atau reporting bias.
Kes kematian seorang pengendali terkenal, kanak-kanak yang rebah ketika persembahan, anggota Bomba yang mengalami envenomasi serius atau anggota penyelamat yang meninggal dunia selepas demonstrasi sudah tentu mempunyai nilai berita yang tinggi.
Tetapi bagaimana dengan ratusan atau mungkin ribuan demonstrasi yang berlangsung tanpa sebarang kejadian?
Kita juga tidak mempunyai angka tersebut. Demonstrasi yang berakhir tanpa insiden hampir pasti tidak akan menjadi berita.
Oleh itu, laporan media sangat berguna untuk menunjukkan bahawa insiden yang mendatangkan kemudaratan pernah berlaku, tetapi ia bukan sistem pemantauan yang membolehkan kita menentukan kadar risiko sebenar sesuatu aktiviti.
Malah, data gigitan ular di Malaysia sendiri menunjukkan betapa pentingnya denominator dan konteks.
Satu kajian melibatkan pangkalan data Remote Envenomation Consultancy Services (RECS) merekodkan 32 kes gigitan tedung selar yang dirujuk antara tahun 2015 hingga 2020.
Daripada jumlah tersebut, 14 berlaku ketika mangsa cuba menangkap ular dan lapan lagi ketika berinteraksi atau bermain dengan ular.
Data ini penting kerana ia menunjukkan bahawa interaksi secara sengaja dengan ular memang merupakan salah satu mekanisme penting berlakunya gigitan tedung selar. Tetapi data tersebut masih tidak memberikan kadar kejadian khusus bagi demonstrasi kerana kita tidak mengetahui jumlah keseluruhan pendedahan.
Dengan kata lain:
“Empat kes berlaku dalam tempoh 20 tahun” tidak sama dengan “demonstrasi ular mempunyai risiko yang tinggi.”
Apa yang boleh kita simpulkan ialah demonstrasi menggunakan ular hidup mempunyai bahaya yang nyata dan insiden yang berlaku boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian.
Apa yang belum boleh kita simpulkan secara statistik ialah risiko tersebut semestinya tinggi, tidak boleh diterima dan pengharaman merupakan intervensi yang paling sesuai.
Untuk menentukan perkara itu, kita memerlukan data yang lebih baik seperti jumlah demonstrasi yang dilakukan, kadar gigitan bagi setiap 1,000 demonstrasi, tahap kecederaan, pematuhan SOP, kompetensi pengendali serta perbandingan antara demonstrasi yang mempunyai tahap kawalan keselamatan yang berbeza.
Empat kejadian sepanjang dua dekad cukup untuk mencetuskan semakan SOP, audit keselamatan dan penilaian risiko. Tetapi empat laporan kes sahaja belum cukup untuk mengukur tahap risiko sebenar.
Melompat terus daripada beberapa laporan kes kepada pengharaman menyeluruh bermakna kita bergerak daripada mengenal pasti bahaya kepada membuat cadangan dasar tanpa pengukuran risiko yang mencukupi di antaranya.
Ada risiko? Ya.
Risiko itu sudah dibuktikan tinggi? Belum.
Perlu diperketat dan dinilai semula? Sangat munasabah.
Adakah data yang ada sekarang membuktikan ia mesti diharamkan? Belum.
Walau bagaimanapun, saya bersetuju bahawa Malaysia memerlukan garis panduan yang lebih jelas mengenai pendidikan berkaitan ular, khususnya apabila melibatkan penggunaan ular berbisa hidup. Persoalan sama ada demonstrasi secara langsung masih diperlukan juga wajar dibincangkan secara terbuka.
Hari ini kita mempunyai banyak kaedah pendidikan lain seperti video, simulasi, realiti maya atau virtual reality, model atau replika, penceritaan serta rakaman operasi sebenar.
Sebelum membawa ular berbisa ke hadapan orang ramai, soalan pertama sepatutnya ialah:
Apakah objektif pendidikan yang hendak dicapai?
Sekiranya mesej akhirnya hanyalah supaya masyarakat tidak menangkap ular sendiri, menjaga jarak dan menghubungi pasukan penyelamat, mungkin penggunaan ular berbisa hidup tidak semestinya diperlukan.
Namun, sebagai seorang edukator, saya juga melihat terdapat nilai tertentu dalam demonstrasi secara langsung yang sukar digantikan sepenuhnya oleh gambar atau video.
Masyarakat dapat melihat sendiri bagaimana ular bergerak dan bertindak balas terhadap persekitarannya. Mereka boleh memahami tingkah laku defensif ular, mengenali jarak yang selamat, mengetahui tindakan manusia yang boleh mencetuskan tindak balas ular serta membetulkan persepsi bahawa ular sentiasa agresif atau sengaja mengejar manusia.
Demonstrasi yang dilakukan dengan baik juga boleh mengajar masyarakat apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan apabila terserempak dengan ular.
Justeru, persoalannya bukan sekadar sama ada demonstrasi menggunakan ular hidup mempunyai risiko. Hakikatnya, hampir tiada aktiviti manusia yang mempunyai risiko sifar.
Persoalan yang lebih penting ialah:
Apakah tahap risikonya, apakah manfaatnya dan apakah langkah yang telah diambil untuk mengurangkan risiko tersebut ke tahap yang boleh diterima?
Sekiranya demonstrasi menggunakan ular hidup mahu diteruskan, aspek keselamatannya perlu distrukturkan dengan lebih baik.
Ia perlu mengambil kira kompetensi dan pengalaman pengendali, pemilihan spesies yang sesuai, teknik pengendalian yang selamat, penggunaan peralatan yang sesuai, jarak dan kawalan penonton, keadaan persekitaran, pelan tindakan kecemasan serta penilaian risiko sebelum sesuatu program.
Bagi demonstrasi melibatkan ular berbisa, akses pantas kepada fasiliti perubatan yang mempunyai keupayaan menguruskan envenomasi dan akses kepada antivenom yang bersesuaian juga perlu dipertimbangkan dalam perancangan.
Pengendali dan pasukan sokongan perlu memahami pertolongan cemas gigitan ular yang betul serta mempunyai kompetensi asas resusitasi termasuk CPR sekiranya berlaku kecemasan.
Mungkin sudah tiba masanya juga diwujudkan satu standard nasional yang menentukan siapa yang kompeten untuk melakukan demonstrasi, jenis ular yang boleh digunakan, kaedah pengendalian yang dibenarkan, kawalan terhadap penonton dan keadaan yang menyebabkan penggunaan ular berbisa hidup tidak dibenarkan sama sekali.
Bagi saya, perbincangan ini tidak seharusnya terhenti kepada dua pilihan sahaja:
“Teruskan seperti biasa” atau “haramkan terus.”
Kejadian yang berlaku sepatutnya menjadi peluang untuk kita melakukan sesuatu yang lebih bermakna.
Kaji semula kejadian secara objektif. Nilai SOP yang ada. Kenal pasti bagaimana insiden berlaku. Kumpulkan data mengenai demonstrasi dan insiden yang mendatangkan kemudaratan berkaitan dengannya. Tentukan objektif pendidikan dan lakukan penilaian risiko yang formal.
Kemudian tentukan sama ada risiko tersebut boleh dikawal dengan lebih baik atau penggunaan ular berbisa hidup sebenarnya tidak lagi diperlukan bagi sesuatu bentuk pendidikan.
Keselamatan anggota mesti menjadi keutamaan.
Tetapi polisi keselamatan yang baik juga perlu dibina berdasarkan data, penilaian risiko dan bukti, bukan semata-mata berdasarkan kewujudan sesuatu bahaya atau beberapa laporan kes.
Empat kes dalam tempoh 20 tahun memberi kita sebab yang cukup kuat untuk bertanya dan menilai semula.
Tetapi sebelum kita membuat keputusan untuk mengharamkan keseluruhan aktiviti, kita juga perlu memastikan bahawa keputusan tersebut benar-benar disokong oleh data.
Kenal pasti bahaya. Ukur risikonya. Perketat kawalan. Kemudian buat keputusan berdasarkan bukti.

Dr Muhamad Na’im Bin Ab Razak atau Dr Jacknaim adalah seorang penulis, penggemar aktiviti lasak, pencinta kopi dan kini bertugas sebagai Emergency Medicine Fellowship Trainee di Hospital Lahad Datu, Sabah.









