Tindakan PN Keluar Dewan Parlimen, PAS Tunjuk Belang Sebenar

Isu sebesar Tabung Haji, PN Dulu Yang Menghilang

Urusan berkepentingan negara dan soal integriti institusi tidak seharusnya tertangguh hanya kerana masalah kesihatan seseorang, walaupun orang itu ialah Perdana Menteri.

Parlimen lebih besar daripada mana-mana individu. Perdana Menteri sendiri bertegas supaya Sidang Khas berhubung Suruhanjaya Siasatan Diraja, RCI, mengenai Lembaga Tabung Haji diteruskan tanpa kehadiran beliau. Namun sebahagian besar blok Pembangkang pula memilih untuk angkat kaki.

Alasan mereka ialah ketiadaan Perdana Menteri. Sukar untuk sesiapa percaya itulah sebab sebenar mereka keluar Dewan.

Walau apa pun dalihnya, tindakan itu tidak boleh diterima.

Sejak bila Pembangkang memerlukan Perdana Menteri duduk di hadapan mereka sebelum mereka mampu menjalankan tugas? Timbalan Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri berada di Dewan. Laporan RCI pula terbentang untuk diteliti dan dipersoalkan.

Kalau Ahli-ahli Parlimen BN sendiri cukup berani untuk bangun berbahas, memberi sisi pandang mereka dan mempertahankan pemimpin mereka yang disebut dalam laporan, mengapa PAS dan WAWASAN, yang kini begitu mesra sebagai “rakan berdamai semula” BN, tidak sanggup berbuat perkara sama?

Sebagai blok utama Pembangkang, tugas mereka ialah menyoal, membongkar dan menuntut pertanggungjawaban. Sebaliknya, mereka memilih untuk keluar Dewan. Mengapa?

Atau sebenarnya mereka takut apabila benang mula ditarik, kain yang lain turut terungkai? Adakah mereka bimbang perbahasan ini akan membuka semula persoalan tidak menyenangkan tentang keputusan ketika pentadbiran Barisan Nasional, sedangkan hubungan PAS-BN kini masih dalam fasa bulan madu?

Adakah mereka tidak mahu menyinggung tokoh BN yang tindakan, keputusan atau peranan mereka dalam tempoh yang diteliti RCI wajar diperbahaskan? Jangan baling batu sembunyi tangan. Mereka mesti menjawab.

Dapatan RCI menyentuh kegagalan dan salah laku serius dalam tadbir urus, pengurusan kewangan serta pengaruh politik terhadap sebuah institusi yang memegang amanah simpanan dan keyakinan jutaan umat Islam Malaysia.

Di sinilah sepatutnya Pembangkang paling lantang. Apabila Parlimen membincangkan dakwaan salah laku yang melibatkan laporan polis, siasatan SPRM serta urus niaga merentas sempadan, Pembangkang sepatutnya berada di barisan hadapan menuntut pertanggungjawaban.

Mereka sepatutnya menuntut tindakan dan mendesak Kerajaan, polis, SPRM serta Jabatan Peguam Negara memberi jawapan. Sebaliknya, beberapa Ahli Parlimen penyokong Kerajaan kelihatan lebih bersungguh menanyakan soalan-soalan ini berbanding Ahli Parlimen Pembangkang yang keluar Dewan.

Ini menimbulkan satu lagi persoalan besar. Bukankah tindakan ini menunjukkan betapa ceteknya keikhlasan PAS dalam bekerjasama dengan BN? Tidak mengejutkan, tetapi cepat benar pecah tembelang. Belum habis bulan madu, warna sebenar sudah habis ditelanjangbogelkan.

RCI menyerahkan laporannya pada 2022. Hampir empat tahun kemudian, rakyat Malaysia berhak bertanya: di manakah kes-kes jenayah yang sepatutnya timbul daripada dapatan tersebut?

Mengapa siasatan mengambil masa begitu lama? Kes mana masih terbuka? Kes mana ditutup, dan mengapa?

Mengapa, setakat pengetahuan umum dan ramai Ahli Parlimen, masih belum ada sesiapa didakwa berhubung perkara-perkara serius yang dibangkitkan?

Ini bukan soalan Kerajaan atau Pembangkang. Ini soal kebertanggungjawaban kepada rakyat.

Jika Ahli Parlimen penyokong Kerajaan sanggup bertanya, apakah alasan Pembangkang untuk meninggalkan Dewan, tempat soalan-soalan ini sepatutnya diperjuangkan?

Jangan setiap hari menuduh Kerajaan tidak telus, tetapi apabila pintu Parlimen dibuka untuk menuntut pertanggungjawaban, mereka pula yang keluar. Jangan mendakwa menjadi pembela Tabung Haji dan kepentingan Melayu-Islam, tetapi menghilang apabila fakta yang dibentangkan menjadi tidak selesa dan tidak menguntungkan politik sendiri.

Tiada siapa patut dihukum sebelum proses undang-undang selesai. Proses sewajarnya mesti dihormati. Tetapi Parlimen tetap wajib mencari kebenaran dan menuntut kebertanggungjawaban institusi.

Kerajaan mesti menjawab kelewatan. Agensi penguatkuasaan mesti menjelaskan perkembangan siasatan. Jabatan Peguam Negara mesti mempertanggungjawabkan keputusan dalam bidang kuasanya. Keluar Dewan bukan ketegasan. Keluar Dewan ialah meninggalkan amanah.

Dalam isu sebesar Tabung Haji, rakyat Malaysia berhak mendapat Pembangkang yang berani kerana benar, tidak kira sama ada jawapan itu memalukan sahabat politik, bekas sekutu atau bakal pasangan mereka sendiri.

Komen