Prestasi Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor 2026 bukan sekadar kekalahan pilihan raya tetapi adalah keruntuhan naratif perjuangan Melayu-Islam yang selama ini menjadi tunggangan mereka. Daripada sebuah gabungan yang pernah muncul sebagai kuasa pembangkang Melayu-Islam pasca-PRU15, PN di Johor berakhir tanpa satu pun kerusi. PN hanya memperoleh 102,090 undi, sekitar 5.4 peratus, walaupun bertanding di 33 daripada 56 kerusi DUN. Ia jauh bezanya dengan Barisan Nasional (BN) yang menang 48 kerusi dengan 1.118 juta undi, diikuti Pakatan Harapan (PH) yang setidaknya menang lapan kerusi.
Secara perbandingan, kejatuhan ini amat luar biasa. Sedangkan dalam pilihan raya sebelumnya PN menang tiga kerusi dan sekitar 24.04 peratus undi sebenar. Ini bukan penurunan biasa; ini penyusutan struktur sokongan. Dalam bahasa sains politik, PN gagal mempertahankan “coalitional credibility”, iaitu keyakinan pengundi bahawa gabungan tersebut masih wujud sebagai pakatan yang stabil, tersusun dan mampu memerintah.
Punca utamanya ialah perpecahan PAS dan BERSATU. Sinar Harian memetik sumber dalaman BERSATU yang mendakwa kekalahan PN sudah dijangka selepas PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU sekitar seminggu selepas pembubaran DUN Johor. Tindakan itu dikatakan memberi persepsi negatif kepada PN pada ketika jentera sepatutnya disatukan. Sumber sama turut mendakwa kelewatan persiapan berlaku kerana kepimpinan PN tidak memanggil parti gabungan untuk mesyuarat persediaan manakala akar umbi parti pula dibiar kehilangan arah tujuan.
Dalam pilihan raya, pengundi bukan hanya menilai manifesto. Mereka menilai isyarat. Apabila PAS dan BERSATU menghantar isyarat bercanggah, penyokong akar umbi menjadi keliru. Di satu pihak, PN mahu menampilkan diri sebagai alternatif kepada BN dan PH. Di pihak lain, PAS dilihat membuka ruang untuk berbaik semula dengan UMNO, termasuk melalui sokongan kepada calon BN di kawasan tertentu yang tidak ditandingi PN. Hal ini menjadikan garis pemisah antara “lawan” dan “kawan” semakin kabur.
Bagi penyokong PN di Johor, kekaburan ini membawa kesan psikologi politik yang besar. Jika PAS boleh menyokong BN di satu kerusi, mengapa pengundi perlu bersusah payah mengundi PN di kerusi lain? Jika UMNO masih dianggap sebahagian daripada agenda penyatuan ummah, mengapa BERSATU perlu dipertahankan sebagai wadah anti-UMNO? Di sinilah PN terperangkap dalam kontradiksi; ia mahu menjadi pembangkang kepada UMNO, tetapi komponen terbesarnya masih memberi isyarat bahawa UMNO boleh dirunding, didekati dan disokong.
Kesan perpecahan itu jelas pada angka. BERSATU memperoleh 46,072 undi, PAS 45,934 undi, MIPP 8,196 undi dan PEJUANG 1,888 undi. Jumlah keseluruhan PN hanya 102,090 undi atau 5.45 peratus. Angka ini menunjukkan PN bukan sahaja gagal menembusi kubu BN, malah gagal menjadi pusat tumpuan undi protes. Dalam banyak keadaan, pengundi Melayu yang mahukan kestabilan kembali kepada BN, manakala pengundi bukan Melayu masih melihat PH sebagai pembangkang negeri yang lebih relevan.
Kekalahan ini juga menimbulkan persoalan kepimpinan. Sumber BERSATU mengaitkan kekalahan itu dengan jenama PN yang semakin bercelaru dan menyatakan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar perlu bertanggungjawab. Kritikan ini penting kerana PN selama ini bergantung kepada imej PAS sebagai parti berdisiplin dan BERSATU sebagai parti yang membawa tokoh-tokoh Melayu bekas kerajaan. Namun di Johor, dua kekuatan itu saling membatalkan antara satu sama lain.
Masa depan PN selepas PRN Johor bergantung kepada satu keputusan asas. Mahu kekal sebagai gabungan anti-UMNO, atau mahu kembali kepada politik rundingan Melayu bersama UMNO. Kedua-duanya tidak boleh berjalan serentak tanpa kos elektoral. Jika PAS terus bermain dua kolam, penyokong PN akan melihat gabungan itu sebagai projek sementara. Jika BERSATU terus goyah akibat perpecahan dalaman, PN akan kehilangan jentera dan wajah tempatan. PRN Johor 2026 memberi satu pengajaran besar: dalam politik gabungan, musuh yang tidak jelas lebih merosakkan daripada lawan yang kuat. PN bukan kalah kerana BN terlalu kuat semata-mata; PN kalah kerana pengundinya sendiri tidak lagi pasti siapa sebenarnya yang PN lawan, siapa sebenarnya yang PN kawan, dan untuk apa PN masih wujud.
Persoalan ini perlu dijawab tuntas sebelum medan perang berikutnya iaitu PRN Negeri Sembilan bermula.

Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.









