Inisiatif Baju Sekolah NADI: Sampai Bila Mahu Politik Semua Perkara?

Isu persiapan persekolahan sentiasa menjadi keutamaan serta cabaran tahunan buat ibu bapa di Malaysia, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mempunyai ramai anak. Pembelian kelengkapan seperti pakaian seragam sekolah kerap memakan belanja yang besar sekiranya perlu dijelaskan secara sekaligus, lebih-lebih di awal musim persekolahan. Justeru, inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menerusi program NADI Mahir Jahit (NMJ) yang menawarkan kemudahan pembelian pakaian seragam sekolah secara pembayaran ansuran sewajarnya mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khususnya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Meringankan Beban Ibu Bapa Dan Memperkasa Usahawan Tempatan

Inisiatif ini merupakan satu usaha murni yang wajar dipuji kerana bertindak secara praktikal dalam menangani aliran tunai isi rumah. Menerusi konsep pembayaran secara ansuran, ibu bapa tidak lagi terbeban dengan perbelanjaan mendadak pada awal musim persekolahan. Mereka diberikan fleksibiliti untuk menguruskan kewangan mengikut kemampuan tanpa paksaan, sama ada mahu membuat bayaran penuh atau mengikut jadual bayaran ansuran yang pastinya dapat meringankan beban ibu bapa.

Selain membantu pengguna, inisiatif NADI ini turut membawa dimensi ekonomi yang sangat bermakna menerusi pendekatan “rakyat bantu rakyat”. Pakaian seragam yang ditawarkan dijahit oleh alumni NADI Mahir Jahit yang telah menerima latihan kemahiran keusahawanan. Langkah ini secara tidak langsung mewujudkan ekosistem ekonomi inklusif yang menjana pendapatan berterusan kepada usahawan tempatan, tukang jahit komuniti, ibu tunggal atau pun suri rumah di kawasan luar bandar dan bandar.

Secara tidak langsung, KPM dan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja menyelesaikan masalah kebajikan murid, malah menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi asas (grassroots economics) yang mampan.

Menangkis Kritikan Cetek Saitro Politik

Malangnya, usaha murni ini tidak terlepas daripada dipolitikkan oleh sesetengah pihak lawan, khususnya naratif daripada saitro politik termasuk segmen dalam UMNO dan PAS yang mempertikaikan inisiatif tersebut. Mereka mendakwa bahawa menyediakan skim ansuran seolah-olah “menggalakkan rakyat berhutang” untuk kemudahan asas persekolahan dan bukti rakyat kini hidup susah di zaman kerajaan hari ini, manakala sesetengahnya menuntut agar kerajaan menyediakan pakaian seragam secara percuma sepenuhnya.

Pandangan sedemikian menyerlahkan kedangkalan dalam memahami realiti kewangan dan mekanisme pembangunan ekonomi komuniti.

Hakikatnya ansuran bukan beban hutang, tetapi satu pilihan fleksibel untuk melegakan aliran tunai. Skim ansuran NADI tidak mengenakan kadar faedah tersembunyi atau caj penalti yang menindas. Ia adalah kemudahan susunan pembayaran secara berhemah. Menggelarkan pilihan ini sebagai “menggalakkan hutang” adalah tuduhan melampau yang menafikan hak ibu bapa untuk menguruskan bajet bulanan mereka secara teratur.

Sedangkan jika kita lihat hari ini di zaman digital dan pembelian atas talian, ada banyak pilihan pakaian seragam sekolah yang boleh dibeli dan dibayar secara ansuran. Persediaan persekolahan memerlukan belanja bukan sekadar baju sekolah, tetapi juga buku, alat tulis dan keperluan lain. Walaupun kerajaan ada menyediakan bantuan tunai untuk setiap anak yang bersekolah, kemudahan ansuran dapat meringankan beban khususnya kepada ibu bapa yang bergantung pada pendapat gaji bulanan.

Begitu juga dengan tuntutan populis untuk memberikan pakaian percuma secara semberono yang sebenarnya berisiko membelakangkan aspek kualiti dan kecekapan perbelanjaan awam. Pembelian pukal secara monopoli oleh kerajaan lebih menguntungkan pembekal besar sahaja, manakala usahawan kecil di peringkat akar umbi pula dipinggirkan. Oleh yang demikian inisiatig seperti yang dilaksanakan NADI dan disokong oleh KPM sebenarnya lebih tepat dalam membantu rakyat biasa.

Bak kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sendiri bagaimana “sehelai baju sekolah, tetapi di belakangnya, ada rezeki untuk dua keluarga. Yang menjahit dapat menambah pendapatan. Yang membeli dapat berjimat.”

Kesimpulannya, inisiatif pakaian seragam sekolah NADI berasaskan pembayaran ansuran adalah bukti keprihatinan Kerajaan MADANI dan KPM terhadap kelangsungan hidup rakyat. Ia bukan sekadar penyelesaian jangka pendek untuk keperluan sekolah, tetapi satu formula serampang dua mata yang mengimbangi kebajikan ibu bapa dan pemerkasaan usahawan tempatan. Saitro politik dari pihak lawan sewajarnya menghentikan polemik politik sempit dan bersama-sama menyokong usaha tempatan yang terbukti memberi manfaat nyata kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Komen