Ungku Aziz, Tabung Haji Dan Angsa Bertelur Emas

Tabung Haji adalah cetusan idea dari Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

Selama lebih dua dekad Ungku Aziz melakukan kajian tentang bagaimana orang Melayu menyimpan duit untuk pergi menunaikan haji.

Ada yang simpan duit dalam peti, ada yang simpan bawah tilam.

Tapi kebanyakannya bila hendak pergi menunaikan haji, mereka terpaksa jual tanah, kambing, kerbau atau lembu untuk tampung kos.

Balik dari haji, mereka papa kedana tiada apa-apa.

Maka pada tahun 1959, Ungku Aziz bentangkan pada kerajaan idea penubuhan Tabung Haji.

Pertama sebagai satu kaedah untuk orang Melayu menyimpan duit dan mendapatkan dividen secara halal bagi menunaikan haji.

Kedua untuk mendidik orang Melayu dalam disiplin menyimpan duit agar dapat keluar dari belenggu kemiskinan.

Yang paling penting, Tabung Haji memastikan bila orang Melayu pergi ke Mekah untuk tunaikan haji mereka tidak perlu bergolok gadai dan kemudiannya kembali ke tanah air tanpa harta.

Tabung Haji ini ibarat angsa yang mengeluarkan telur emas untuk orang Melayu dan umat Islam di Malaysia. Angsa ini akan terus bertelur emas jika ianya dijaga dengan baik dan kekal sihat.

Tapi dalam kisah dongeng angsa bertelur emas, ketamakan sepasang suami isteri yang mahukan lebih banyak telur emas berkesudahan dengan angsa itu dibunuh dan dibelah perutnya untuk mendapatkan lebih banyak telur emas.
Angsa mati tapi dalam perutnya tiada sebiji telur emas pun. Habis terciduk pasangan suami isteri yang tamak itu.

Dalam RCI Tabung Haji yang baru didedahkan kepada umum, kisah kelompongan tadbir urusnya hampir sama sahaja dengan kisah angsa bertelur emas.

Dividen dibayar lebih dari yang sepatutnya. Tabung Haji sebenarnya rugi tapi diisytiharkan mencatat keuntungan. Tidak cukup dengan itu, bonus masih diberikan walaupun prestasi kewangan tidak bagus.

Bukan sedikit yang berhujah apa salahnya kalau dividen dan subsidi haji diberikan lebih tinggi? Bukankah memudahkan Melayu Islam pergi haji? Apa salahnya kerajaan tolong orang Melayu Islam?

Ya, kalau boleh memang kita nak dividen dan subsidi haji tinggi.

Tapi Tabung Haji yang dicetuskan oleh Ungku Aziz bukan Skim Pak Man Telo.

Bukannya skim piramid simpan seratus cukup masa dapat dua ratus (yang sebenarnya tarik dari duit orang di bawah piramid yang masuk kemudian).

Tabung Haji adalah lembaga pengurusan dana haji yang profesional. Ada undang-undang dan tadbir urus yang perlu dipatuhi. Dan ada hukum syarak serta kewangan Islam yang perlu diteliti supaya duit haji kita datang dari sumber yang halal dan bebas syubhah (kerana kalau Tabung Haji rugi, dari mana pula datang sumber dividen yang tinggi?).

Akta Tabung Haji melarang pemberian dividen kalau tiada keuntungan dan menetapkan nilai aset Tabung Haji mestilah lebih daripada jumlah liabiliti (jumlah tanggungan/deposit).

Ini semua ada disebut di dalam RCI Tabung Haji setebal 252 mukasurat itu.

Ya mungkin ramai dari kita tidak peduli pun laporan panjang berjela kerana malas baca, atau tidak kisah dengan akta yang wujud.

Kita rasa biarlah dapat dividen dan subsidi tinggi, senang nak pergi haji.

Tapi Tabung Haji ni bukan setakat nak pakai untuk kita saja saudara saudari.

Anak cucu kita pun perlukan Tabung Haji.

Selagi Malaysia wujud dan selagi dunia belum kiamat, Tabung Haji diperlukan untuk keturunan kita semua mudah menyimpan bagi menunaikan rukun Islam kelima.

Ibarat angsa bertelur emas yang kita perlukan untuk kekal hidup lama demi masa hadapan. Bukannya kita belah perutnya hari ini kerana pentingkan diri sendiri.

Tolak tepi hal politik dan kepartian. Jangankan sebab dua benda ini, kita sanggup bersetuju mengatakan tidak salah dividen dan subsidi dibayar tinggi ketika Tabung Haji sebenarnya kerugian.

Jangan dikhianati visi Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz yang mewujudkan tabung ini demi memudahkan orang Melayu pergi haji tanpa terperangkap dalam kemiskinan. Bukannya untuk dijadikan tunggangan kepentingan politik.

Dan jangan dikhianati pula anak cucu kita yang masih perlukan Tabung Haji di masa hadapan. Ini adalah amanah yang kita perlu pegang dalam merealisasikan tuntutan rukun Islam generasi akan datang.

Komen