Tidak lama selepas Dewan Negeri Johor dibubarkan, kita kini dikejutkan pula dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sembilan. Maka kita kini bakal berdepan dengan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di dua negeri, yang berkemungkinan besar akan dijalankan serentak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Saya pernah menulis sebelum ini bagaimana PRN Johor sebenarnya satu pembaziran yang tidak wajar kerana tempoh penggal yang masih berbaki hampir setahun dan akan tamat pada April 2027. Justeru pastinya ramai yang ingin kepastian adakah saya berpandangan serupa dalam PRN Negeri Sembilan.
Jawapan saya, tidak.
Berbeza dengan PRN Johor yang sebenarnya tidak perlu diadakan secara tergesa, PRN Negeri Sembilan pula memang patut dilaksanakan segera mengambil kira kemelut krisis politik yang berlaku di negeri Adat Perpatih itu.
Bahkan, krisis politik yang sedang berlaku di Negeri Sembilan juga sebenarnya berjalan seiringan dengan krisis monarki dan krisis adat yang kini semakin berlarutan dan mengarut.
Walaupun penggal DUN Negeri Sembilan akan hanya berakhir pada November 2028 tetapi situasi semasa menuntut agar kemelut krisis politik diselesaikan segara bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan lancar, sekaligus mungkin menoktahkan juga kemelut krisis monarki dan adat yang sedang berlaku.
Kerajaan Dominan VS Kerajaan Rapuh
Komposisi DUN Johor sebelum ianya dibubarkan terdiri dari 40 kerusi Barisan Nasional (BN), 12 Pakatan Harapan (PH), 3 Perikatan Nasional (PN) dan 1 kerusi MUDA. Dengan majoriti dua per tiga, BN mentadbir negeri Johor secara solo tanpa perlu pada gabungan mana-mana blok parti lain. PH hanya berperanan memberikan confidence and supply bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri dari ancaman ‘tebuk atap’ pihak tertentu dan sebagai mengikut konsep Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Dengan mandat yang besar kerajaan BN di Johor adalah sebuah kerajaan negeri yang dominan, tidak seperti di negeri-negeri lain yang perlukan kesepakatan rentas parti bagi melancarkan urusan pentadbiran.
Namun situasi yang sama tidak wujud di Negeri Sembilan. Kerajaan negeri yang ada adalah kerajaan gabungan PH-BN dengan komposisi DUN sebelum dibubarkan terdiri dari 17 PH, 14 BN dan 5 PN. Dengan jumlah keseluruhan sebanyak 36 kerusi DUN, majoriti mudah di Negeri Sembilan ialah 19 kerusi dan 24 kerusi pula diperlukan untuk mencapai majoriti dua per tiga.
Di Negeri Sembilan tidak ada mana-mana blok parti yang mencapai majoriti mudah dan boleh menubuhkan kerajaan negeri secara solo, justeru gabungan PH-BN adalah satu keperluan. Kerajaan negeri PH-BN yang ada adalah satu kerajaan yang rapuh, dan ia diburukkan lagi apabila ADUN dari BN bertindak menarik sokongan terhadap Menteri Besar dan kerajaan negeri sedia ada. Pada masa yang sama, PN pula menawarkan kerjasama kepada BN dengan potensi mewujudkan sebuah kerajaan negeri cukup-cukup makan dengan majoriti mudah 19 kerusi.
Kerapuhan di Negeri Sembilan ini memaksa DUN dibubarkan dan kuasa memberi mandat diserahkan kepada rakyat Negeri Sembilan melalui PRN.
Alasan Pembubaran
Di kedua-dua negeri yang bakal menempuh PRN ini, alasan yang diberikan berbeza mengikut strategi politik masing-masing.
Di Johor, BN yang mahu bertanding solo di semua 56 kerusi DUN memberikan alasan perlukan mandat baharu untuk meneruskan agenda pembangunan di Johor.
Tentu sekali alasan yang diberikan kedengaran agak janggal mengambil kira parti itu menguasai 40 kerusi DUN sebelum ianya dibubarkan. Apakah yang menghalang sebuah parti dengan majoriti dua per tiga dalam menjalankan pentadbiran dan melaksanakan agenda pembangunan negeri? Adakah perlu sehingga 56 kerusi atau dominasi 100% maka barulah pembangunan boleh dilaksanakan?
Berbeza dengan situasi di Negeri Sembilan, alasan pembubaran adalah keperluan mendapatkan mandat baharu bagi menyelesaikan ketidaktentuan krisis politik yang berlaku.
Kerajaan PH-BN telah berpecah dan PH sendiri tidak mempunyai majoriti yang cukup untuk meneruskan pentadbiran negeri. Justeru jalan penyelesaian adalah membubarkan DUN supaya PRN boleh dilaksanakan bagi membentuk sebuah kerajaan yang baharu walaupun baki penggal masih panjang.
Ofensif Dan Defensif
Hakikat yang sebenarnya adalah PRN di kedua-dua negeri ini dilaksanakan dengan matlamat yang jauh berbeza.
PRN Johor ialah pilihan raya untuk mengukuhkan dominasi BN. Ia adalah langkah ofensif UMNO dan berlaku berlaku ketika kerajaan negeri masih kuat.
PRN Negeri Sembilan pula ialah pilihan raya untuk menyelesaikan krisis keyakinan PH-BN. Apa yang berlaku di Negeri Sembilan ialah langkah defensif PH selepas kerajaan negeri hampir hilang asas majoriti.
Di Johor, PRN di sana adalah medan untuk BN membuktikan mereka tidak perlukan PH; sedang di Negeri Sembilan pula PRN negeri itu adalah medan PH membuktikan mereka tidak boleh terus menjadi tebusan sokongan BN atau UMNO.
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.









