Bila sepatutnya Dewan Negeri Johor dibubarkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN)?
Mengambil kira PRN terakhir diadakan pada bulan Mac 2022, maka ia sepatutnya dibubarkan selewatnya pada April 2027.
Dalam kata lain, ada lebih kurang setahun lagi sebelum penggal yang ada untuk negeri Johor sekarang tamat sepenuhnya.
Pada masa sama, Parlimen Malaysia penggal ke-15 sekarang mempunyai tempoh sah sehingga tamat penggal pada 19 Disember 2027. Lebih kurang setahun setengah dari sekarang.
Jika kita mahu kembali kepada amalan pilihan raya sebelum ini, maka peluang untuk mengadakan PRN Johor dan Pilihan Raya Umum (PRU) serentak boleh dilakukan pada tahun hadapan dalam bulan April.
Ia juga boleh dijalankan serentak dengan PRN di negeri-negeri Semenanjung lain seperti Perlis, Perak dan Pahang yang masih kekal mengadakan PRN serentak dengan PRU, dan juga negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Kelantan yang kini menjalani PRN berasingan dari PRU kerana tempoh penggal yang berbeza.
Ia peluang untuk kita reset kembali amalan pilihan raya sejak Merdeka iaitu PRN dan PRU dijalankan serentak atas faktor kewangan, logistik dan masa. Khususnya untuk negeri-negeri di Semenanjung yang saiznya lebih kecil berbanding Sabah dan Sarawak yang punyai asas kukuh untuk mengadakan PRN berasingan.
Ya, secara logik akalnya mengadakan PRN dan PRU serentak dapat mengelakkan pembaziran berbanding ianya diadakan secara berasingan. Memang betul demokrasi perlu diraikan, tetapi meraikan demokrasi janganlah sampai berlakunya pembaziran yang tidak wajar.
Sayangnya dalam politik, kuasa mengaburi segalanya. Inilah yang berlaku di Johor sekarang.
Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO sebenarnya menghidu peluang yang baik untuk membubarkan Dewan Negeri Johor pada masa lawan mereka iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sedang dilanda krisis.
PH, di sebalik konvensyen gah mereka yang diadakan di Johor Bahru bulan lepas sebenarnya sedang huru-hara. Teraju utama PH iaitu PKR kini sedang melalui satu lagi episod perpecahan parti. Jika dahulu Azmin Ali dan pengikutnya masuk BERSATU, kali ini Rafizi Ramli dan pengikutnya pula menubuhkan BERSAMA. Benar parti BERSAMA itu memang sudah sedia wujud, tetapi ia ‘dilahirkan semula’ dan diberi nafas baharu dengan Rafizi sendiri menjadi kepalanya.
PN pula, masih lagi bergelut antara BERSATU dan PAS tentang siapa yang mahu jadi parti dominan dalam PN. BERSATU kini sudah hampir lumpuh akibat pergolakan dalaman mereka sendiri, sekaligus membuka ruang buat PAS memegang kemudi. Tetapi persoalan timbul sejauh mana PAS mampu memainkan peranan sebagai teraju utama PN khususnya dalam medan PRN Johor yang sudah pun bermula?
Dengan kelemahan yang ada pada pihak lawan inilah, UMNO tanpa peduli kepada kos kewangan, logistik dan masa memilih untuk mengadakan PRN Johor sekarang. Pedulikan tentang krisis bekalan minyak mentah akibat perang di Iran dan penutupan Selat Hormuz, atau pun hakikat bahawa negara kini sedang menanggung beban subsidi bahan api yang membengkak hingga menuntut langkah-langkah berjimat cermat dalam segenap aspek.
Kerana seperti yang saya katakan tadi, dalam politik semuanya dikaburi oleh kuasa.
UMNO dan BN yakin bahawa mereka berpeluang besar menang mudah dalam PRN Johor seperti sebelum ini, jika tidak masakan Onn Hafiz dengan berani mendabik dada mahu partinya bertanding di semua 56 kerusi DUN.
Saya sendiri merasakan memang UMNO dan BN boleh menang besar.
Tetapi jika mengambil kira perkembangan politik negara hampir 10 tahun kebelakangan ini, ada satu perkara yang perlu kita ambil peringatan.
Rakyat hari ini tidak lagi takut menyatakan protes mereka melalui peti undi. Jika tidak suka atau tidak setuju, mereka tiada masalah beralih memberikan undi kepada parti lain.
Buktinya pernah kita saksikan pada tahun 2022. Pada bulan Mac tahun itu, UMNO dan BN menang besar dalam PRN Johor.
Kemenangan itu membuatkan pucuk pimpinan UMNO ghairah mahu mengadakan PRU secepat mungkin. Hasilnya pada Oktober 2022, parlimen dibubarkan dan PRU ditetapkan pada bulan berikutnya.
Apa yang terjadi selepas itu?
UMNO dan BN meraih undi popular paling sedikit berbanding PH dan PN. Bahkan di Johor, majoriti kerusi parlimen dimenangi PH. Seluruh Malaysia, BN hanya menang 30 kerusi parlimen berbanding PH (82) dan PN (73).
Tidak mustahil situasi ini boleh berulang jika pengundi Johor mahu menghukum UMNO dan BN atas pembaziran yang tidak wajar dengan mengadakan PRN sebelum tamat penggal.
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.









