Meramal COVID-19: Adakah Kerajaan Peduli Atau Buat Bodoh?

Pada 6 Disember 2020, Ong Boon Teck, Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian menulis di akhbarnya tentang satu laporan oleh suratkhabar berbahasa Mandarin, Sin Chew Daily. [1]

Laporan Sin Chew Daily itu memetik seorang pakar Covid-19 dari China, Zhong Nanshan yang meramalkan bahawa dijangkakan pada 25 Januari 2021, kes Covid-19 di Malaysia akan mencecah sehingga 187,997 kes. Zhong Nanshan adalah seorang doktor perubatan, pakar pulmonology dan merupakan individu yang pernah terlibat dalam krisis pandemik SARS pada tahun 2002. Beliau juga adalah penerima pingat Medal of the Republic, anugerah tertinggi di China sebagai penghargaan atas sumbangannya dalam menangani Covid-19.

Tahu berapa kes setakat 25 Januari 2021? 186,849 kes.

Pakar dari China tadi tersasar sedikit, tapi hanya dalam 0.7% sahaja perbezaannya untuk sesuatu yang melibatkan angka yang besar. Dalam erti kata lain, ramalan beliau memang tepat.

Saya tidak pasti semasa pecah berita tersebut, ada atau tidak kerajaan kita ambil maklum dan ambil tindakan sewajarnya berdasarkan pada ramalan pakar itu.

Tapi yang saya ingat adalah selepas berita itu keluar, esoknya pada 7 Disember pergerakan merentas negeri tanpa sekatan dibenarkan oleh kerajaan. Jumlah kes pada masa itu adalah sebanyak 74,294. Hal ini ada saya tulis dalam artikel ‘Setahun Covid-19 Di Malaysia’. [2]

Saya rasa, dalam membuat ramalan pakar selalunya meletakkan jangkaan mereka berdasarkan keadaan pada ketika ramalan dibuat, dengan syarat tiada sebarang perubahan berlaku selepas dari itu. Ceteris paribus kata orang. Semua sama, tiada yang berubah. Jika ada perubahan drastik dilakukan, maka pastilah ramalan tersebut akan meleset. Ia sama seperti ramalan cuaca. Jika peramal cuaca menjangkakan hujan di waktu petang, hanya perubahan drastik iklim seperti tiupan angin, kadar kelembapan dan sebagainya yang akan dapat mengubah kepada tiada hujan di waktu petang.

Maka selamat untuk saya katakan selepas pecah berita, tiada tindakan sewajarnya dibuat kerajaan untuk menidakkan ramalan pakar China itu. Kalau ada pun mungkin sejak 13 Januari 2021 apabila PKP 2.0 dan Darurat dikuatkuasakan. Itu pun kita nampak PKP tak macam PKP dan Darurat adalah lebih kepada menyelamatkan kerajaan PN. Atas sebab itulah, Zhong Nanshan tersasar 0.7% dari ramalan beliau. Kalau ada tindakan sewajarnya pada skala drastik, mungkin angka kes pada 25 Januari jauh berbeza dengan yang diramal pakar dari China itu.

Lalu hari ini kita terciduk.

Kalau anda ingat benda ini habis di sini, mohon maaf nak beritahu, ada lagi.

Pada 25 Januari juga, Sin Chew Daily pecah berita lagi dengan memetik ramalan dari pakar yang sama, Zhong Nanshan. [3]

Kali ini beliau menjangkakan bahawa dua bulan dari sekarang, angka Covid-19 di Malaysia akan mencecah kumulatif 600,000 kes.

Kata beliau, pada hari pertama Tahun Baharu Cina kes dijangka mencecah 269,123. Tahun Baharu Cina adalah pada 12 Februari.

Menjelang Chap Goh Meh, atau 26 Februari, jumlah kes akan mencapai angka 356,030. Ini berlaku dalam tempoh dua minggu dari Tahun Baharu Cina hingga ke Chap Goh Meh.

Ia seterusnya dijangka akan mencecah 598,735 kes pada 24 Mac. Menghampiri angka 600,000 seperti yang diramalkan.

Zhong Nanshan juga berpesan, selepas 16 Mac berkemungkinan kes baharu harian Covid-19 adalah sebanyak 10,000 kes sehari. Ini angka yang sangat menggusarkan. Kita perlu bertanya kembali, jika kes baharu mencecah 10,000 kes sehari, adakah kerajaan mempunyai keupayaan fasiliti dan tenaga frontliners untuk berdepan dengan jumlah sebegini? Atau adakah ianya akan berkesudahan dengan tumbangnya sistem kesihatan negara? Apakah persediaan kerajaan, jika ada, dengan kuasa Darurat yang sudah dimiliki untuk mengerah semua institusi kesihatan termasuk dari pihak swasta bagi berdepan dengan senario menakutkan ini?

Macam saya katakan tadi, ramalan bila dibuat oleh pakar adalah berdasarkan keadaan semasa dengan syarat tiada sebarang perubahan drastik berlaku hingga ke tarikh ramalan tersebut. Ceteris paribus.

Zhong Nanshan sudah terbukti betul dengan ramalan Disember tempoh hari. Adakah beliau akan terbukti betul sekali lagi dengan ramalan kedua ini?

Juga satu lagi yang saya belajar dari dahulu hingga sekarang ialah suratkhabar Cina, macam Sin Chew Daily selalunya melaporkan apa yang sahih. Ia tidak seperti suratkhabar Utusan zaman BN atau jauh sekali macam Harakah sekarang. Banyak membohong dari melapor apa yang betul.

Maka bila Zhong Nanshan yang buat ramalan, dan Sin Chew Daily yang pecah berita, rasanya perlu kita beri perhatian khusus. Ini bukan propaganda kosong oleh pakar China atau suratkhabar Cina. Ini adalah jangkaan atau ramalan yang dibuat berdasarkan fakta. Zhong Nanshan cukup dikenali sebagai seorang pengamal perubatan yang menekankan kepentingan pendekatan evidence-based.

Kalau kerajaan PN masih nak buat bodoh dan tidak mengambil langkah drastik, maka bersedialah untuk kita menyaksikan ramalan menjadi realiti sekali lagi.

Moga Tuhan lindungi kita semua. Amin.

Komen