Bilamana menyebut LGBT, perkataan yang paling kerap dilemparkan balik ialah fitrah. Dalam kosa kata orang awam, fitrah merujuk kepada keadaan semula jadi seseorang yang sering dikaitkan dengan norma gender: lelaki adalah lelaki, perempuan adalah perempuan, lelaki suka perempuan, perempuan suka lelaki. Apabila melihat lewat lensa ini, komuniti LGBT dilabel sebagai “songsang” kerana keadaan naluri dan pembawaan kami dianggap berlawanan dengan norma ini yang disamakan dengan fitrah. Fitrah pula, menurut sebuah hadis popular riwayat al-Bukhari, adalah keadaan yang mengiringi kelahiran setiap orang. Dalil inilah yang mewujudkan tanggapan dalam kalangan masyarakat bahawa bukan sahaja mustahil untuk seseorang dilahirkan dengan ketertarikan sama jenis ataupun naluri batin yang bercanggah dengan biologi zahir, bahkan masih mungkin untuk perkara ini “diperbetulkan”.
Saya tidak berminat untuk membahaskan sama ada naluri seseorang adalah perkara tetap (essentialism) atau boleh ubah (constructionism). Kalau mengubah kecenderungan LGBT itu mungkin sekalipun, ia bukan proses yang mudah mahupun aman. Sebaliknya, saya lebih berminat untuk membahaskan beberapa konsep daripada ilmu-ilmu Islami bagi mendalami pemahaman dan memperbetulkan salah faham yang sudah tersebar luas dalam kalangan masyarakat am, bermula dengan konsep fitrah. Menurut Moustafa Elqabbany dalam sebuah tulisan terbitan The Muslim 500, persamaan antara fitrah dan alamiah merupakan pemahaman yang berfalasi. Hal ini kerana fitrah atau keadaan semula jadi seseorang yang disebut dalam al-Quran dan hadis bukan merujuk kepada apa yang dianggap selari dengan ketetapan alam semula jadi (the natural world). Bagi membuktikan hal ini, beliau memetik sunan al-fitrah.
Sunan al-fitrah merujuk kepada amalan-amalan menjaga kebersihan dan kekemasan diri. Rasulullah (SAWW) bersabda dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim: “Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.” Di sini, kita dapat melihat bagaimana fitrah yang dianjurkan baginda nabi berlawanan dengan alam semula jadi. Bulu, kuku dan misai pada badan kita tumbuh secara alamiah, namun kita dipesan untuk mencukur, memotong dan mengguntingnya. Lebih-lebih lagi, setiap bayi lelaki secara semula jadi dilahirkan dengan zakar yang berkulup, tetapi agama mewajibkan kita untuk berkhatan, yakni mengubah ciptaan Tuhan secara kekal dengan membuang kulup yang masakan tumbuh kembali. Jelaslah, konsep fitrah tidak merujuk kepada apa yang selari dengan ketetapan alam semula jadi.
Selain daripada sunan al-fitrah, terdapat hukum-hukum syariah yang bertentangan dengan kejadian alamiah manusia. Pada bulan Ramadan, misalnya, kita disyariatkan untuk menahan diri daripada makan, minum dan berjimak di siang hari. Lapar, dahaga dan syahwat yang mengisyaratkan keperluan biologi manusia dinafikan semata-mata untuk mengajarinya ketakwaan. Takwa pula merupakan sifat mulia yang memelihara keimanan. Dalam erti kata lain, Tuhan sendiri dalam sesetengah hal memerintahkan hamba-Nya untuk melawan sifat alamiah diri bagi meningkatkan keimanan. Maka, seorang muslim yang taat bukan ditakrifkan sebagai orang yang keinginannya seratus peratus selari dengan batas halal-haram syariat, tetapi orang yang, apa pun keinginannya, mengutamakan hukum-hukum Islam demi mencapai keredaan Tuhannya. Melalui pemahaman ini, seorang muslim LGBT bukanlah konsep asing.
Istilah muslim LGBT, secara mudahnya, menggambarkan seorang muslim yang sama ada mengalami ketertarikan sama jenis ataupun merasakan dirinya dilahirkan dengan alat kelamin yang salah. Untuk kes pertama, hubungan sama jenis disepakati haram berdasarkan kisah kaum nabi Lut (AS). Untuk kes kedua, biarpun terdapat mazhab Jafari yang kebanyakan fuqahanya membenarkan pertukaran jantina secara bersyarat, ia masih lagi sesuatu yang tidak disepakati halal dalam kalangan majoriti fuqaha mazahib Sunni. Memandangkan saya bukan faqih dan majoriti penganut Islam di Malaysia berpegang pada mazhab Syafi’i, saya akui yang perbuatan seks sama jenis dan pertukaran jantina secara de facto diharamkan ke atas orang Islam dalam konteks semasa negara kita. Meskipun begitu, saya tetap mengecam kegiatan badan organisasi Islam yang cuba untuk mengubah naluri dan pembawaan golongan muslim LGBT.
Aktivis dan penggerak organisasi Islam yang berdakwah kepada golongan LGBT umumnya mengambil pendekatan mengembalikan mereka kepada fitrah yang ditakrifkan sebagai alamiah seperti tanggapan orang awam. Sefaham saya, pendekatan mereka setakat ini bukanlah seperti amalan conversion therapy di negara-negara barat yang bukan sahaja dipaksakan ke atas anggota LGBT, malah melibatkan metode yang tidak berperikemanusiaan seperti penderaan fizikal dan rogol pemulihan (corrective rape). Program-program seperti mukhayyam yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) lebih kurang ibarat kem kepimpinan yang mendedahkan mereka kepada ilmu-ilmu asas Islam dan juga kesihatan seksual. Pihak JAKIM mengambil pendekatan menyantuni tanpa apa-apa unsur paksaan yang nyata. Biarpun begitu, pendekatan sebegini tidaklah bebas daripada kritikan.
Menurut Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), antara matlamat utama JAKIM dalam melaksanakan program ini adalah “untuk menjaga keturunan, supaya keluarga yang dibina berasaskan konsep asas keluarga iaitu di antara lelaki dan perempuan”. Agenda ini bertujuan memperkukuh budaya perkahwinan antara lelaki dan perempuan supaya mendirikan rumahtangga demi kepentingan kelangsungan agama dan negara. Disebabkan ini, terdapat organisasi pemulihan orang-orang LGBT yang hidup dengan HIV, yang biasa mengaturkan pernikahan antara lelaki gay dan perempuan lesbian. Pernikahan ini menjadi cara “memperbetulkan” anggota LGBT yang ingin “kembali kepada fitrah”. Walaupun, sekali lagi, tiada unsur paksaan yang nyata, saya menganggap perbuatan begini zalim kerana tidak kena pada tempatnya.
Saya tidak lupa bahawa di alam persekolahan dulu, kita diajarkan dalam kelas Pendidikan Islam yang adapun bernikah itu sunnah nabi, para ulama telah menetapkan lima kategori hukum berdasarkan niat dan kemampuan seseorang untuk berkahwin. Maksudnya, walaupun dianggap sebagai perkara yang sangat baik dan memanfaatkan kepada agama, berkahwin bukanlah satu-satunya matlamat hidup seorang Muslim. Malah, matlamat hidup kita hanyalah satu, yakni untuk mengabdikan diri kepada Tuhan. Pengabdian tersebut tidak terbatas kepada ibadat berkahwin sahaja, lagi-lagi kalau kita tiada keinginan mahupun kemampuan untuk memenuhi tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Dengan ini, tindakan mengajar orang LGBT bahawa jalan ke Tuhan hanyalah melalui perkahwinan yang sah di sisi syar’i bukan sahaja tiada sandaran dalam agama, bahkan hanya menjeratnya dalam situasi yang tidak diredainya.
Daripada mendorong muslim LGBT, yang ikhlas mahu mencari Tuhan, ke arah gaya hidup yang tidak diredainya, saya rasa lebih efektif kalau kita mencartakan suatu jalan baharu buatnya. Jalan ini telah saya namakan cintaneka dalam sebuah tulisan yang lepas. Cintaneka menolak liberalisme yang mengagungkan nafsu, dan juga ideologi Islam kaku yang tidak mengambil kira keperluan khusus golongan LGBT. Ia menuntut suatu pembaharuan antara kedua-duanya, di mana orang LGBT tidak perlu menolak hakikat identitinya untuk mematuhi syariat. Budaya LGBT bukan sekadar budaya hiperseks memuaskan nafsu al-ammarah semata-mata. Budaya LGBT perlu difahami sebagai solidariti sesama orang gay, lesbian, biseksual, transgender dan sebagainya, solidariti yang lahir daripada penindasan dan diskriminasi yang sama, yang mendorong dirinya untuk berkhidmat membela nasib seluruh orang-orang yang ditindas di dunia.
Sepertimana setiap orang yang baru mendakap Islam tidak disuruh untuk meninggalkan langsung adat budaya lamanya, kaum LGBT juga tidak patut disuruh melakukan demikian. Nasihat yang patut diberi dalam situasi sebegini adalah supaya ia mengambil yang jernih dan meninggalkan yang keruh. Islam tidak datang untuk melenyapkan segala yang ada, tetapi untuk mengekalkan yang baik dan memperbaiki yang buruk, dengan matlamat agar seluruh ciptaan di dunia diabdikan kepada Tuhan yang esa. Hal inilah yang memungkinkan keragaman dalam umat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa. Kesemuanya bukan sahaja masih mengamal budaya warisan masing-masing, bahkan telah menghasilkan budaya Islaminya yang tersendiri, membezakannya daripada yang lain tanpa menyimpang daripada asas Islam yakni al-Quran dan as-Sunnah. Insyaallah, kaum LGBT muslim pun mampu melakukan yang sama. Wallahu A’lam.

Ratu Yousei merupakan anak lahiran Selangor yang asyik membaca tentang sastera, politik, teologi, fiqah, dan Marxisme, di samping terlibat dalam penyusunan akar umbi.









