Orang tua-tua berpesan, ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk. Dalam sejarah Melayu pula, watak seperti Raja Mendeliar menjadi iktibar bahawa kesombongan dan keangkuhan sering membawa padah.
Prinsip yang tulen tidak perlu dijadikan topeng untuk meninggikan diri atau merendahkan orang lain.
Keangkuhan bukan prinsip!
Dari Ipoh merantau ke Machap,
Singgah Paloh membeli rotan;
Jangan angkuh meninggi cakap,
Pangkat dan jawatan tidak berkekalan.
Apakah Onn Hafiz sedang mengatakan bahawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad—yang lebih lama berkhidmat dalam UMNO, kerajaan dan sebagai wakil rakyat—adalah Menteri Besar serta ahli UMNO yang kurang hebatannya ketimbang dirinya sendiri hanya kerana mentadbir bersama DAP?
Bagaimana pula Setiausaha Agung Barisan Nasional Dato’ Seri Zambry yang dilantik senator menjadi Menteri Pengajian Tinggi oleh kerajaan yang ‘semeja’ dengan DAP?
Bagaimana pula dengan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri yang duduk sebelah setiausaha agung DAP? Adakah beliau juga ahli UMNO yang kurang martabatnya berbanding Onn Hafiz? Adakah Timbalan Presiden itu patut berundur?
Adakah Menteri Besar Pahang, Ketua Menteri Melaka, semua menteri UMNO dalam Kabinet dan barisan EXCO negeri yang bekerjasama dengan DAP juga dianggap kurang bermaruah, kurang setia dan kurang layak sebagai ahli UMNO? Perlukah mereka semua meletakkan jawatan?
Jika semeja dengan DAP dianggap satu kesalahan besar, bagaimana pula apabila kerjasama berkempen sepasukan untuk memenangkan calon UMNO yang *turut disokong* DAP? Yang itu boleh pula?
Dalam bahasa Inggeris, sikap seperti ini disebut hypocrite. Dalam bahasa Melayu, ada yang menyifatkannya sebagai lidah biawak—cakap lain, buat lain. Kalau begitu, cuba pula teka apakah istilah yang paling tepat dalam bahasa Arab untuk menggambarkan perangai sedemikian.
Pada usia 47 tahun, Onn Hafiz masih dianggap muda mengikut resmi politik UMNO. Beliau baru dua penggal menjadi wakil rakyat dan kini baru mahu memasuki penggal ketiga. Ukurlah baju di badan sendiri. Kekurangan pengalaman bukannya satu kesalahan, tapi ia juga bukan lesen untuk bersikap angkuh.
Malaysia dan masa hadapan negara memerlukan kepimpinan yang matang, bukan politik bagai ayam jantan berkokok lantang, tetapi ekor bergelumang tahi.

Howard Lee adalah Ahli Parlimen Ipoh Timor (PO64). Beliau juga ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selain menjadi ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, Majlis Perundingan Luar Negeri dan ahli Lembaga Eksekutif Perak Investment Management Centre. Howard juga merupakan mantan Ketua Pemuda Sosialis DAP serta mantan Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa (IUSY).









