Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 telah menunjukkan betapa gagahnya UMNO untuk mencari peluang mendapatkan mandat baharu melalui pilihan raya. Setelah hampir empat tahun bersama Kerajaan MADANI yang dipimpin Dato’ Seri Anwar Ibrahim, UMNO-Barisan Nasional (BN) sekali lagi menunjukkan sikap Abang Besar dalam politik Malaysia.
BN paling menarik dalam dinamika politik hari ini. Ramai yang tidak sedar, pasca kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018, UMNO-BN adalah satu-satunya parti yang berada dalam kerajaan Persekutuan paling lama berbanding PAS dan PH.
UMNO-BN membentuk kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri bersama Perikatan Nasional (PN) selama 33 bulan selepas menjatuhkan kerajaan PH 1.0 akibat Langkah Sheraton. Kini, UMNO-BN membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH yang sudah bertahan memasuki empat tahun. Faktanya, UMNO-BN tidak pernah benar-benar terkeluar daripada orbit kuasa Persekutuan.
DNA “Abang Besar” UMNO-BN masih menebal. Hujung-hujung penggal, ugutan dan tarik sokongan akan kedengaran. Ugutan ini pernah berlaku pada tahun 2022 sehingga Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri selama 15 bulan. Semua berpunca kerakusan UMNO-BN untuk memanggil pilihan raya lebih awal. Malangnya, Kerajaan Perpaduan juga berdepan ugutan yang sama.
PAS Dari Third Force Kepada Kuasa Melayu
Hubungan akrab PAS-UMNO terjalin semasa fiasko 1MDB lagi. PAS menjadi ‘third force’ dalam PRU14 untuk membantu UMNO-BN pecah undi PH.
Percaturan itu tidak menjadi. PRU14, PAS hanya ada 18 kerusi, lebih rendah berbanding PRU13 sebanyak 21 kerusi. Dari sisi yang berbeza, PAS berjaya merampas negeri Terengganu daripada BN. PAS juga berjaya memperoleh 15 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berbanding UMNO-BN yang hanya tinggal tiga kerusi.
Trend ini memperlihat PAS adalah alternatif pengundi Melayu menggantikan UMNO-BN. PAS memulakan langkah membentuk Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO pada tahun 2019. MN berjaya membentuk kerajaan Pusat dan beberapa kerajaan negeri seperti Perak dan Kedah hasil Langkah Sheraton.
Pemerintahan PN dan BN selama 33 bulan penuh pergolakan. Menghampiri PRU15, PAS masih berharap dapat berganding tenaga dengan UMNO-BN dengan formula “satu lawan satu” pada masa yang sama PAS mahu kekal dalam PN. Situasi ini menyebabkan UMNO-BN bergerak solo dan PAS bertanding dengan PN.
PRU15 telah menunjukkan prestasi terburuk UMNO-BN di peringkat parlimen dan negeri. PAS berjaya menambah 43 kerusi parlimen dan merampas negeri kubu kuat BN iaitu Perlis dan mengalahkan UMNO-BN di kerusi DUN Perak dan Pahang. Gelombang hijau PRU15 benar-benar meranapkan gabungan BN, termasuk PH.
Meskipun Kerajaan Perpaduan dibentuk, PAS konsisten ingin menumbangkan pentadbiran Anwar Ibrahim. PAS sudah menjadi lebih praktikal dengan menjalinkan kerjasama dengan UMNO-BN untuk mewujudkan ketidakstabilan Kerajaan Perpaduan yang hampir hujung penggal.
PAS sanggup melakukan kudeta dalam PN dengan menolak rakan sekutunya Bersatu secara habis-habisan demi menjalin kerjasama UMNO-BN. Persoalannya, apakah kerjasama UMNO-BN dan PAS boleh berlaku pada PRU16?
Formula Negeri Sembilan?
Dalam konteks hari ini, PAS dan UMNO-BN mempunyai kedudukan pragmatik. Formula ‘satu lawan satu’ seperti di Negeri Sembilan boleh digunakan dengan PAS dan UMNO-BN mempertahankan kerusi parlimen dan negeri masing-masing.
Formula Negeri Sembilan menunjukkan UMNO-BN mempunyai jumlah kerusi yang lebih besar berbanding PAS dan Parti Wawasan. BN bertanding 25 kerusi dan PN pula 11 kerusi. Bermaksud, BN bertanding 70% kerusi dan PN hanya 30%. Mungkin, UMNO-BN akan menjadi Abang Besar pada PRU16.
Mesej ini turut disampaikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Mohammad Hassan yang mendesak PAS menunjukkan keikhlasan persahabatan dengan membubarkan DUN Terengganu dan memutuskan komposisi agihan kerusi seperti mana yang dilakukan di Johor dan Negeri Sembilan.
UMNO-BN dan PAS dilihat berdepan jalan sukar untuk berunding kerusi negeri Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan Perak. Ada kemungkinan PAS dan UMNO-BN akan berbincang siapa yang akan mentadbir negeri dan bertanding parlimen di negeri-negeri ini.
UMNO-BN dijangka akan menuntut kerusi tradisi mereka daripada PAS seperti Putrajaya, Langkawi, Kubang Pasu, Baling, Padang Terap dan Bagan Serai. Mungkin, UMNO-BN akan betembung dengan kerusi dengan Parti Wawasan dan Parti Gerakan.
Namun, suara dari Muktamar PAS pada 5 September lalu telah menunjukkan PAS tidak akan mempertahankan kerusi dimenangi tanpa berunding dengan mana-mana parti. Pendirian ini telah memberi mesej bahawa PAS tidak akan lagi bersikap mengalah atau sebagai ‘adik kecil’ apabila berdepan dengan UMNO-BN.
Dari sudut yang berbeza, UMNO-BN mempunyai kelebihan kerusi parlimen di Sabah berbanding PAS dan Parti Wawasan. Setakat ini, UMNO-BN masih tidak mempunyai kerjasama formal dengan Parti Warisan apatah lagi dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
UMNO-BN mempunyai jentera dan sejarah. PAS mempunyai momentum dan kekuatan Melayu. Kedua-duanya mempunyai kelemahan yang boleh ditampung oleh pihak yang satu lagi. UMNO-BN tidak boleh lagi melihat PAS sebagai adik. Mereka juga Abang Besar yang semakin berpengaruh dalam pengundi Melayu.
Melihat kepada keadaan semasa, BN dilihat dapat meningkatkan semula kerusi parlimen jika PAS memberi laluan mudah kepada mereka untuk berunding kerusi satu lawan satu. Namun, sejauh manakah UMNO-BN mampu mendapatkan sekurang-kurangnya 30 kerusi. Mampukah UMNO-BN menang sekurang-kurangnya 40 kerusi pada PRU16? Adakah PAS menyokong UMNO-BN menjadi Abang Besar dalam gabungan PRU16?

Fakhrurrazi Rashid berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Orang panggil Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Bapa muda kepada Aleesa yang peduli dengan nasib generasi akan datang. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.









