Perpecahan PAS dan BERSATU bukanlah kejutan. Ia cuma satu lagi episod ulangan dalam sejarah panjang politik PAS. Masuk berpakat atas nama ummah, keluar bertelagah atas nama prinsip, kemudian mencari ranjang politik baharu atas nama “penjajaran”. Kali ini PAS secara rasmi memutuskan hubungan politik dengan BERSATU selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat meneliti laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Di atas kertas, PAS cuba menampilkan keputusan itu sebagai langkah strategik. Tetapi realitinya ia lebih menyerupai satu lagi perceraian politik selepas habis madu sepah dibuang. Kali ini BERSATU menjadi mangsa. Sebelum ini UMNO pernah merasa. Begitu juga dengan PKR dan DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat. Semangat 46 juga pernah dijadikan mangsa.
Tidak menghairankan apabila Saifuddin Nasution sendiri menyindir bahawa sesiapa sahaja yang bergabung dengan PAS akhirnya pasti “bercerai”, sindiran yang bukan sekadar retorik politik kosong. Ia adalah ringkasan sejarah hubungan PAS dengan hampir semua rakan politiknya. Dicari ketika perlu, dicerai ketika sudah jemu.
Inilah masalah terbesar PAS. Parti itu membawa imej Islam, bercakap dengan bahasa agama, menunggang istilah wala’, jihad, ummah dan penyatuan Melayu-Islam, tetapi amalannya dalam politik berkali-kali memperlihatkan perangai oportunis paling telanjang. Apabila bersama DAP mereka boleh bercakap soal keadilan dan negara berkebajikan. Apabila bersama UMNO, mereka bercakap soal penyatuan ummah. Apabila bersama BERSATU, mereka bercakap soal menumbangkan kerajaan Perpaduan Madani. Apabila hubungan sudah tidak menguntungkan, semuanya dibuang ke longkang dengan alasan tersendiri.
Sebab itu istilah paling tepat untuk menggambarkan PAS dalam politik Malaysia hari ini ialah sebagai pelacur politik. Bukan kerana agama Islam itu buruk, jauh sekali. Tetapi kerana PAS sendiri yang memburukkan imej Islam apabila agama dijadikan topeng menutup nafsu kuasa. Mereka menjual imej suci dan memetik ayat atau hadis untuk mendisiplinkan pengikut, tetapi di meja politik mereka bertukar pasangan seperti pelacur bertukar pelanggan.
Bagi BERSATU perceraian ini menyakitkan kerana parti itu selama ini banyak menumpang jentera akar umbi PAS. Tanpa PAS, BERSATU kelihatan seperti parti elit Melayu yang besar di pentas ceramah tetapi rapuh di lapangan. Ketika musim berkempen pilihan raya yang diharapkan untuk mengedar poster, mengibar bendera hinggalah kepada yang menyusun kerusi dan menjaga aliran trafik ketika ceramah hampir semuanya dikerjakan oleh jentera akar umbi PAS.
Namun PAS juga tidak kebal. Tanpa BERSATU, PAS mungkin kuat di kubu tradisi tetapi tetap berdepan kesukaran menembusi kawasan campuran dan bandar. Tanpa BERSATU juga, PAS kehilangan cerdik pandai politik yang boleh bercakap tentang dasar, ekonomi dan agenda nasional.
Akhirnya yang pecah bukan sekadar Perikatan Nasional (PN). Yang lebih parah ialah imej Islam yang PAS sendiri calarkan. Islam sepatutnya membawa amanah, istiqamah dan akhlak politik. Tetapi PAS menjadikannya kostum untuk berdagang kuasa. Maka jangan salahkan rakyat jika mereka semakin melihat PAS bukan lagi sebagai parti Islam, tetapi sebagai parti yang melacurkan nama Islam demi survival politik sendiri.
Kini persoalannya, siapa lagi yang mahukan PAS sebagai rakan politik mereka?

Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.









