Cintaneka: Ke Arah Mewacanakan Politik Queer Baharu

“Cinta bukan satu makna / Bukan semata untuk hawa / Kita semua dilahirkan atas nama cinta / Sayangikan lah mereka / Yang memerlukan untuk terus bernyawa / Dan percayalah / Hati akan tenang / Hidup aman damai / Teruskanlah berjuang”

— Amir Jahari, Cin-ta (2024)

Cintaneka merupakan suatu kalimah yang sudah bertahun-tahun membenih di otak saya. Ia lahir daripada gabungan kata “cinta” dan “aneka”. Maksud yang dibawanya, menurut niat saya, adalah suatu cinta yang beraneka ragam. Sepertimana sebuah kedai serbaneka menjual berbagai-bagai jenis barangan dengan serba lengkap untuk para pengguna, ataupun suatu majlis sukaneka menonjolkan beraneka ragam acara sukan di padang sekolah, cintaneka bertujuan menjelaskan fenomena cinta yang termanifestasi dalam pelbagai bentuk. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan cinta di sini?

Cinta melibatkan dua hal: perasaan dan tindakan. Perasaan cinta adalah suatu yang serasi dengan fitrah manusia. Ia timbul daripada keinginan kita untuk mendekati satu sama lain dan menjalinkan hubungan sosial. Malah, bagi orang yang mengimani kewujudan Tuhan, ilmu kerohanian mengajar bahawa fitrah kita sebagai makhluk adalah untuk menjalinkan hubungan dengan Sang Pencipta. Keinginan inilah yang menggerakkan manusia untuk bertindak memulakan bicara, sama ada dengan menyapa saudara di sebelah ataupun bersujud di atas kain sejadah. Walhasil, rasa cinta dan kelakuan mencinta bukan sahaja kebiasaan kita, bahkan juga tidak mudah dipisahkan.

Perbincangan mengenai perasaan dan tindakan ini pula lazimnya berlaku dalam konteks mengupas isu LGBT. Bagi mendukung syariat Islam sambil memelihara prinsip rahmat kepada seluruh alam, terdapat sekumpulan orang yang menekankan perbezaan antara perasaan dan tindakan. Larangan agama bukan terletak pada nafsu, tetapi pada kelakuan yang tunduk kepadanya. Biarpun begitu, saya tidak pernah puas dengan sudut pandang ini kerana hanya terbatas kepada sentimen bahawasanya komuniti LGBT adalah golongan yang perlu disantuni supaya dapat kembali ke pangkal jalan, seakan-akan mereka hanyalah orang yang terjerat dalam kemaksiatan sistemik disebabkan faktor sosioekonomi tertentu.

Selain daripada melakukan apa yang dianggap maksiat, anggota komuniti LGBT juga merupakan ahli masyarakat yang kuat memberi sumbangan. Sebagai contoh, semasa banjir melanda beberapa kawasan di Semenanjung pada hujung tahun 2021, sebuah organisasi pemuda gay JEJAKA telah mengaturkan inisiatif bagi mengumpul derma dan tenaga sukarelawan demi menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terkesan. Saya sendiri ada menyertai inisiatif ini, membersihkan perumahan di sekitar Selangor dan menghantar sumbangan kepada mangsa-mangsa di Kuantan. Dalam krisis yang dihadapi rakyat, kumpulan LGBT ini telah menyambut semangat “kita jaga kita” demi memelihara kemaslahatan masyarakat umum.

Semangat ini juga terlihat pada organisasi-organisasi LGBT yang merupakan penggerak utama di bawah Malaysian AIDS Council (MAC) anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membasmi penyebaran virus HIV di negara kita. Dengan bantuan pekerja-perkerja outreach yang terdiri daripada anggota komuniti LGBT, KKM berjaya menurunkan jumlah kes kejangkitan HIV sebanyak hampir 50% sejak tahun 2002 dalam masa 21 tahun. Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa adanya inisiatif bersama dengan ahli komuniti yang sendiri berusaha untuk mengukuhkan jaringan dalamannya, menyelami akar umbi untuk bersua dengan mereka yang perlu dibantu. Kerjasama itu mustahak dalam apa-apa usaha untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Contoh-contoh yang telah saya sampaikan memberi gambaran bahawa politik LGBT, atau politik queer, tidak patut dianggap sebagai kegiatan mempromosi budaya hedonis liberal yang bercanggah dengan nilai-nilai tempatan. Sebaliknya, kita dapat melihat bahawa terdapat orang LGBT tempatan yang menunjukkan nilai-nilai orang kita seperti kebersamaan, kemasyarakatan, dan kesukarelawanan dalam melaksanakan aktiviti yang memanfaatkan seluruh rakyat. Hal ini selari dengan ikrar oleh sekumpulan mak nyah di Seminar Kebangsaan Pertama Mak Nyah dan HIV/AIDS pada tahun 1998 yang menyatakan komitmen mereka untuk mengamalkan disiplin diri, memberikan satu imej baik kepada masyarakat, dan mencapai segala resolusi yang telah diputuskan bagi menjaga kepentingan kesihatan nasional. Hakikatnya, komuniti LGBT sudah lama membawa faedah kepada negara kita.

Dalam iklim perang budaya antara puak konservatif dan liberal pada hari ini, yang membabitkan komuniti LGBT secara polemik, yang membiakkan sikap kebencian di samping memecah belahkan seluruh rakyat, saya berpendirian bahawa amat penting untuk ahli komuniti tampil ke hadapan membawa nafas baharu kepada gerakan. Kita sebagai rakyat gay, lesbian, transgender, dan sebagainya yang mengambil berat tentang kebajikan komuniti perlu menjadi teladan. Kita perlu menyumbang keringat dan tenaga kepada pembinaan suatu budaya baharu dalam kalangan kita, budaya yang mengangkat matlamat-matlamat jelas dalam mencapai tujuan politik kita, politik yang menyambut semangat para mak nyah di seminar 1998 tersebut. Kita perlu membuktikan bahawa kita ini bukannya pembawa kerosakan yang dipengaruhi budaya asing, tetapi penduduk tempatan yang juga berhak ke atas tanah ini.

Memandangkan Bulan Jati Diri akan tiba tak lama lagi, saya ingin menyeru kepada seluruh komuniti supaya memperhalus apa yang dimaksudkan dengan jati diri ini. Adakah jati diri kita budaya menyembah nafsu semata-mata demi keenakan sementara di dunia? Atau sebaliknya, jati diri kita merupakan suatu pengamatan cinta yang mendalam, yang melahirkan solidariti sesama kita yang mengenal erti penindasan dan diskriminasi, yang mengenal kesakitan disebabkan kebencian hebat oleh orang di sekeliling? Lebih-lebih lagi, adakah solidariti ini terbatas kepada orang-orang terpilih sahaja? Atau ia merupakan solidariti yang meluas, yang menggapai tangan golongan marginal lain seperti migran, pelarian, stateless, dan gelandangan? Apakah sebenarnya yang patut memaknai cintaneka kita ini? Mari kita renungkan sama-sama. Wallahu A’lam.

Komen