“Dengarkan sini hai anak ratu,
Ombak dan airnya asalnya satu,
Seperti manikam muhith dengan batu,
Inilah tamsil engkau dan ratu.
Jika terdengar olehmu firman,
Pada Taurat, Injil dan Furqan,
Wa Huwa ma‘akum pada ayat Quran,
Bikulli syaiin muhith terlalu ‘iyan.
Syari‘at Muhammad ambilkan suluh,
Ilmu hakikat yugia kau pertubuh,
Nafsumu itu yugia kau bunuh,
Makanya dapat sekelian luruh.”
— Hamzah Fansuri, Bismillahir Rahmanir Rahimi
Dalam bahasa harian, kita sering menggunakan perkataan nafsu untuk merujuk kepada keinginan kita, terutamanya yang bersifat duniawi. Penakrifan ini diperkukuh oleh definisi yang diberi kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP): “keinginan yang kuat”. Biarpun begitu, bagi sesiapa yang mendalami ilmu tasawuf ataupun menguasai sedikit bahasa Arab, perkataan nafsu jelas berasal daripada kalimah nafs yang sering ditakrifkan dengan makna diri (self) dalam perbahasan falsafah. Bahkan, kalau meneliti rangkap ketiga petikan syair di awal penulisan ini, perkataan nafsu pernah pada suatu ketika dahulu di Alam Melayu membawa maksud diri dengan takrifan ini. Fenomena perubahan maksud ini dikenali sebagai penyempitan semantik (semantic narrowing) dalam kalangan ahli bahasa, di mana makna sesuatu kalimah yang diserap daripada bahasa lain disempitkan. Namun, penyempitan ini bukanlah suatu kecelaruan.
Diri kita tidak dapat dipisahkan daripada kemahuan kita, kerana manusia adalah makhluk yang tak serik menginginkan kebendaan di dunia. Diri kita juga merupakan kunci mengenali Tuhan, sepertimana yang terungkap dalam hadis masyhur: “Barangsiapa yang mengenali dirinya, mengenali Tuhannya.” Ilmu inilah yang terkandung dalam syair Hamzah Fansuri, yang menyebarkan fahaman wahdatul wujud kepada warga Aceh pada abad ke-17 masihi. Hamzah Fansuri merupakan seorang penganut ajaran Syeikh al-Akbar Ibnu Arabi. Ibnu Arabi pula merupakan tokoh ulama yang hebat dalam bidang tasawuf. Beliau telah banyak mengarang kitab-kitab yang masih lagi menjadi rujukan para penuntut ilmu pada hari ini, terutamanya al-Futuhat al-Makkiya dan Fusus al-Hikam. Beliau jugalah yang menjadi antara sumber utama bagi mereka yang mencari jalan ke makrifatullah.
Jalan mencari Tuhan memerlukan kita untuk memahami diri yang merangkumi limitasi, kecenderungan dan potensi. Pertama-tama, kita sebagai manusia adalah makhluk kejadian Tuhan yang sentiasa bergantung kepada-Nya. Menurut logika ini, apa-apa pun identiti yang kita dakapi, sama ada bangsa, etnik, gender, mahupun seksualiti, pada asalnya kita tetaplah hasil ciptaan Sang Pencipta. Kedua, mengalami keresahan dek keterasingan daripada Tuhan, diri kita sentiasa mencari ketenangan. Keresahan ini berpunca daripada keinginan kita untuk kembali bertemu dengan Sang Pencipta, pengembalian yang dihalang oleh hijab kehidupan di dunia. Ketiga, menyedari keperluan mendapatkan ketenangan daripada Tuhan, kita memulakan proses penyucian jiwa (tazkiyatun nafs) melalui amal ibadat dengan niat menghampirkan diri kepada-Nya, mudah-mudahan kita dapat mencapai keredaan-Nya.
Mencapai keredaan Tuhan bukan sahaja matlamat utama hidup, malah merupakan kecenderungan fitrah kita. Dalam erti kata lain, kita dilahirkan dengan naluri yang secara bawah sedar mengetahui bahawa tujuan hidup kita adalah untuk menyembah Yang Maha Esa. Akan tetapi, disebabkan kekurangan ilmu mengenai diri kita sendiri, kita tidak memenuhi naluri ini dengan cara yang betul. Ibnu Arabi memberi contoh dalam Fusus al-Hikam. Beliau menerangkan bahawa seseorang menyembah unsur alam seperti batu disebabkan salah fahamnya tentang ketuhanan. Hanya kerana batu itu, seperti makhluk-makhluk lain, diwujudkan dengan satu ungkapan kun, ia menganggap bahawa ketuhanan terletak di dalam batu tersebut. Secara tidak sengaja, ia telah menyamakan makhluk dengan Khaliknya, dan tidak cermat memperhalus perbezaan nyata antara kedua-duanya.
Persamaan ini bukanlah kesalahan yang tidak berasas. Seperti rangkap pertama syair di awal penulisan ini: “Ombak dan airnya asalnya satu.” Ombak yang menghempas persisiran pantai berasal daripada air lautan itu sendiri. Adapun begitu, hal ini tidak menafikan kenyataan bahawa ombak dan air laut adalah dua perkara yang berbeza. Perumpamaan ini mencerminkan hubungan antara makhluk dan Khalik. Seluruh makhluk yang wujud di dunia ini berasal daripada Tuhannya. Ini adalah hubungan yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun. Namun, biarpun setiap makhluk merupakan hasil kekuasaan hebat Sang Pencipta, ia tidak patut dikelirukan dengan-Nya. Sebaliknya, Ibnu Arabi menegaskan bahawa seseorang yang benar-benar mengenali diri dan Tuhannya akan melihat setiap makhluk sebagai tajalli, yakni manifestasi daya penciptaan Tuhan yang mengisyaratkan kewujudan-Nya.
Konsep ini, yang menerangkan kenapa manusia melakukan syirik, juga dapat menerangkan fenomena ketertarikan seksual. Para sufi memahami hubungan intim antara dua orang, yang mematuhi perbatasan syariat, sebagai suatu jalan mendekatkan diri dengan Tuhan. Hal ini kerana, dalam menyatukan dua badan, kedua-dua pasangan meleraikan diri masing-masing lalu mencapai makrifat bahawa satu-satunya kemaujudan yang sejati hanyalah Tuhan semata-mata. Disebabkan persetubuhan dapat memperkenalkan Tuhan kepada kita, maka lahirlah syahwat dalam diri yang menyebabkan kita ingin bersetubuh. Syahwat ini juga terdapat pada orang yang mengalami ketertarikan sama jenis. Seseorang lelaki tertarik kepada lelaki yang lain bukan kerana bisikan syaitan, tetapi kerana ia mengenali tajalli dalam ketampanan lelaki itu. Walau bagaimanapun, hal ini tidaklah secara automatik menghalalkan hubungan sama jenis.
Dari sudut syariat, hubungan yang dibenarkan, dengan syarat-syarat tertentu, hanyalah pernikahan antara lelaki dan perempuan. Dalam Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali menyebut bahawa antara hikmah di sebalik tuntutan bernikah bagi yang mampu adalah untuk memastikan keberlangsungan umat Islam melalui zuriat. Namun, ini bukanlah satu-satunya sebab. Menurut firman dalam al-Quran 30:21, Tuhan menjadikan kita berpasangan (azwajan) supaya kita memperoleh kesenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah), dan rahmat. Perkahwinan dihalalkan bagi mengubati kesunyian yang menghantui manusia kerana merasakan dirinya terasing daripada Sang Pencipta. Ia mewujudkan suatu sistem sokongan bagi memelihara emosi sepasangan suami isteri supaya masing-masing dapat melaksanakan kewajipannya dengan baik, baik dalam bab perkahwinan mahupun secara umum sebagai manusia yang bertaklif.
Taklif yang dijatuhkan ke atas setiap orang Islam membatasinya daripada melanggar syariat. Muslim LGBT juga tidak terlepas daripada keterbatasan ini. Namun, ini bukanlah suatu seruan supaya Muslim LGBT mencari Tuhan melalui perkahwinan. Kebanyakan dalam kalangan kita, kalau tak semua, tidak mampu untuk mendukung tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Sebaliknya, kita perlu mencari kesenangan, kasih sayang, dan rahmat daripada aturan sosial yang lain. Aturan ini pula, tidak semestinya melanggar hukum-hukum Islam. Cintaneka, misalnya, mengetengahkan suatu visi aturan sosiopolitik dalam kalangan kaum LGBT yang menyebatikan hakikat kecenderungan kita dengan syariat agama tanpa perlu memaksakan suatu jalan rigid yang takkan pernah kita redai. Ia menggambarkan solidariti sebagai sumber utama kesenangan, kasih sayang, dan rahmat bagi muslim LGBT.
Solidariti sesama muslim LGBT ini lahir daripada dugaan sama, yang, selain daripada perlu menahan nafsu, meliputi tekanan yang kita alami akibat diskriminasi dan penindasan oleh orang di sekeliling. Persamaan inilah yang dapat mengadakan persefahaman, yang menjadi asas kepada suatu praksis politik baharu. Praksis ini menuntut supaya kita berkumpul, membincangkan masalah komuniti, memikirkan jalan penyelesaian, dan melaksanakannya. Bagi setiap kegagalan dan kejayaan, kita perlu berkumpul semula, bertafakur, dan memperbaiki diri agar dapat mengatasi segala kekurangan. Kita juga perlu mencapaikan solidariti ini kepada golongan marginal lain seperti migran, pelarian, stateless, dan gelandangan. Perjuangan kita tidak terbatas kepada satu kelompok minoriti sahaja. Ia membabitkan seluruh kejadian yang layak diperlakukan dengan sikap rahmat kepada seluruh alam, selari dengan ajaran al-Quran.
Akhir kalam, saya telah mengusulkan tiga perkara: 1. Ketertarikan sama jenis mengisyaratkan makrifatullah; 2. Syariat sebagai kerangka hidup orang Islam membatasi jalan ke makrifatullah; dan 3. Perkahwinan bukan satu-satunya jalan yang mungkin untuk mencapai ketenangan, kasih sayang, dan rahmat tanpa melanggar syariat. Saya menghasilkan penulisan ini dengan niat untuk mengembangkan lagi perbincangan ilmiah mengenai Islam dan LGBT. Hal ini kerana, apa pun pendirian atau fahaman kita, pada akhirnya komuniti LGBT bukan sahaja wujud di sisi orang Islam, bahkan ada orang yang menganggotai kedua-duanya. Dengan ini, mengutamakan pendekatan yang penuh adab dan akhlak mulia, kita sewajarnya betul-betul meneliti isu ini dari pelbagai sudut. Kita juga perlu mengelakkan slogan-slogan dangkal yang dipolitikkan untuk agenda tertentu. Kembalilah berhujah di atas landasan ilmu. Wallahu A’lam.

Ratu Yousei merupakan anak lahiran Selangor yang asyik membaca tentang sastera, politik, teologi, fiqah, dan Marxisme, di samping terlibat dalam penyusunan akar umbi.









