BN Johor Bertanding Semua 56 Kerusi: Hadiah Tidak Sengaja Untuk PH?

Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN Johor akan datang kelihatan seperti satu pengkhianatan oleh BN kepada kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH). Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyifatkannya sebagai tawaran jelas kepada rakyat Johor bahawa BN bersedia membentuk kerajaan yang stabil dan kuat untuk berkhidmat kepada Bangsa Johor.

Tetapi dari sudut lain, keyakinan BN Johor ini boleh jadi hadiah tidak sengaja untuk PH.

Mengapa? Kerana politik Melayu kini tidak lagi milik mudah UMNO seperti dulu. Selepas beberapa siri pilihan raya umum dan negeri, Perikatan Nasional (PN) sudah membuktikan bahawa mereka mempunyai daya tarikan tersendiri dalam kalangan pengundi Melayu, khususnya pengundi muda, konservatif dan mereka yang kecewa dengan BN dan UMNO. Maka apabila BN Johor memilih untuk masuk ke semua gelanggang, dan PN pula hampir pasti tidak akan memberi laluan mudah, hasilnya ialah perpecahan undi Melayu pada skala yang sama dalam pilihan raya umum sebelum ini.

Di sinilah PH boleh tersenyum mendapat hadiah yang tidak dijangka. Kita semua tahu antara tiga gabungan politik besar ini, PH yang paling sukar mendapat undi Melayu. Kekuatan PH ialah pada undi bukan Melayu, dari kelompok pengundi Cina dan India.

Maka dalam kerusi campuran, pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan PN boleh menjadi formula yang sangat menguntungkan PH. BN dan PN akan berebut kolam undi yang sama yakni pengundi Melayu. UMNO akan menjual naratif kestabilan, pengalaman mentadbir  dan sebagainya. PN pula akan menjual naratif penolakan terhadap UMNO, sentimen Melayu-Islam dan ancaman dari parti komponen PH iaitu DAP. Kedua-duanya akan saling berebut undi di kawasan majoriti Melayu dan luar bandar.

PH pula hanya perlu memastikan satu perkara, undi bukan Melayu kekal bersama PH. Jika pengundi Cina dan India masih melihat PH sebagai benteng paling munasabah melawan politik konservatif PN dan kebangkitan semula UMNO, maka PH boleh mendapat manfaat besar daripada undi Melayu yang berpecah. Dalam banyak kerusi, PH tidak perlu menguasai undi Melayu dengan peratusan yang tinggi tetapi memadai sekadar cukup makan asalkan ditambah undi bukan Melayu yang tinggi.

Namun PH tidak boleh terlalu selesa. Masalah PH bukan sekadar bagaimana mahu mengurus BN dan PN, tetapi bagaimana mahu mengurus dirinya sendiri. Kekecewaan terhadap reformasi yang perlahan, kompromi politik yang terlalu banyak dan imej kerajaan yang semakin elitis boleh menghakis semangat penyokong sendiri. Undi bukan Melayu yang selama ini dianggap “deposit tetap” tidak semestinya kekal begitu selama-lamanya. Pengalaman di PRN Sabah patut menjadi pedoman buat PH.

Di sebalik hadiah tidak sengaja BN Johor kepada PH itu, perlu juga diberi perhatian kemunculan sebuah parti baharu yang boleh kita katakan sebagai serpihan dari PKR sendiri.

BERSAMA yang dipimpin oleh Rafizi Ramli, yang dikenali sebagai “otak” dalam percaturan strategi politik PH khususnya PKR.

BERSAMA walaupun parti serpihan dan masih baharu, ia dilihat berpotensi menarik undi Melayu progresif dan undi bukan Melayu.

Jika BERSAMA hanya menarik sedikit undi Melayu bandar, kesannya mungkin terhad. Tetapi jika parti itu berjaya memposisikan diri sebagai pilihan baharu pengundi reformis, teknokrat, kelas menengah bandar dan bukan Melayu yang kecewa dengan PH, maka ceritanya berubah. PH boleh untung daripada perpecahan undi Melayu yang dicetus oleh BN dan PN, tetapi boleh rugi besar jika undi bukan Melayu dan pengundi reformis pula terpecah antara PH dan BERSAMA.

Maka ironi politik Johor menjelang PRN adalah BN sedang membuka jalan untuk PH menang lebih banyak kerusi. Tetapi kehadiran Rafizi dan BERSAMA mungkin boleh menjadi kuda hitam dalam senario ini.

Dalam pertembungan tiga penjuru, PH boleh menang kerana lawan berpecah.

Tetapi andai berlakunya pertembungan empat penjuru, PH sendiri mungkin boleh menjadi mangsa perpecahan.

Komen