Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

Kekosongan gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar menyingkap semula peranan dalam menjaga adat, maruah istana dan tertib kepimpinan Negeri Sembilan.

Apa yang terjadi sudahlah terjadi di Alor Gajah, Melaka. Makanya gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar, Putera Yang Empat Negeri Sembilan kini disahkan kosong selepas penyandangnya, Tunku Nazaruddin Tuanku Ja’afar, menerima gelaran Yang di-Pertuan Besar yang tidak sah.

Hebahan pengosongan gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar itu dilakukan oleh Pengelola Bijaya Diraja, Azizi Mohamad Ali sepenuh-penuh mulia, adab dan akhlak serta kebudimanan.

Ini memandangkan tiada kata derhaka, pecat, atau pun dahago-dahagi di dalam kenyataan istana itu. Memang secara warasnya gelaran itu menjadi kosong, atau terlepas serta-merta ekoran tindakan Tunku Nazaruddin cuba menerima gelaran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Cara hebahan itu dibuat menunjukkan hierarki kepimpinan di Negeri Sembilan itu adalah struktur sosial, dan bukan sangat struktur politik. Iaitu kuasa pembesar itu, memetik Mohd Arof Ishak yang bukunya ‘Perlembagaan Purbakala Luak Jelebu’ ditulis pengantarnya oleh Rais Yatim, ‘adalah terhad’ dan tambah beliau ‘kuasa pembesar itu tidak mutlak’. Dalam bahasa Mohd Arof, ‘unsur Melayu itu ialah budi bahasa bukan politik, ketertiban, kemuliaan, buah fikiran bukan debat, kepatutan, kebulatan, bukan perseteruan.’

Komen