Hujung minggu lalu adalah hujung minggu yang dipenuhi dengan hal-hal politik. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan apa yang berlaku hujung minggu lalu akan memberi petanda bagaimana percaturan setiap blok politik pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.
Pengumuman oleh Barisan Nasional (BN) Johor bahawa gabungan parti itu bakal bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti memberikan satu kejutan. Ia dibuat pada hari Sabtu, sehari sebelum Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 yang ironinya diadakan di Johor Bahru. Dan pada hari Ahad ketika berlangsungnya Konvensyen PH 2026, di Petaling Jaya pula Rafizi Ramli ahli parlimen Pandan dan Nik Nazmi ahli parlimen Setiawangsa mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (BERSAMA). Serentak dengan itu juga kedua-duanya mengumumkan pengosongan kerusi parlimen masing-masing.
BN Menghidu Darah
Hari yang dipilih oleh BN Johor untuk membuat pengumuman bertanding di semua 56 kerusi DUN bukanlah satu kebetulan. Jika saya strategis politik, memang hari Sabtu itulah yang akan saya pilih 24 jam sebelum PH berhimpun di Johor Bahru untuk rapat umum penting mereka. Ia juga amat molek selepas UMNO menyambut ulang tahun ke-80 parti [ada 11 Mei dengan kemuncaknya mereka berhimpun di tangga Istana Johor, tempat kelahiran UMNO dan bersama-sama pemimpin UMNO ketika meraikan ulang tahun parti itu ialah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Simboliknya majlis bergambar di tangga istana itu cukup besar, apatah lagi dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor. Ia memberikan mesej jelas kekuatan, kepentingan dan sejarah UMNO di negeri kelahiran parti itu, serta pihak mana memainkan peranan di belakang penubuhan UMNO 80 tahun dulu.
Maka tidaklah mengejutkan jika UMNO selaku parti utama BN merasakan mereka berhak bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor dalam PRN nanti. Pada masa ini BN menguasai 40 DUN dengan UMNO (33), MCA (4) dan MIC (3). Tanpa PH pun BN sudah mempunyai majoriti 2/3 di DUN Johor pada masa ini justeru apakah yang menghalang parti keramat itu dari bergerak solo dan mencuba nasib di semua kerusi DUN?
Dan jika alasan kerajaan Perpaduan dijadikan hujah atau bagaimana dalam PRN di negeri-negeri lain pada tahun 2023 menyaksikan BN dan PH berbahagi kerusi, mungkin penerangan berikut dari seorang kenalan UMNO saya di Melaka boleh dijadikan pertimbangan sebaliknya. Menurut beliau, PRN Johor (dan juga Melaka) berlaku sebelum PRU ke-15 di mana idea kerajaan Perpaduan masih belum wujud di peringkat Persekutuan. Dan BN Johor dan BN Melaka sebenarnya tidak pun memerlukan PH untuk membentuk kerajaan negeri. Maka atas alasan apa untuk PRN akan datang, BN perlu berbahagi kerusi dengan PH?
Tidak Lagi Bersama
Seperti tidak cukup dengan pengumuman BN Johor bertanding di semua kerusi sehari sebelum konvensyen, PH diberi satu lagi tamparan apabila Rafizi Ramli dan Nik Nazmi memilih hari dan masa yang sama untuk mengumumkan hala tuju politik mereka pasca-PKR.
Di Petaling Jaya, di hadapan ribuan penyokong yang khabarnya melimpah ke luar dewan Rafizi menawarkan sebuah pilihan baharu buat pengundi Malaysia. Bersama Nik Nazmi, beliau mengambil alih sebuah parti ‘nyamuk’ bernama Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang dijenamakan semula sesuai dengan cara politik Rafizi. Dengan logo Kancil dan warna kuning (yang mengingatkan khalayak pada pergerakan BERSIH dahulu), BERSAMA kini menjadi satu lagi parti politik dari sekian banyak parti politik yang wujud dalam negara.
Sejauh mana BERSAMA boleh pergi dalam politik negara akan hanya dapat dilihat pada PRU16 nanti. Tetapi dalam politik Malaysia yang memerlukan parti-parti individu bergabung dengan parti lain membentuk koalisi besar, BERSAMA perlu mencari rakan untuk bersama-sama. Cakap-cakap sudah timbul tentang kemungkinan BERSAMA memilih MUDA dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi membentuk kuasa keempat berhadapan dengan PH, BN dan PN yang jauh lebih besar.
Cabaran kepada PH tentu sekali pada demografik pengundi BERSAMA yang tentunya datang dari kelompok pengundi PH sendiri. Tentu sekali agak mustahil untuk pengundi BERSAMA datang dari kelompok Melayu konservatif dan luar bandar di utara Semenanjung atau negeri-negeri Pantai Timur. Kelompok ini tentu sekali cenderung memangkah PN atau BN (baca UMNO). Yang mungkin tertarik untuk memangkah BERSAMA nanti akan datang dari golongan Melayu progresif, berfikiran terbuka dan penghuni kawasan bandar serta dari kelompok pengundi bukan Melayu, atau dalam kata lainnya demografik pengundi PH.
Di waktu ada kalangan pengundi PH yang kecewa dengan prestasi kerajaan serta kelesuan agenda reformasi hari ini, tidak mustahil ada segelintir darinya akan beralih ke pilihan lain. Dalam hal ini BN dan PN selama ini bukanlah pilihan yang masuk akal buat mereka. Tetapi dengan munculnya BERSAMA apatah lagi di bawah pimpinan Rafizi, kini pilihan itu sudah ada.
Bangkit Dari Tidur
Pengumuman BN Johor dan kemunculan Rafizi dan BERSAMA adalah paluan gendang perang yang sepatutnya mengejutkan PH dari tidur.
Di satu pihak, PH kini perlu sedar rakan sekutu Perpaduan mereka selama ini tidak boleh diharapkan untuk berbahagi dan menyusun kerusi dalam mana-mana pilihan raya.
Di satu pihak lagi, PH perlu terima realiti kini sudah ada satu lagi jelmaan saling tak tumpah seperti PH yang boleh menawarkan pilihan alternatif masuk akal dan berupaya menggerakkan parti-parti progresif lain dalam satu gabungan yang boleh menggugat PH di kubu kuatnya.
Maka mesejnya untuk PH adalah mudah. Bangkitlah dari tidur. Jangan lagi lena dalam selimut ‘perpaduan’ yang mungkin hanya pada nama dan akan koyak sebaik sahaja parlimen dibubarkan.
PRU16 akan menjadi perang paling besar. Ia bukan sekadar pilihan raya untuk menentukan siapa menjadi kerajaan. Ia akan menentukan sama ada PH masih mampu berdiri sebagai gerakan politik utama Malaysia, atau akhirnya tenggelam kerana terlalu lama cuba menyenangkan semua pihak kecuali penyokongnya sendiri.
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.









