SAYA jawab terlebih dahulu. Hala tujunya adalah untuk mencapai imuniti kelompok atau herd immunity. Supaya penularan wabak Covid-19 dapat dibendung dan kita dapat kembali kepada kehidupan seperti biasa tanpa sebarang sekatan.
Namun saya tidak pasti apa pandangan anda semua tentang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sekarang. Tapi secara peribadi saya rasa program ini huru-hara dan Khairy Jamaluddin sudah flop. Big time. Tanggapan ini terbukti betul bila ada satu hospital swasta di Batu Pahat terpaksa keluarkan notis bahawa mereka masih belum menerima bekalan vaksin dari kerajaan sehari sebelum dijadualkan untuk mengagih vaksin kepada penerima. Hanya selepas CEO hospital tersebut bertungkus lumus sepanjang malam untuk mendapatkan bekalan, barulah ianya selesai.
Kisah hospital swasta Batu Pahat ini adalah salah satu dari bermacam lagi kisah huru-hara PICK. Jangan kita lupa kisah bagaimana rakyat berebut mendaftar untuk vaksin AstraZeneca sampai menggunakan pelbagai jenis peranti demi mendapatkan slot. Ia dikeruhkan pula dengan sistem pendaftaran yang tidak efisien dan berguna.
Kisah MySejahtera juga sama. Mahu vaksin, perlu daftar menggunakan MySejahtera. Kemudian timbul cerita ada yang duduk di Johor, diarahkan untuk dapatkan vaksin di Sabah. Ada pula yang setiap hari memeriksa MySejahtera tapi tiada tarikh janjitemu, namun tiba-tiba muncul tarikhnya tetapi pada dua minggu sudah. Ada yang tersilap mendaftar nombor Mykad, tetapi sistem MySejahtera menerimanya dan memberikan tarikh janjitemu cuma masalahnya bila hadir, disuruh datang kembali pada hari lain kerana nombor Mykad tidak betul.
Saya sendiri sudah daftar dari bulan Februari, sampai ke sudah masih belum dapat tarikh. Dalam keluarga, hanya isteri sahaja yang sudah mendapat 1 dos vaksin itupun setelah berebut untuk program vaksinasi AstraZeneca. Di keluarga sebelah isteri, ada yang sudah divaksin dan sekali lagi itupun kerana mendaftar AstraZeneca. Di keluarga sebelah saya pula, hanya ibu yang sudah mendapat vaksin Pfizer.
Ibu saya warga emas, dalam erti kata lain ibu saya tersenarai sebagai penerima vaksin dalam fasa kedua. Tapi adakah ibu saya diberikan tarikh janjitemu vaksin melalui MySejahtera? Tidak. Yang sebenarnya ibu saya bosan menunggu lama untuk tarikh janjitemu maka dia terus meredah ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan tanya pegawai di sana, “ada ke vaksin lebih untuk mak cik?”
Nasib baik ibu saya ada kenderaan dan keupayaan untuk pergi sendiri ke PPV dan merayu vaksin. Tapi bagaimana dengan warga emas lain yang tiada kenderaan atau keupayaan untuk pergi dan bertanya tentang vaksin mereka? Itu yang menjadi punca beribu warga emas gagal hadir janjitemu vaksin mereka. Sama ada kerana tiada kenderaan, tiada keupayaan atau tidak tahu pun ada janjitemu vaksin dalam aplikasi MySejahtera mereka.
Oleh kerana itu saya tegaskan lama dahulu, kaedah PPV mega dan pendaftaran menggunakan MySejahtera ini bukan caranya. Yang patut dibuat ialah vaksin klinik ke klinik, dewan ke dewan, masjid ke masjid atau rumah ke rumah. Masuk ke ceruk sepertimana kerajaan dahulu beri vaksin untuk polio dan sebagainya. Seperkara lagi, tidak perlu paksa rakyat daftar di MySejahtera yang tidak boleh diharap itu. Cukup bawa Mykad semasa menerima vaksin dan daftar pada masa itu juga untuk dos kedua. Seperti di Sarawak.
Tapi, Khairy Jamaluddin selaku menteri penyelaras vaksin lebih suka nampak gempak dalam buat kerja, walaupun penyudahnya mengecewakan. Sekarang bila sudah tunggang langgang, beliau mula petik hal vaksin dibolot oleh negara maju. Walhal dari dulu beliau sendiri dan kerajaan juga yang menyatakan bekalan vaksin mencukupi, tidak perlu risau dan tidak perlu gusar.
Yang paling mengecewakan sekarang, PICK yang asalnya tiga fasa, kini sudah jadi entah berapa fasa. Tiba-tiba ada Fasa 4 untuk pekerja kilang, yang membuatkan kita semua yang belum vaksin menyesal habis selepas SPM dahulu tidak terus kerja kilang sahaja. Belum reda hal pekerja kilang, timbul pula fasa entah ke berapa untuk pelajar sekolah yang akan menduduki peperiksaan.
Namun bukan saya seorang sahaja yang merasakan Khairy Jamaluddin gagal. Sultan Selangor sudah pun menegur tentang isu agihan vaksin yang tidak seimbang di Selangor. Terkini, Sultan Johor pula menegur proses vaksinasi yang sangat perlahan di Johor.
Tapi iyalah, apalah kita nak harapkan dari Khairy Jamaluddin yang satu masa dahulu bila menjadi Menteri Belia dan Sukan, pernah cetak bendera Indonesia terbalik dalam buku cenderhati Sukan SEA 2017?
Jangan ingat rakyat lupa.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.