Elit Politik Bermain Poker – Bahagian II (Taruh Tetap Taruh, Kalah Tetap Kalah)

Pada bahagian pertama tempoh hari, meja poker elit politik Malaysia banyak menceritakan kehebatan Muhyiddin Yassin bersilat di atas meja poker. Dr Mahathir dan Shafie Apdal sudah habis ditumbangkannya dalam tiga pusingan awal. Sejak dari itu, kokokan kedua tokoh ini sudah semakin lesu dan tidak menjadi hirauan ramai lagi. Nama-nama lain pula juga turut tidak menempa sebarang kejayaan walaupun duduk dalam bahtera Perikatan Nasional yang sama. Justeru itu, muncul persoalan apakah sebenar strategi nama-nama seperti Anwar, Zahid dan Najib dalam permainan ini?

Kita mulakan dengan Anwar Ibrahim. Sosok yang sudah sinonim dengan gelaran “PM in waiting” sejak tahun 1990-an lagi. Selepas 9 Mei 2018, beliau semakin hampir untuk merajai meja poker ini sebenarnya. Malang sekali buat beliau apabila Dr Mahathir pada waktu itu masih lagi dapat bermegah dengan wildcardnya. Di saat Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan, Anwar sudah rebah walaupun kadnya tersusun cantik. Detik tersebut juga merupakan detik terakhir Dr Mahathir cuba untuk menggunakan wildcardnya untuk terus kekal menjadi Perdana Menteri dan menutup terus pintu buat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Malang sekali buat Dr Mahathir, kabilah Azmin, Hishamuddin & Co. punya rancangan lain dan akhirnya timbulnya nama Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia. Kealpaan Dr. Mahathir yang begitu asyik memerhatikan gerak mata Anwar, akhirnya dikejutkan dengan kelicikan Muhyiddin & Co. mencuri kesemua taruhan.

Di atas meja poker elit politik Malaysia ini sebenarnya penuh dengan regu tidak rasmi. Satu kepala dengan empat, enam atau lebih tangan yang mengatur kad-kad di tangan masing-masing. Pada tanggal 22 September 2020, Anwar mengumumkan beliau sudah mempunyai susunan kad yang “strong, formidable & convincing” untuk membentuk kerajaan. Jika dicampur dengan regu rasmi Anwar seperti Lim Guan Eng dan juga Mohamad Sabu, jumlah kad mereka masih lagi belum mampu untuk menawan kembali Putrajaya apatah lagi memperolehi sokongan hampir 2/3 ahli Parlimen. Situasi juga turut tidak memihak Anwar apabila Dr Mahathir dan pengikutnya juga mungkin tidak turut serta dalam pusingan itu. Jadi dari mana datangnya “strong, formidable & convincing” itu?

Desas-desus mengatakan Anwar sudah ada regu tidak rasmi bersamanya pada waktu ini. Satu kepala dengan empat tangan bagi mewakili Zahid Hamidi dan Najib Razak dilihat sudah berkali-kali tumpas di tangan Muhyiddin dan sudah mula menghulurkan kad-kad ‘berkuasa’ yang dimiliki mereka kepada Anwar. Malang sekali, di saat hiruk pikuk selepas pengumuman Anwar itu, Regu Zahid Hamidi dan Najib Razak sudah mula berketar-ketar dalam ketidaktentuan dan akhirnya tidak memberikan sebarang sokongan kepada Anwar pada titik yang amat penting itu. Sebelum tibanya saat itu, Anwar tidak banyak bersuara di atas meja poker dan tidak langsung bluffing sebelum terus mengumumkan beliau sudah akhirnya menang tanpa menunjukkan kad yang ada di tangan beliau. Malang sekali, di meja poker ini anda tidak akan benar-benar menang walaupun anda sudah mempunyai kad yang mencukupi melainkan sudah ditabalkan sebagai pemenang oleh poker dealer tertinggi. Tanya sahaja pada Azmin & Co. serta Dr Mahathir pada makan malam di Hotel Sheraton setahun yang lalu.

Sosok yang paling menghiburkan di meja poker ini bolehlah dianugerahkan kepada Zahid Hamidi. Ratusan kali mungkin ribuan kali beliau cuba untuk “bluffing” bukan sahaja tidak menjelmakan apa-apa keputusan yang berpihak kepadanya namun menyebabkan beliau terus menerus menjadi bahan ketawa oleh kawan dan lawan. Usahanya untuk “bluffing” kebanyakannya di atas meja poker Majlis Tertinggi UMNO. Sengit sekali perlawanan persahabatan mereka ini yang sering berakhir hingga lewat malam namun keputusannya tetap berpihak kepada Muhyiddin. Di saat Zahid Hamidi cuba untuk bermain tarik tali sewaktu pembentangan Belanjawan 2021, kegagalan Zahid memperdayakan Muhyiddin menyebabkan Anwar turut sama tersungkur.

Seterusnya, pergeseran antara dua kuda utama dalam kerajaan Perikatan Nasional iaitu BERSATU dan UMNO semakin jelas dan menanti saat untuk terbelah, Zahid sebenarnya kelihatan mempunyai peluang cerah untuk menafikan keampuhan wildcard Muhyiddin. Di saat negara sedang dilanda ribuan kes harian Covid-19, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan oleh Muhyiddin seumpama memberikan satu tanda bagi Zahid untuk bertindak segera. Di saat pihaknya sudah bersedia untuk mengumumkan penarikan satu demi satu kad di tangan Muhyiddin, booooomm! Muhyiddin melontarkan wildcardnya sekali lagi dengan pengumuman darurat di seluruh negara. Usai pengumuman itu barulah kabilah Zahid menarik dua kad di tangan Muhyiddin, namun sudah tidak berguna lagi kerana pusingan tersebut sudah tamat.

Walaupun berterusan kalah di meja poker itu, satu nilai yang tidak boleh kita tarik daripada Zahid ialah nilai kesungguhan. Bermula sahaja darurat di seluruh negara, Zahid terus menerus membluffing. Tersebarnya kenyataan media oleh Zahid yang serupa dengan kenyataan media yang dikeluarkan Anwar pada sebelum itu sekali lagi melambangkan kegagalan dalam usahanya untuk bluffing sekali lagi. Selepas itu, muncul khabar angin mengenai kerjasama rasmi antara UMNO dan PKR. Ahli-ahli Parlimen di kedua-kedua belah pihak ada yang memungkinkan kerjasama ini dan tidak kurang juga yang menentang kerjasama ini dengan slogan ‘No Anwar, No PKR’. Selang beberapa minggu kemudian barulah Zahid bersuara dan mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan Anwar berjumpa dengan wakil UMNO yang mana? Di saat ini, habis pecah perut setiap pemain-pemain poker yang lain mengetawakan Zahid. Seakannya, Zahid selama ini hanya bluffing kepada dirinya sendiri.

Nama-nama lain di meja poker ini sekarang kurang bergerak dan hanya memegang rapat kad-kad yang dimiliki tanpa benar-benar mengorak langkah. Percaturan mereka lebih kepada, kau main, aku main, kau letak, aku letak. Kemudian, tiada siapa yang meneruskan pusingan tersebut. Dalam kata lain, fold. Hanya menduga air laut di tepi pantai dan bukannya menduga di lautan yang dalam. Kelompok elit lebai pula hanya duduk memerhati di meja poker tersebut. Tidak bertaruh namun cukuplah menyokong wildcard yang tersisip rapat di tangan Muhyiddin dan pada masa yang sama menyuarakan sokongan kepada Zahid. Mungkin pegangan ‘agama’ benar-benar menghalang mereka daripada berjudi.

Kesimpulannya, meja poker elit politik Malaysia terus sarat dengan aksi-aksi daripada elit-elit ini. Kelicikan dan ketajaman seni politik mereka menjadi penentu. Persoalan yang paling utama, sampai bila wildcard yang dimiliki oleh de jure head Malaysia akan hilang magisnya?

Komen