Walaupun aku seorang Muslim, pengaruh filem-filem Barat dan Hong Kong yang kadang-kadang menampilkan adegan-adegan di kasino-kasino terkemuka seperti di Las Vegas, Atlantic City, Marina Bay dan banyak lagi sentiasa menyebabkan aku tertarik dengan aksi-aksi dan permainan yang ditonjolkan oleh para pemain judi ini terutama sekali sewaktu bermain poker.
Mungkin ada lebih ramai orang di luar sana yang turut bermain poker dan lain-lain lagi, namun pemain-pemain poker di kasino-kasino terkemuka dunia ini sudah tentu mempertaruhkan jumlah wang yang lebih tinggi. Apa yang kita boleh belajar daripada Rusty (Ocean 11-13) dan juga Kevin Spacey (21) sudah semestinya kemahiran bermain perang minda dengan pesaing-pesaing lain di meja poker. Kemahiran ini luar biasa sekali. Kemahiran ini boleh menjadikan seseorang pemain itu memperoleh kelebihan dan memenangi pertaruhan walaupun kad yang dimilikinya tidak begitu ‘cantik’.
Seni perang minda ini banyak ditonjolkan melalui the art of bluffing dalam sesebuah permainan poker. Melalui kemahiran bluffing ini seorang pemain poker itu mampu memaksa pesaingnya untuk fold dengan menaikkan jumlah taruhan secara berterusan sehingga tiada siapa yang berani untuk mempertaruhkan jumlah yang sama. Ianya bergantung kepada situasi dan strategi sama ada bagi memastikan para pesaing untuk fold pada pusingan tersebut atau untuk menarik mereka ke dalam perangkap yang telah dipasang bagi memastikan pesaing lain kerugian jumlah wang yang lebih banyak.
Tanpa kita sedari, elit-elit politik di Malaysia sebenarnya sedang ligat ‘bermain poker’ sesama mereka. Tidak kiralah elit politik itu beragama Islam atau tidak namun mereka tetap gian ‘bermain poker’. Elit-elit politik yang dimaksudkan ini sudah semestinya berada pada kelas teratas dalam struktur politik Malaysia.
Meja poker elit politik Malaysia pada hari ini dipenuhi dengan pemain-pemain lama politik yang sudah berabad lama berjudi. Pada sesetengah masa mereka bermain sebagai sebuah pasukan, ada juga masa mereka berentap dengan sengitnya walau dalam sebuah pasukan yang sama dan pada kebanyakan waktu persaingan melibatkan beberapa individu utama semata-mata.
Meja poker elit politik Malaysia di saat ini terdiri daripada beberapa nama seperti Dr Mahathir Mohamed, Muhyiddin Yassin, Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi, Najib Razak, Shafie Apdal, Haji Hadi Awang dan Lim Guan Eng. Mereka ini adalah muka-muka tetap di meja poker ini sejak paling kurang sepuluh tahun yang lepas. Di mana Azmin Ali dan Hishamuddin Hussein? Mungkin boleh dikatakan mereka merupakan ahli tetap pada hari ini namun rekod kemenangan mereka masih lagi tidak setanding dengan nama-nama lain.
Kehebatan elit-elit politik ini bermain poker dan penguasaan seni ‘bluffing’ ini tidak terperi hebatnya. Bayangkan mereka boleh bermain poker di 3-4 meja poker yang lain pada waktu yang serentak. Persaingan tampuk pemerintahan negara dipelopori mereka dan persaingan di peringkat dalaman parti juga disertai mereka. Kudrat dan kecerdasan mereka bukan kepalang. Manakan mampu manusia biasa bersaing seperti mereka jika tidak ada pengalaman politik puluhan tahun serta latihan 1,000 jam. Di meja poker ini, seni politik mereka sungguh luar biasa dan memeningkan orang biasa seperti kita. Mungkin sahaja Mahathir sedang menatap erat mata Anwar untuk dikalahkan namun, sebenarnya pada masa yang sama Mahathir juga sedang sibuk memerhatikan kad-kad yang ada di tangan Najib, Zahid dan lain-lain bagi memastikan beliau menang kesemuanya. Apa yang diperdagangkan oleh mereka tidak dapat dikira dengan wang ringgit dan jawatan-jawatan GLC semata-mata.
Di saat ini, jaguh utama sudah semestinya Muhyiddin Yassin. Walau pada kebanyakan waktu nama beliau tidak diletakkan sebagai pilihan utama, namun beliau berterusan memenangi hampir lebih 13 pusingan yang lepas sejak Februari 2020. Ternyata beliau tidak kurang cerdiknya bermain permainan psikologi dan berterusan mengatasi cubaan memperdayakannya oleh lawan-lawannya yang lain. Buktinya mudah, jika kita tidak benar-benar arif dengan sepak terajang politik Malaysia, mudah untuk kita menjangkakan tempoh hayat Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia tidak lebih dari 6 bulan selepas perlantikkannya. Hal ini demikian kerana, selepas sahaja beliau dilantik menjadi Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, sidang Parlimen pada Mac 2020 sepatutnya diadakan namun disebabkan oleh penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia, sidang Parlimen tidak diadakan pada tempoh tersebut.
Selanjutnya, sidang Parlimen yang sepatutnya diadakan pada 9 Mac 2020 digantikan dengan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020. Lebih menarik apabila sidang Dewan Rakyat yang pada kebiasaannya dijalankan selama berminggu-minggu berjaya diadakan dalam masa sehari pada 18 Mei 2020. Tidak ada sebarang sesi perbahasan mahupun pembentangan rang undang-undang dijalankan, sesi sidang Dewan Rakyat tersebut hanya dipenuhi dengan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.
Pada sebelum sidang Dewan Rakyat sesi Julai 2020 menjelma, cubaan para lawan Muhyiddin bagi menjatuhkannya di meja poker sudah mula kelihatan. Melalui undi tidak percaya yang diusulkan oleh Dr Mahathir Mohamad, keabsahan majoriti yang dimiliki oleh Muhyiddin sepatutnya dapat diuji. Namun yang demikian, hanya jauhari jua yang mengenal manikam. Dr Mahathir yang sentiasa agung dengan kemampuannya melemparkan wildcard di saat-saat yang tidak dijangka dan begitu penting, akhirnya ditundukkan oleh wildcard yang dikeluarkan oleh anak didiknya Muhyiddin Yassin.
Wildcard yang dikeluarkan oleh Muhyiddin Yassin menyaksikan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof terpaksa mengosongkan jawatan selepas usul yang dibentangkan di pihak kerajaan menyaksikan keputusan 111 Ahli Parlimen menyokong, manakala 109 menolak, seorang Ahli Parlimen tidak hadir. Sehubungan dengan itu, usul undi tidak percaya yang dikemukakan oleh Dr Mahathir tidak menjadi keutamaan Speaker Dewan Rakyat yang baharu iaitu Datuk Azhar Bin Azizan Harun atau nama glamornya Art Harun.
Episod ini memungkinkan beberapa kemungkinan mengenai seni permainan poker Dr Mahathir pada hari ini iaitu, magis beliau sudah semakin pudar selepas perletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan atau wildcard yang sentiasa dipegang rapat oleh beliau selama ini hanya benar-benar berfungsi apabila beliau berada di kerusi Perdana Menteri Malaysia semata-mata.
Selepas berakhirnya sidang Dewan Rakyat sesi Julai 2020, meja poker ini diserikan lagi dengan persaingan antara Muhyiddin Yassin dengan Shafie Apdal. Shafie Apdal yang sebelum ini digelar sebagai kuda hitam apabila dicalonkan antara nama-nama yang berpotensi sebagai calon Perdana Menteri dalam usaha Pakatan Harapan Plus merampas semula tampuk pemerintahan daripada Perikatan Nasional. Pesaing abadi Shafie Apdal di Sabah iaitu Musa Aman telah dibebaskan daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dan pada 29 Julai 2020 dengan tidak dijangka beliau mengumumkan memiliki jumlah wakil rakyat yang mencukupi di Dewan Undangan negeri Sabah bagi membentuk kerajaan negeri Sabah yang baharu hasil daripada lompatan 14 ADUN. Di saat itu, Shafie Apdal seakan-akan telah di-checkmate oleh Musa Aman dan Muhyiddin Yassin.
Namun begitu, Shafie Apdal mengeluarkan wildcard Ketua Menteri Sabah apabila membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas mendapat perkenan Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari apabila populariti dan kekuasaan wildcard Shafie Apdal tidak berjaya memastikan Warisan Plus memenangi Pilihanraya Negeri Sabah ke-15. Walaupun Muhyiddin tidak mengeluarkan wildcard pada pusingan ini namun beliau tetap berjaya menafikan Shafie Apdal.
Selesai sudah tiga pusingan poker elit politik Malaysia, jelas Muhyiddin Yassin kekal ampuh memenangi setiap pusingan. Mahathir dan Shafie kecundang di tangan Muhyiddin walaupun pada seketika ada di antara mereka hampir memenangi pusingan yang berkenaan. Muhyiddin atau nama manjanya ‘Abah’ jelas berada pada tahap terbaiknya selepas berjaya mengatasi penyakit kanser yang dialaminya pada tahun 2018. Jadi apakah nasib dan percaturan poker Anwar, Zahid, Najib dan lain-lain?
Nantikan bahagian akhir.
Shahrul Shahabudin seorang penganut bola sepak juga pencinta politik, falsafah & muzik-muzik punk serta bunyian-bunyian nusantara yang nerd. Sering berkicauan di Twitter.