Wujud Ke Lagi Manusia Selepas COVID-19? (Bahagian II)

Dalam kekalutan masyarakat dunia menghadapi ancaman pandemik COVID-19, menarik untuk menyaksikan kerenah manusia. Perubahan “ideologi” masyarakat juga jelas kelihatan tanpa kita sama-sama sedari. Teruk benar pengaruh wabak COVID-19 ini.

Malaysia sebuah negara yang penuh dengan institusi yang bersifat feudal. Mungkin disebabkan oleh lipatan sejarah selama ribuan tahun yang mengisahkan pembentukan masyarakat di sekitar rantau Nusantara ini dengan sistem feudal dan monarki, jadi sifat feudal itu terus sebati dengan masyarakat di Malaysia dan membentuk Malaysian Ancient Values.

Justeru itu, tafsiran tentang sifat ahli-ahli masyarakat di Malaysia sepatutnya sudah lebih mudah untuk dihadam. Konsep lord dan vassal sudah pastilah menjadi konsep yang digunakan selain kewujudan golongan borjuis dan proletariat dalam pembentukan masyarakat Malaysia sejak dahulu lagi. Namun ini bukanlah tafsiran yang tuntas dan lengkap bagi menggambarkan hampir 33 juta rakyat Malaysia yang berbilang etnik.

Namun yang begitu, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan menyebabkan rakyat Malaysia bertukar “ideologi” menjadi punk tanpa wawasan. Kenapa dikatakan begitu? Sabar.

Sub-budaya punk ini cukup sinonim dengan pelbagai bentuk budaya dan amalan seperti anti-korporat, kesaksamaan, anarkisme, egalitarian dan anti-pihak berkuasa. Jadi perkara ini sedikit janggal dengan norma masyarakat Malaysia yang sinonim dengan budaya dan nilai-nilai ketimuran dan Malaysian Ancient Values. Oleh itu, apakah sebenarnya hujah yang cuba dilambungkan oleh penulis untuk dikutip oleh sang-sang pembaca? Tunggu.

Istilah punk yang dinyatakan tadi lebih menerangkan maksud sebenar punk sebagai ideologi yang bersifat alternatif dan mustahak dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Namun ideologi punya arah tuju, pengertian dan wawasan yang penting bagi memastikan pembangunan masyarakat berlangsung dengan baik dan harmoni.

Apabila PKP dikeluarkan dengan penuh kejutan (masalah komunikasi kerajaan Perikatan Nasional), maka rakyat sudah mula gelisah dan kelam kabut. ‘Aku tak nak mampus lagi’ teriak Akob di Tampoi sambil mengunyah keropok di hadapan televisyen sewaktu pengumuman itu dilangsungkan.

Maka bermulanya transformasi masyarakat feudal kepada ideologi kiri atau alternatif iaitu punk. Namun, pada masa yang sama turut bermulanya kisah punk tanpa wawasan versi Malaysia. Perlis lain kisah punknya, Mont Kiara lain surahnya manakala Balik Pulau lain punknya.

Di Mont Kiara kisah-kisah hartawan yang suka bersenam tidak kira waktu ini menjadi coretan ramai. Sebelum adanya PKP, barangkali ada di antara mereka yang hanya bersenam sewaktu turun dan naik tangga pejabat sahaja. Tetapi sewaktu arahan kawalan pergerakan sudah dikeluarkan, makin galak pula mereka menjadi “punk” dan menongkah arus untuk keluar bersenam. Inilah namanya kumpulan masyarakat “punk” tanpa wawasan.

Perkara ini jelas membuktikan sedikit sebanyak bahawa kewangan yang kukuh tidak semestinya menjamin kecerdikan dan pembentukan manusia yang sempurna sifatnya. Sudahlah dalam kegawatan masih lagi sibuk nak jaga kesihatan diri sendiri sahaja tanpa memikirkan kesan buruk lain kepada orang awam yang tidak sedarah dengan mereka.

Andai tidak bersetuju sekalipun dengan kerajaan hari ini, janganlah gadaikan nyawa anda dan orang tersayang dengan berjoging pada hari ini. Tunggulah sehingga keadaan kembali reda dan menyihatkan untuk menentang kerajaan pada Bersih 6 kelak. Barulah jadi punk dengan wawasan atau dalam istilah lain rebel with a cause. Amin.

Kisah yang lebih galak berlaku di Alor Setar. Penubuhan punk tanpa wawasan ditubuhkan demi satu tujuan bagi memuaskan nafsu. Eh, jangan salah faham. Nafsu makan sahaja.

Kumpulan punk tanpa wawasan ini bukan sahaja tidak melakukan aktiviti yang dapat menyihatkan badan namun turut menambahkan jumlah kalori dalam badan mereka tatkala persekitaran di sekeliling sudah dicemari koronavirus. Haramlah jadinya. Haram jadah.

Kesungguhan mereka meraikan antara satu sama lain akhirnya diberkas oleh pihak polis. Tak pernah lagi kita semua didendangkan dengan kisah penangkapan disebabkan majlis makan-makan sahaja. Sejarah baru tercipta lagi.

Cuma harapan kita supaya mangsa yang telah diberkas tidaklah dihukum seberatnya namun diberikan peluang untuk menjadi petugas barisan hadapan dalam membendung wabak haram ini. Sedikit sebanyak kita dapat amalkan bentuk hukuman yang menginsafkan seperti di negara-negara Scandinavia.

Inilah dua kisah punk tanpa wawasan yang kita semua sudah sedia maklum. Kisah-kisah lain pasti banyak lagi namun mungkin ada perdebatan yang kewajarannya. Contoh mudah yang kita dapat perhatikan sudah semestinya keadaan semasa mahasiswa-mahasiswa menara gading di seluruh Malaysia. Apa yang akan terjadi kepada mereka? Bolehkah mereka pulang ke rumah? Cukup atau tidak bekalan makanan buat mereka?

Sebab itu dikatakan persoalan-persoalan ini ada perdebatan yang wajar disebabkan oleh kelemahan kerajaan PN mengatur formasi dan susun atur mereka dalam menangani penangan pandemik COVID-19 ini.

Akhirul kalam, gerakan ideologi kiri, kanan mahupun alternatif ini bukan satu wabak yang perlu kita takuti. Akan tetapi kedangkalan minda manusia yang ingin mengikut sesebuah “idelogi” dan “fahaman” tanpa kewarasan akal yang harus kita tangani. Perkara-perkara seperti ini yang sebenarnya dapat menghapuskan manusia dalam skala yang besar sewaktu dan selepas koronavirus mengharamkan kita semua. Kisah ini belum tamat lagi, nantikan bahagian seterusnya. Adakah manusia akan wujud selepas COVID-19?

Come together, right now.

*setakat tarikh tulisan ini ditulis, sudah 97% rakyat Malaysia yang mematuhi arahan kawalan pergerakan.

Komen