Wujud Ke Lagi Manusia Selepas COVID-19? (Bahagian I)

Hari ini seluruh dunia dalam kegelisahan dan kerisauan dengan nasib mereka yang masih lagi tidak menentu. Kaya atau miskin juga risau. Melayu atau bukan Melayu juga menggelabah. Baik Islam mahupun kafir turut merasai ketakutan soal kelangsungan hidup mereka. Semuanya berpunca daripada sebuah epidemik iaitu virus Corona atau COVID-19.

Dahulu atau beberapa minggu yang lepas, manusia secara khususnya di Malaysia bebas untuk menjalankan hidup mereka dan mengejar impian masing-masing termasuklah menjadi Perdana Menteri mahupun sebagai kerajaan pintu belakang. Namun tidak lagi pada hari ini disebabkan oleh COVID-19. Ada yang mula menyesal disebabkan jawatan yang mereka rompak lebih menyusahkan dari memberikan keuntungan kepada mereka. Tanyalah saja kepada Azmin, Adham dan konco-konco Perikatan Nasional yang lain. Resah mereka. Tidur makin tidak lena walaupun angan-angan sudah dalam genggaman.

Kisah di Malaysia pula sejak jam 10 malam 16 Mac yang lalu, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara. Sehubungan dengan itu, seluruh rakyat di Malaysia mula tinggal di rumah sahaja dan pergerakan mereka sudah tidak lagi bebas seperti biasa. Ada yang tidak boleh berniaga, ada pula yang tidak boleh bekerja dan tidak kurang yang tidak dapat berpolitik seperti biasa. Cukong-cukong sudah tidak dapat melobi selepas puas bermain golf bersama. Kesannya, semua pihak menerima tempias yang lebat daripada perintah kerajaan ini.

Usaha ini seiringan dengan hasrat kerajaan bagi mengendurkan keluk COVID-19 bagi mengelakkan penularan wabak ini dari menjadi luar kawalan seperti di Itali. Nama-nama pemain bola sepak seperti Maldini, Rugani dan Dybala turut menjadi mangsa wabak ini.

Dahulu setiap kali nama-nama pemain bola terpalit dengan perkataan “positif” sering berkaitan dengan penggunaan bahan perangsang atau dadah bagi ahli sukan meningkatkan kemampuan mereka. Apabila kita mendengar perkataan seperti ini langsung cacian dan makian akan dilontarkan kepada para atlet ini. Tanyalah kepada Lance Armstrong apa rasanya dimaki selepas menjadi juara Tour De France sebagai penagih. Khalas.

Pada hari ini, apabila kita mendengar perkataan “positif” sudah semestinya kita khuatir dan sedih terhadap nasib si mangsa yang dijangkiti virus COVID-19. Rupa-rupa masih wujud lagi sisa kemanusiaan dalam diri kita walaupun kecil di saat ini.

Justeru itu, adakah di saat ini kita sudah mula memikirkan nasib umat manusia secara keseluruhannya tanpa asyik memikirkan tentang kelangsungan diri kita sahaja? Adakah pada waktu ini kita sudah tidak lagi dengki mendengki antara kaum di Malaysia? Adakah di masa ini, kita sudah mula menghargai peranan setiap insan dalam sesebuah masyarakat tanpa menghiraukan ras agama dan bangsa mereka?

Jawapannya, tidak. Nahi. Chan eil. Illai. No.

Seperti yang semua sedia maklum, wabak COVID-19 ini berasal dari wilayah Wuhan di negara Tembok Besar. Sejak dari Disember 2019, negara China telah bertungkus-lumus bagi mengekang wabak ini dengan perintah berkurung, menutup wilayah Wuhan dan yang berdekatan serta pembinaan hospital-hospital “segera”. Alhamdullilah, usaha mereka ini berjaya mengurangkan kesan wabak daripada merebak secara berterusan.

Namun pada hari ini wabak yang berpunca daripada “persetubuhan” virus-virus di Wuhan telah merebak ke serata dunia. Itali antara yang paling teruk terkesan. Korea Selatan kurang sedikit sahaja. Malaysia juga menerima tempias bah yang besar ini.

Di Malaysia, pada peringkat pertama wabak ini iaitu sebelum Langkah Sheraton atau sebelum 28 Februari hanya 25 orang sahaja dikesan positif dan 22 daripada mereka telah berjaya sembuh. Pada waktu ini Malaysia turut berkemampuan menghantar bantuan ke China dengan sukarela walaupun ada ramai yang mempersoalkan kewajarannya. Hebat Malaysia pada waktu ini.

Tup, tap, tup, tap, kerajaan bertukar dalam sekelip mata. Tun Dr Mahathir sudah bukan lagi Perdana Menteri Malaysia. Wirit Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-8 juga belum membuahkan hasil lagi. Langsung Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kena ekor. Nombornya naik.

Selepas itu, bermulalah musim ke-2 COVID-19: Malaysia ala-ala Narcos: Mexico musim ke-2. Tumpas akhirnya si Angel Felix Gallardo.

Wabak COVID-19 terus menular dan memberikan kesan kepada ribuan umat manusia di Malaysia. Rasa kasihan yang kita curahkan rupanya terhad di atas muka skrin gajet-gajet sahaja. Selepas itu bermulalah siri hentam-menghentam dan hina-menghina terhadap masyarakat bangsa lain.

Pak Akob langsung menghentak meja selepas menerima pengumuman bahawa pasukan kegemarannya Liverpool hampir pasti dinafikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang pertama sejak 30 tahun lalu disebabkan wabak ini. Habis satu China dimaki disebabkan wabak ini. Sedangkan penyebaran wabak ini di seluruh Eropah berpunca dari negara bola sepak utama di Eropah, iaitu Itali.

Bayangkan langsung semua orang Cina di Malaysia menjadi kambing hitam atas penularan wabak COVID-19 ini. Padahal mereka langsung tidak mempunyai pertalian darah dengan wabak ini secara biologinya. Apabila ramai orang Melayu yang menjadi petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat dan Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia langsung mereka-mereka yang punya masalah mental terhadap ras etnik yang lain meninggikan hidung mereka.

Dahulu kerajaan Pakatan Harapan terutamanya DAP dipersalahkan atas ketegangan kaum yang ada di Malaysia selepas 2018. Rupanya sangkaan itu tidak benar.

Di waktu yang penuh gelisah kita, bukankah kita perlu sedar bahawa wabak ini akan menyerang sesiapa tanpa mengenal bangsa dan kepercayaan agama. Bukan kah di saat ini kita perlu menghulurkan bantuan tanpa mengira Logan, Bala, Tian Chua mahupun Azmin? Juga sekiranya Azmin, Zahid dan Ka Siong yang menghulurkan bantuan kepada kita, apakah kita perlu menolak disebabkan oleh warna kulit mereka?

Sebab itu, andai umat manusia berjaya menumpaskan musuh yang “mistik” ini, adakah kita akan dapat menumpaskan musuh utama kita selama ini? Adakah selepas Corona yang jahat dihapuskan serta digantikan dengan Corona (jenama minuman keras) yang haram namun tetap bisa diteguk, kita akan diserang pula dengan kata-kata nista dan cacian terhadap mereka yang berbeza dengan kita?

Di saat yang sukar ini, kita sewajibnya perlu menghargai satu sama lain. Ketepikan stigma dan sentimen untuk kita terus membela dunia ini. Setiap insan merasai keperitan hilangnya nikmat kebebasan yang selama ini kita tidak hargai. Jadi tiada apa yang berbeza antara kita pada hari ini. Andai COVID-19 dapat ditumpaskan, adakah manusia akan terus wujud? Adakah 2020 ini penamat bagi manusia? Adakah 2020 manusia akan kecundang?

Tunggu, sambungannya kelak!

Komen