Wanita Bukan Untuk Dibungkus

Barang mahal bernilai tinggi akan dibungkus comel dan kemas. Kaedah pembungkusan memainkan peranan penting dalam aspek pemasaran. Kalu main jual terdedah tepi jalan, itu barang tiruan harga murah.

Kenyataan berbaur seksis di atas datangnya dari seorang wakil rakyat yang juga bergelar doktor. Ia adalah petanda betapa rendahnya tahap pemikiran dan tebalnya sikap seksis di kalangan seorang ahli legislatif di Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Terengganu iaitu Dr. Azman Ibrahim memang sinonim dengan amalan mengeluarkan kenyataan kontroversi yang tidak kena tempat. Tetapi kenyataan beliau baru-baru ini adalah sewajarnya ditolak keras oleh semua rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi oleh wanita.

Azman mengeluarkan kenyataan celupar beliau dalam mengulas insiden seorang wanita yang dilarang memasuki balai polis di Kajang atas alasan berpakaian tidak sesuai.

Insiden tersebut menjadi perhatian ramai kerana wanita terbabit perlu hadir ke balai polis untuk membuat laporan selepas terlibat dalam satu kemalangan. Namun pegawai polis yang bertugas telah meminta wanita terbabit untuk menukar kepada pakaian yang lebih bersesuaian sebelum dibenarkan membuat laporan.

Ia seterusnya menimbulkan persoalan apakah kod etika berpakaian yang digunapakai untuk berurusan di setiap premis kerajaan perlu dilaksanakan tanpa budi bicara dengan tiada ruang untuk kelonggaran?

Umum boleh menerima jika kod etika berpakaian diterapkan di premis kerajaan seperti sekolah atau pejabat urusan lain sebagai contoh. Tetapi adakah wajar kod etika berpakaian yang sama diterapkan secara tegar tanpa tolak ansur di premis kerajaan seperti balai polis atau hospital?

Kewajaran budi bicara adalah perlu memandangkan urusan di balai polis atau hospital ada kalanya bersifat kecemasan. Pengadu atau pesakit tidak mempunyai masa untuk pulang ke rumah dan menukar kepada pakaian yang patuh kod etika dalam situasi sedemikian.

Penjelasan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam hal ini perlu dicermati.

“Tiada sesiapa yang akan pergi ke balai polis untuk membuat laporan, melainkan mereka terpaksa kerana memerlukan bantuan polis. Ia bukan sahaja dalam kes hidup dan mati, oleh itu tidak kira bagaimana seseorang harus berpakaian. Adalah menjadi tugas polis untuk menerima laporan dalam apa jua situasi.”

Martabat Wanita Bukan Pada ‘Bungkusannya’

Insiden yang hanya melibatkan pemakaian orang awam dan pihak polis bagaimanapun tidak terlepas dari perhatian politikus murahan dari Pantai Timur. Terperangkap dengan nilai konservatif bawah tempurung, mereka juga mahu turut mengulas untuk sedikit brownie points politik.

Begitulah realitinya apabila kemenangan politik mereka hanya bersandarkan isu remeh seperti agama, bangsa dan apa yang boleh atau tidak boleh dipakai wanita.

Menyamakan wanita seperti objek barangan atau makanan adalah perbuatan yang merendahkan kedudukan wanita dari status manusiawi kepada objektifikasi. Ia merobek dan menyahkan ciri kemanusiaan wanita kepada hanya objek yang tidak boleh bersuara atau berpendirian, tidak boleh bertindak balas atas apa sahaja perbuatan ke atas dirinya dan boleh dipergunakan sewenangnya.

Ianya adalah fantasi idaman setiap lelaki patriarki yang berasa mereka mempunyai kuasa ke atas wanita.

Kenyataan Azman (ya, saya buang gelar doktor-nya) adalah penghinaan kepada wanita. Ia merendahkan martabat wanita hanya kepada pakaian yang dipakainya. Persoalan minda dan jiwa yang ada pada wanita tidak diendahkan sedangkan itulah kayu pengukur sebenar martabat baik wanita atau lelaki.

Sebagai contoh, pemakaian Azman yang segak dan bergaya tidak langsung melambangkan kebijaksanaan minda atau jiwa empati beliau.

Kenyataan dari seorang politikus seperti Azman, yang datang dari parti PAS dan Perikatan Nasional (PN) adalah petanda kepada ancaman yang boleh berlaku terhadap golongan wanita Malaysia. Saya sendiri telah menulis sebelum ini tentang kebangkitan konservatisme dan ancaman kepada wanita.

Wanita di Malaysia tidak boleh mengambil sikap tidak acuh kepada kenyataan sebegini. Dibiarkan berleluasa, kelak ia akan merebak seperti barah dan sedikit demi sedikit hak serta kebebasan golongan wanita di Malaysia akan terhakis.

Konservatisme adalah ancaman kepada kita semua, dan ianya terus dimarakkan oleh sikap seksis di kalangan wakil rakyat lelaki yang mendukung konservatisme berpaksikan agama ini.

Komen