Kebangkitan Konservatisme Dan Ancaman Kepada Wanita

PASCA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kita telah menyaksikan kebangkitan konservatisme yang dipacu oleh blok politik Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh PAS. Kebangkitan ini juga tidak terhad di kalangan penyokong PN atau PAS, tetapi juga mula meresapi sebahagian besar masyarakat khususnya dari kelompok Melayu-Islam.

Suka atau tidak, kebangkitan konservatisme sebenarnya mendatangkan satu ancaman kepada wanita, kelompok yang paling terdedah kepada perundangan bersifat opresi dan juga tindakan diskriminasi atau penindasan secara langsung atau tidak langsung. Ia lebih mendesak di kalangan wanita Muslim di negara ini yang turut berdepan hukum Syariah bersifat patriarki dan lebih memihak kepada kepentingan kaum lelaki Muslim.

Sebagai contoh, tindakan kerajaan negeri Terengganu yang ditadbir oleh PN dalam meluluskan enakmen Islam baharu yang pelik lagi menindas telah mendedahkan ancaman yang ditimbulkan oleh konservatisme agama terhadap hak individu orang Islam dan bukan Islam.

Enakmen Terengganu itu menjenayahkan bomoh dan sihir, wanita hamil atau yang bersalin di luar nikah, wanita ‘berlagak’ seperti lelaki, dan mereka yang terlibat dalam perlakuan liwat. Ia juga menghalang pengoperasian salun rambut unisex bagi mengelakkan campur gaul antara wanita dan lelaki di dalam salun.

Bahawa cerdik pandai agama di Terengganu boleh menghasilkan enakmen ini pada masa negara – atau dunia, dalam hal ini – mengalami peningkatan kos sara hidup dan bersiap sedia untuk menghadapi kemelesetan global yang semakin meruncing menimbulkan syak wasangka. Ia menunjukkan ketiadaan empati mereka terhadap kelompok marjinal atau apa yang dianggap oleh puak konservatif agama sebagai sesat.

Bahkan, enakmen ini sebenarnya lebih bersifat menghukum tetapi buat kepada permasalahan sistemik di kalangan masyarakat wanita Melayu khususnya di Pantai Timur, yang tidak mempunyai sosio ekonomi yang baik, dihambat kemiskinan dan pada masa terhimpit dalam diskriminasi dan penafian peluang sosio ekonomi tidak seperti mereka di Pantai Barat.

Apa yang sepatutnya diusahakan oleh pihak berkuasa Islam negeri Terengganu ialah melindungi hak-hak wanita ini dengan lebih baik, menangani ketidakadilan sosio ekonomi yang mereka hadapi dan membantu untuk merumuskan program pendidikan seks yang komprehensif.

Tindakan menghalang salun rambut unisex dari terus beroperasi juga sebenarnya lebih bersifat menghukum, apabila sebahagian pengusaha dan pekerja akan kehilangan sekitar separuh dari pelanggan sedia ada mereka melalui pelaksanaan enakmen terbaharu ini. Apakah solusi para konservatif agama bagi menggantikan sebahagian dari pendapatan yang hilang akibat larangan tersebut? Apa pula jaminan bahawa pengusaha salun rambut unisex ini tidak akan gulung tikar atau pekerjanya hilang mata pencarian?

Contoh di Terengganu adalah bukti nyata ancaman konservatisme agama kepada wanita, khususnya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Ia mungkin masih terlalu awal untuk kita rumuskan, tetapi ianya tidak mustahil jika gelombang kebangkitan konservatisme tidak dibendung wanita Malaysia satu hari nanti bakal berdepan risiko seperti wanita Afghanistan yang kini dinafikan peluang pendidikan dan pekerjaan dalam hidup mereka.

Kebangkitan konservatisme agama dijangka akan terus meledak dalam pilihan raya negeri yang akan berlaku di enam negeri tahun ini. Ia adalah sesuatu yang menggusarkan kerana kelompok ini jugalah antara yang percaya bahawa undang-undang syariah sepatutnya berada di kedudukan lebih tinggi dari undang-undang sivil (68%) dan bersetuju bahawa undang-undang Hudud perlu dilaksanakan di Malaysia (75%).

Kebangkitan konservatisme juga menyumbang kepada polarisasi kaum yang ketara, seperti yang terlihat dalam PRU15 lalu apabila 90% pengundi Melayu memilih PN atau Barisan Nasional (BN) manakala sekitar 80% bukan Melayu memilih Pakatan Harapan (PH).

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan pelbagai budaya, yang selama ini menghormati kebebasan dan kesaksamaan gender. Kebangkitan konservatisme boleh menjadi ancaman kepada kebebasan dan kesaksamaan ini dan berisiko merampas hak wanita yang telah termaktub seperti dalam perlembagaan negara.

Sudah tiba masanya wanita Malaysia bersatu padu bagi membina benteng menentang arus kebangkitan konservatisme agama di negara ini.

Komen