Pada dua minggu yang lalu, Ketua ARMADA, Wan Ahmad Fahysal dengan semberononya mencadangkan tentang pembubaran sekolah vernakular secara berperingkat bagi membina bangsa Malaysia yang sebenar. Namun yang demikian, cadangan beliau tidak lain hanya satu lagi idea basi yang tidak disertakan dengan hala tuju atau penyelesaian sekiranya sekolah vernakular dihapuskan.
Sebagai seorang pelajar sarjana Sains Politik, saya pernah melakukan kajian mengenai pembinaan negara bangsa Malaysia melalui sekolah satu aliran. Sebelum saya melakukan kajian, saya penuh optimistik dan percaya bahawa sekolah satu aliran adalah jalan penyelesaian bagi benar-benar menjernih dan meredakan ‘steady tension’ yang wujud dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Namun yang demikian, hasil kajian membuktikan banyak perkara lain lagi yang perlu diperhalusi.
Sehingga ke hari ini, saya percaya persoalan mengenai pembinaan negara bangsa Malaysia ini perlu dinilai sebaik mungkin dan tidak berlandaskan selera politik masing-masing sahaja. Sebab itu, saya katakan perbincangan ini perlukan ketelusan kita semua serta kepakaran ahli-ahli akademik yang jujur dalam mengenal pasti jalan keluar terbaik kepada pembinaan negara bangsa melalui sistem pendidikan.
Sebelum kita ingin membincangkan tentang kepentingan sekolah satu aliran ataupun keperluan sekolah vernakular, mari kita sama-sama nilai tentang aspek-aspek penting masyarakat majmuk di Malaysia yang membentuk sistem persekolahan pada hari ini. Penting untuk kita fahami kerencaman masyarakat majmuk di Malaysia sebelum kita dapat benar-benar memahami nafas baharu apa yang ingin kita bina bagi pembinaan negara bangsa Malaysia.
Demografik Penduduk
Sebelum merdeka lagi, Tanah Melayu memang sudah dipecahkan mengikut kaum yang merupakan peninggalan penjajah Inggeris yang masih lagi kita warisi sehingga ke hari ini. Orang Melayu menetap di desa, Cina mengusahakan lombong-lombong di bandar manakala masyarakat India tinggal di ladang-ladang perusahaan. Walaupun pada hari ini sekitar 70% rakyat Malaysia menetap di bandar, namun kebenaran betapa demografik penduduk di Malaysia masih lagi terbias dan tidak sekata sukar untuk dinafikan.
Dengan menggunakan maklumat demografik pengundi pada PRU ke-14, isu demografik ini perlu dipertimbangkan sebaik mungkin sebelum kita benar-benar berniat untuk membincangkan tentang hala tuju sistem pendidikan Malaysia. Parlimen Padang Terap jelas dikuasai oleh orang Melayu dengan 92.14% manakala Kuala Terengganu pula sebanyak 90.01%. Selain itu, komposisi bagi Parlimen Damansara dan Subang pula dikuasai oleh penduduk Cina dengan peratusan masing-masing sebanyak 69.42% dan 56.49%.
Jika saya ingin menyenaraikan kesemua 222 kerusi Parlimen mungkin artikel ini perlu digantikan dengan makalah akademik, oleh yang demikian suka untuk saya tekankan bahawa kepelbagaian kaum di Malaysia ini jelas terbias luas ke seluruh negara. Jadi bagaimana dengan wujudnya sekolah satu aliran akan benar-benar dapat meraikan kemajmukan yang kita ada?
Bayangkan jika sekolah-sekolah kebangsaan di Kota Bharu dan kawasan-kawasan ‘Malay Heartland’ yang lain hanya dikuasai oleh pelajar Melayu sahaja manakala sekolah-sekolah kebangsaan di Damansara pula dipenuhi oleh pelajar Cina sahaja, bagaimana interaksi antara kaum dapat terjalin di bawah bumbung sekolah kebangsaan? Bagaimana citra kebangsaan dapat difahami oleh pelajar sekolah? Pernahkah Wan Ahmad Fahysal memikirkan hal ini?
Sekolah Antarabangsa & Sekolah Agama
Apabila kita membicarakan tentang masalah pendidikan di Malaysia, dengan mudah sekali sekolah vernakular akan dikambing hitamkan. Kita seakan-akan lupa bahawa ibu bapa yang mengejar kualiti pendidikan bagi anak-anak mereka turut memilih sekolah antarabangsa sebagai ganti kepada sekolah kebangsaan.
Sejak lebih 10 tahun lalu trend pelajar Malaysia belajar di sekolah antarabangsa meningkat dengan sangat mendadak. Data 2019 menunjukkan seramai 44,575 murid warganegara Malaysia berbanding 25,220 warga asing yang didaftarkan di 163 sekolah swasta atau antarabangsa dengan peratusan pelajar tempatan sebanyak 64%.
Dengan kemudahan infrastruktur yang lebih baik berbanding sekolah kebangsaan serta autonomi yang ada pada PIBG sekolah-sekolah antarabangsa menarik minat para ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini.
Justeru itu, sistem persekolahan di Malaysia sudah ternyata penuh kepelbagaiannya dengan matlamat bagi memberikan pilihan kepada ibu bapa untuk menentukan pilihan mereka. Jadi bagaimana dengan hanya menutup sekolah vernakular dapat menjamin setiap ibu bapa di Malaysia akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan?
Saranan saya, kalau benar-benar ingin menutup sekolah vernakular bagi menyemai perpaduan antara kaum, lebih baik ketatkan syarat kemasukan ke sekolah antarabangsa. Selain itu, fikirkan juga sama ada sekolah agama juga perlu ditutup atau tidak? Jangan hanya bersifat selektif sahaja.
Persoalan yang perlu kita sama-sama fikirkan dalam membina sistem pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak kita perlulah berlandaskan kepada beberapa perkara seperti kualiti pendidikan, usaha-usaha bagi memperkasakan bahasa Melayu, dan nilai-nilai kebangsaan yang disemaikan dalam jiwa setiap pelajar. Jika ketiga-tiga perkara ini kita dapat dibincangkan dengan jujur maka percayalah bahawa persoalan tentang sekolah vernakular ini hanya satu lagi modal politik jelik ahli politik yang hanya ingin berlagak adiwira pada mata pengundi mereka. Malang sekali buat Wan Ahmad Fayhsal, beliau langsung tidak diundi oleh rakyat Malaysia.
Kesimpulannya, usahlah sibuk menjadi jaguh lagi, jika benar-benar telus membina satu bangsa Malaysia selaras dengan Wawasan 2020, mula tawarkan jalan keluar yang tersusun bagi menjawab persoalan kewajaran sekolah vernakular untuk dihapuskan.

Shahrul Shahabudin seorang penganut bola sepak juga pencinta politik, falsafah & muzik-muzik punk serta bunyian-bunyian nusantara yang nerd. Sering berkicauan di Twitter.