Sunan Kalijaga: Penyatu Antara Islam Dan Budaya Dari Tanah Jawa (Bahagian II)

(Pautan ke Bahagian I artikel)

Siapakah Sunan Kalijaga?

Sunan Kalijaga atau nama sebenarnya ialah Raden Sahid, juga terkenal dengan nama Raden Mas Said atau Raden Mas Syahid, merupakan cahaya mata antara Temenggung Wilakita (ayahnya) yang menjadi Adipati (pemimpin) di Tuban dengan Dewi Nawangrum (ibunya). Selain daripada dilahirkan dalam kalangan keluarga bangsawan, Sunan Kalijaga juga mempunya gelaran lain seperti Raden Sahid, Lokajaya, Syeikh Melaya, Raden Abdurrahman, Pangeran Tuban, Ki Dalang Sida Brangti dan Ki Dalang Bengkok. Beliau lahir sekitar tahun 1400-an di kawasan bernama Tuban. Nama Kalijaga diambil sempena sebuah desa letaknya di Cirebon yang dikenali sebagai desa Kalijaga.

Ada beberapa pendapat yang menuliskan tentang salasilah keturunan Sunan Kalijaga. Pendapat pertama mengatakan bahawa beliau memang keturunan Jawa asli. Salasilah Jawanya adalah Adipati Ranggalawe, berputrakan Ario Teja I, berputra Ario Teja II, berputra Ario Teja III, berputra Temenggung Wilatika dan berputra Raden Mas Said atau Sunan Kalijaga (Khaelany, 2014). Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Sunan Kalijaga berketurunan Cina. S. Wardi dalam bukunya Kumpulan Ceritera Lama menuturkan bahawa Sunan Kalijaga merupakan anak orang berbangsa Cina yang bernama Oei Sam Ik yang kemudian dikenali dengan nama Said. Pendapat seterusnya mengatakan bahawa Sunan Kalijaga merupakan tokoh yang berketurunan Arab. Menurut Babad Tuban, nama asli datuk kepada Sunan Kalijaga yang bernama Ario Teja ialah Abdurrahman dan beliau merupakan orang berketurunan Arab. Disebabkan beliau berhasil mengislamkan Adipati Tuban pada ketika itu iaitu Ario Dikara, Abdurrahman diberi ganjaran mengahwini puteri Ario Dikara. Hujah ini juga disambut baik oleh C.L.N Van Den Berg dalam tulisannya Le Hadhramout et les Colonies Arabes dans dengan mengatakan bahawa Sunan Kalijaga berketurunan Arab.

Masa Muda Dan Pendidikan Sunan Kalijaga

Setiap orang pasti mempunyai masa silam dan kesalahan-kesalahan yang tersendiri kerana selagi menjadi manusia biasa, seseorang itu tak akan terlepas daripada melakukan dosa. Begitulah halnya yang berlaku dalam kehidupan Sunan Kalijaga. Pada masa mudanya, Sunan Kalijaga cukup mahsyur dengan kenakalan dan perbuatan-perbuatannya yang dahsyat. Beliau gemar akan perbuatan minum arak, berjudi dan mencuri. Kendatipun beliau dilahirkan dalam kalangan orang bangsawan, namun Sunan Kalijaga memilih untuk hidup sederhana saja dan tidak terikat dengan adat istiadat kebangsawanan keluarganya. Justeru, beliau lebih gemar bergumul dengan rakyat jelata sehingga Sunan Kalijaga begitu arif tentang selok belok kesusahab dalam kehidupan masyarakat Tuban yang sebenarnya.

Sehubungan dengan itu, maka timbullah akan niat Sunan Kalijaga untuk membantu meringankan beban masyarakat di Tuban yang tenggalam dalam kesusahan kehidupan. Saat malam telah melabuhkan tirainya, waktu itulah Sunan Kalijaga melakukan ‘kerjanya’ dalam kelam malam secara diam-diam. Beliau akan mencuri harta orang-orang kaya, bangsawan dan pemimpin yang korup serta yang menyalahgunakan kuasa di daerah Tuban lantas keesokan harinya Sunan Kalijaga bakal mengagih-agihkan harta tersebut kepada mereka yang dicengkam kesempitan hidup. Malahan, Sunan Kalijaga juga sanggup mencuri harta-harta yang dikumpul untuk dipersembahkan kepada kerajaan Majapahit kemudian memberikannya kepada rakyat Tuban yang kesusahan. Perbuatan ini telah mengundang kemurkaan ayahandanya iaitu Adipati Wilatika lalu Sunan Kalijaga dijatuhi hukuman sebat di tangannya sebanyak 200 kali. Beliau juga pernah dihalau keluar oleh ayahandanya lantaran perbuatannya yang banyak menconteng arang ke muka keluarga. Pada waktu itu, beliau masih belum sedar bahawa perilakunya adalah salah walaupun niat yang terpasak di hati seputih susu.

Melihatkan suasana keluarga dan kepemimpinan di Tuban semakin dingin terhadapnya, Sunan Kalijaga mengambil keputusan untuk meninggalkan tanah tempat tumpah darah urinya itu. Beliau berjalan sehingga tiba di suatu hutan di daerah Jatiwangi yang tempat letaknya adalah di Rembang, Jawa Tengah. Di situ, beliau tiba-tiba terjumpa dengan seorang lelaki yang sudah senja usianya namun di tangannya terdapat sebatang tongkat bersalutkan emas asli. Tatkala panahan matanya tertangkap akan tongkat emas itu, maka terbitlah niat di hati Sunan Kalijaga untuk merompak harta orang tua itu. Tanpa ragu lagi, beliau dengan kasarnya meminta tongkat emas tersebut daripada orang tua itu. Namun demikian, orang tua itu bersikap tenang dan tidak melawan. Bahkan, orang tua tersebut sempat memberikan dakwah kepada Sunan Kalijaga dan menunjukkan ‘kehebatannya’ mengubah sebiji buah bertukar menjadi emas. Orang tua yang uzur itu sebenarnya ialah Sunan Bonang atau nama sebenarnya Raden Makdum Ibrahim.

Sunan Bonang merupakan salah seorang anggota Wali Sanga yang terkenal dengan kebijaksanaannya dalam bidang fiqh, usuluddin, tasawuf, kesenian, sastera dan ilmu pembinaan. Beliau merupakan hasil perkongsian hidup antara Raden Ali Rahmatullah (Sunan Ampel) dengan Nyai Ageng Manila. Setelah mendengar nasihat tauladan dan menyaksikan karamah Sunan Bonang, maka Allah SWT telah mendatangkan rasa insaf dalam benak hati Sunan Kalijaga. Bermula pada detik itu, bermulalah pendidikan Sunan Kalijaga bersama gurunya Sunan Bonang dalam mengumpulkan bekal menjadi pendakwah yang menyebarkan syiar Islam di tanah Jawa. Sunan Kalijaga menceburkan dirinya dalam telaga keilmuan seperti ilmu tauhid, ilmu syariat di samping pengetahuannya yang meluas dalam kesenian dan kebudayaan yang kelak digunakan dalam metod dakwahnya. Selain daripada Sunan Bonang, Sunan Kalijaga turut pernah berguru dengan ahli Wali Sanga yang lain seperti Sunan Ampel (ayahanda Sunan Bonang) dan Syarif Hidayatullah (Sunan Gunung Jati).

Sunan Kalijaga dikaruniakan oleh Allah SWT usia yang panjang sehingga mampu hidup pada tiga zaman kekuasaan yang berbeza iaitu sejak kerajaan Majapahit, kerajaan Islam Demak dan kerajaan Pajang. Beliau wafat di desa Kadilangu dan telah dimakamkan di sana.

Warisan Kesenian Wayang

Seperti yang telah dituliskan sebelum ini, antara jasa terbesar Sunan Kalijaga dalam penyebaran dakwah Islam di tanah Jawa adalah melalui medum seni wayang. Sewaktu era tampuk pemerintahan kerajaan Majapahit, seni wayang berfungsi sebagai alat-alat spiritual dan ritual keagamaan yang disebut sebagai murwakala bermaksud semacam upacara rawatan. Pertunjukan wayang diadakan bertujuan agar sesiapa yang dirawat akan terbebas daripada segala jenis penyakit dan bala bencana yang bersifat ghaib. Mereka akan menggunakan istilah-istilah khurafat dan tahayul dalam pertunjukan wayang kulit tersebut. Bahkan, perwatakan dan kronologi certia dalam pertunjukan wayang kulit pada awalnya bersandarkan hikayat-hikayat Hindu  seperti Mahabarata dan Ramayana.

Sunan Kalijaga melihat akan budaya kesenian ini sebagai satu wadah yang ampuh dan kukuh untuk memasukkan sinar agama Islam dalam diri masyarakat pada waktu itu disebabkan pertunjukan wayang sudah berada sangat akrab di hati serta hidup mereka begitu lama sekali. Oleh hal yang demikian, beliau mengambil langkah dengan menerapkan pembaharuan demi pembaharuan dalam kesenian pertunjukan wayang berteraskan pilar-pilar agama Islam. Untuk mengadakan pertunjukan wayang, tidak banyak yang diminta oleh Sunan Kalijaga. Bukanlah sekati emas atau seguni beras sebagai bayaran supaya pertunjukan wayang kulit diadakan. Justeru, ‘bayaran’ untuk sebuah pertunjukan wayang kulit adalah seseorang itu hanya perlu mengucapkan dua kalimah syahadah lalu dia diizinkan untuk duduk menyaksikan persembahan kegemaran mereka secara percuma tanpa ada gangguan sekelumit pun.

Malahan, dalam menyebarkan dakwahnya melalui kesenian wayang, Sunan Kalijaga sendiri yang bertindak menjadi dalangnya. Dalang ini ialah individu yang bertanggungjawab dalam menyampaikan cerita dan kisah-kisah. Dialah yang bertanggungjawab dalam mereka jalan cerita dan menyampaikan mesej kepada para penonton. Sunan Kalijaga bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan dari satu  desa ke satu desa yang lain untuk melaksanakan pertunjukan wayang kulitnya sehingga beliau masyhur dengan nama yang berbeza-beza. Di daerah Pajajaran, beliau terkenal dengan nama Ki Dalang Sida Brangti. Di daerah Tegal, Sunan Kalijaga lebih akrab di hati masyarakat dengan gelaran Ki Dalang Bengkok. Di daerah Purbalingga pula beliau masyhur dengan nama samaran Ki Dalang Kumendung. Pertunjukan wayang Sunan Kalijaga mendapat sambutan yang sangat hangat dalam kalangan masyarakat desa lebih-lebih lagi apabila beliau sendiri mengenakan pakaian dan topeng khas sebagai identiti seorang dalang.

Watak-watak Hindu seperti Lakon Nawa Ruci dan Bhagawan Drona juga ditukar dengan watak lain untuk meniupkan nafas Islam dalam pertunjukan wayangnya. Watak-watak tersebut adalah pertama dinamakan Semar yang diambil daripada Bahasa Arab, bermaksud paku. Falsafah di sebalik nama watak ini adalah seorang Muslim itu seharusnya mempunyai pendirian dan iman yang teguh umpama sebatang paku yang mencantumkan dua batang kayu. Watak kedua dinamakan sebagai Petruk yang membawa erti meninggalkan. Watak ini memberikan maksud seorang Muslim diwajibkan untuk meninggalkan segala bentuk penyembahan selain daripada Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Watak seterusnya adalah Gareng yang bermakna teman. Ini bermaksud seorang Muslim perlulah mencari teman dan sahabat sebanyak-banyaknya untuk diajak ke arah kemaslahatan. Kemudian, Sunan Kalijaga mencipta watak yang dinamakan Bagong yang bermaksud memberontak. Ertinya, seorang Muslim haruslah memberontak apakala dia menyaksikan kezaliman (Hermawan, 2015).

Di samping itu, Sunan Kalijaga juga memberikan nafas tasawuf dalam memaparkan kupasan-kupasan kisah sewaktu mengadakan pertunjukan wayangnya. Beliau tidak setakat mempersembahkan wayang sebagai seorang Dalang, beliau juga mereformasikan bentuk-bentuk wayang yang sebelumnya menyerupai gambar manusia menjadi bentuk lain dan tidak mirip langsung dengan watak seorang manusia. Sunan Kalijaga mampu menyampaikan wayang dengan sangat baik disebabkan beliau mempunyai pengetahuan yang meluas dalam selok-belok budaya dan kesenian.

Kritis Dan Empati

Usaha dakwah Sunan Kalijaga dengan menggunakan medium budaya dan kesenian mendapat pujian daripada guru-gurunya kerana dilihat sangat efektif tanpa berlakunya sebarang bentuk penentangan serta pemberontakan. Melalui cara dakwah mengelilingi desa ke desa dan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, Sunan Kalijaga mampu memahami dan mendalami liku-liku kehidupan seharian masyarakat di samping dapat menyesuaikan diri dengan sangat baik. Selain daripada sikap empati yang ditunjukkan; suka membantu orang-orang yang kesusahan, Sunan Kalijaga juga terkenal dengan pemikiran kreatif dan kritisnya. Buktinya, beliau bijak memasukkan nafas-nafas Islam dalam kesenian dan kebudayaan masyarakat Jawa sehingga menyebabkan dakwahnya diterima oleh orang ramai.

Tambahan pula, Sunan Kalijaga merupakan individu yang tinggi nilai toleransinya, luhur budi pekerti dan mempunyai wawasan luas dalam pandangannya. Beliau mempunyai tolak ansur yang sangat tinggi terutamanya tatkala menyentuh soal kebudayaan. Sunan Kalijaga berpendirian bahawa sekiranya masyarakat setempat diserang dan dicemuh keperibadiannya, maka akan menjauhlah mereka daripada pelukan agama Islam. Masyarakat setempat haruslah didekati dengan berhikmah dan secara berperingkat kerana pemahaman dan penerimaan mereka berbeza mengikut tahapan seseorang. Apabila prinsip dan konsep agama Islam sudah mula diterima dan diasimilasikan dalam kehidupan seharian, maka dengan sendirinya kebiasaan lama (sebelum kedatangan Islam) lama-lama akan ditinggalkan.

Warisan Syair, Tembang, Suluk

Selain daripada warisan kesenian pertunjukan wayang kulit, antara warisan lain Sunan Kalijaga dalam penyebaran dakwah di Tanah Jawa adalah dalam bidang syair, tembang atau suluk. Suluk bermaksud nyanyian yang dilantunkan oleh seorang Dalang untuk menggambarkan suasana tertentu dalam babak-babak pertunjukan wayang. Dalam suluk terkandung tembang-tembang berbahasa Jawa yang berisi kandungkan puji-pujian dan mantra. Suluk merupakan keahlian khusus yang perlu dimiliki oleh seorang Dalang sewaktu pertunjukan wayangnya. Antara suluk Sunan Kalijaga yang cukup popular adalah Lir-ilir, Gundul Gundul Pacul, Syair Kolosebo.

  1. Lir-Ilir

Siapa yang tidak pernah mendengar tembang lir-ilir ini? Sudah pasti hampir 90 peratus pernah mendengarnya di mana-mana jua saluran bukan? Hatta di negara Malaysia sekali pun, tembang ini sangat masyhur dan banyak didendangkan di majlis-majlis qasidah dan Maulidur Rasul. Lirik yang terkandung dalam tembang ini sebenarnya sangatlah sederhana kerana bait-bait perkataan yang digunakan hampir kesemuanya berada dekat dengan kehidupan seseorang. Secara peribadi, tembang lir-ilir seolah-olah pertuturan nasihat daripada seorang orang tua kepada anak atau cucunya. Penggunaan katanya begitu mudah namun mempunyai nilai leksikal yang tinggi kerana tempat penggunaannya begitu tepat sekali dengan gambaran suasana. Terdapat keselarahan dalam pemilihan kata, bunyi rima dan struktur kalimah sehingga mampu memberikan kesan yang mendalam ke hati pendengarnya. Di pondok-pondok pesantren, tembang lir-ilir ini biasanya diiringi dengan alunan selawat dan paluan rebana. Lirik tembang lir-ilir adalah seperti berikut,

Lir-ilir, lir-ilir, tandure wis sumilir

(Bangunlah, bangunlah, tanaman sudah berbuah)

Lirik ini membawa falsafah supaya manusia haruslah bangkit daripada dibelenggu selimut fantasi dan tidak lalai diulit mimpi. Manusia haruslah sedar bahawa kehidupan di dunia ini bukanlah setakat memenuhi keperluan duniawi semata, namun hidup di atas muka bumi ini perlulah beribadah kepada Allah SWT dengan sehabis baik demi memperoleh reda-Nya. Manakala lirik tanaman sudah berbuah itu merujuk kepada ajaran Islam yang sudah mekar dan berbuah dalam sanubari masyarakat pada ketika itu. Oleh hal yang demikian, lirik ini menyeru para masyarakat supaya menuai hasil tanaman tersebut yang berbentuk manisnya keimanan, indahnya ketakwaan serta kemerdekaan daripada menyembah sesama makhluk. Maka, mereka haruslah menuai hasil tanaman dan menjadi nikmat tersebut dengan sebaik mungkin.

Sing ijo royo-royo, tak sengguh temanten anyar

(Demikianlah telah cantik menghijau, umpama pasangan pengantin baru)

Lirik ini adalah kesinambungan kepada lirik yang sebelumnya. Warna hijau dalam lirik di atas menggambarkan kesegaran agama Islam pada waktu itu. Walaupun sinar agama Islam pada waktu itu baru sahaja mekar dalam sanubari masyarakat, namun risalah ini diterima dengan besar hati dan tangan terbuka seperti menyambut pengantin baru yang wajah mereka berseri-seri ketika menjadi raja sehari.

Cah angon, cah angon, penekno blimbing kuwi

(Wahai anak gembala, ambilkanlah buah belimbing itu)

Pada lirik ini, Sunan Kalijaga menggunakan istilah bocah yang bermaksud anak kecil kerana beliau ingin menyampaikan mesej bahawasanya manusia ini tidak kiralah seorang pemimpin, orang kaya atau rakyat sekalipun semuanya sama saja di sisi Allah SWT. Bezanya cuma amalan ibadah dan ketakwaan dalam hati. Sunan Kalijaga tidak menggunakan istilah seperti raja, tuan, raden atau pengiran kerana beliau tidak ingin menunjukkan diskriminasi dalam dakwahnya mengajak masyarakat memeluk Islam. Falsafah di sebalik buah belimbing adalah buah tersebut secara umumnya mempunyai bentuk lima segi dan bentuk ini mewakili rukun agama Islam. Intihanya, Sunan Kalijaga menyeru masyarakat supaya berpegang dengan erat dan teguh kepada rukun Islam yang lima itu dalam kehidupan tidak kira pangkat atau darjat.

Lunyu-lunyu penekna, kanggo mbasuh dodotiro

(Walaupun licin, namun tetaplah memanjat untuk membasuh pakaian)

Lirik ini merupakan lanjutan daripada lirik yang sebelumnya. Iaitu tetaplah memanjat pohon belimbing tadi walaupun licin. Licin di sini membawa gagasan bahawa apabila seseorang Muslim itu berpegang teguh dengan ajaran Allah SWT, sudah tentu aka nada halangan dan rintangan yang menyebabkan perjalannya tergendala lebih-lebih lagi pada saat itu cahaya Islam baru sahaja menyinari kalbu masyarakat. Namun, berbekalkan kecekalan dan keyakinan yang teguh ditambah lagi dengan doa berterusan insya-Allah perjalanan itu akan terasa mudah. Dodot dalam lirik di atas merujuk kepada pakaian tradisional yang dikenakan oleh masyarakat Jawa pada waktu itu. Sunan Kalijaga menyeru supaya umat Islam meneruskan perjuangan memanjat pohon belimbing kerana pada zaman dahulu, buah tersebut sering digunakan untuk membasuh pakaian. Mesej yang tersirat di sini adalah dengan berpegang kepada buah belimbing (rukun Islam) yang lima tadi, setelah mengharungi kesusahan demi kesusahan untuk mendapatkannya, umat Islam akhirnya mampu mencuci pakaian mereka. Apakah pakaian yang dimaksudkan? Nah! Pakaian itu adalah kemurnian hati seseorang. Justeru, pegangan ajaran Islam yang kukuh akan mampu membersihkan dan menyucikan hati daripada sifat-sifat mazmumah seperti dengki, iri hati, sombong dan tamak.

Dodotiro, dodotiro, kumitir bedah ing pinggir

Dondomono, jlumatono, kanggo sebo mengko sore

(Pakaian yang telah rosak ketepikanlah, jahitlah perbaikilah untuk dipakai senja nanti)

Di samping diibaratkan sebagai hati, dodot di sini juga bermaksud akhlak dan agama seseorang. Maka, apabila agama dan akhlak seseorang itu ada kerosakan dan kecacatan (tidak sepenuhnya) haruslah diketepikan. Diketepikan di sini bukan bermaksud diabaikan dan dibuang terus. Namun, ia haruslah diperbaiki dan dijahit kembali agar mampu digunakan semula. ‘Pakaian’ yang rosak itu haruslah ‘dijahit’ dengan keimanan yang teguh dan haruslah kembali ke pangkal jalan kebenaran. Haruslah timbul kesedaran untuk memperbaiki ‘pakaian’ yang rosak tadi dengan segera. Kerana apa? Kerana ingin digunakan pada waktu senja nanti, di waktu matahari akan tergelincir menandakan penamatnya waktu siang. Ini menandakan bahawa kehidupan manusia itu ada penghujungnya dan jika akhlak dan agamanya tidak diperbaiki segera, adakah seseorang itu akan menghadap Sang Pencipta pada penghujung usianya dengan tidak berpakaian apa-apa?

Mumpung padhang rembulane, mumpung padhang kalangane

(Sementara masih terang rembulan, sementara masih ada kelapangan)

Setelah mengetahui falsafah-falsafah yang tersirat pada lirik tembang lir-ilir sebelumnya, maka pada lirik ini sudah terang lagi bersuluh bahawa Sunan Kalijaga mengajak masyarakat supaya tidak bertangguh dalam melaksanakan syiar Islam. Sementara masih diberikan waktu dan kelapangan, maka haruslah umat Islam menjaga akhlak serta agama dengan sebaik mungkin kerana apabila matahari sudah terbit dari barat atau ruh sudah tiba di kerongkongan, maka pada saat itu segala-galanya sudah terlambat. Maka daripada itu, gunakanlah nikmat masa dan kelapangan dengan sebaik mungkin. Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Serta yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran. (al-Asr, 1-3)

Yo surako, surak hiyo

(Marilah bersorak, bersorak hore)

Akhirnya, apabila kelima-lima rukun Islam dijaga dan diamalkan dengan sangat mantap, ‘pakaian’ pun terjaga daripada segala kekotoran maka manusia dapat bersorak kegembiraan kerana telah memperoleh nikmat keimanan dan insya-Allah, reda Allah SWT pun dapat dikecapi. Kebahagiaan sebenar adalah kebahagian hati yang telah mengenal dirinya dan Khaliqnya (Hamka, 1973).

  1. Gundul Gundul Pacul

 Gundul gundul pacul cul, gembelengan

Nyanggi nyanggi wakul kul, gembelengan

Wakul ngglempang segane dadi sak ratan

Wakul ngglempang segane dadi sak ratan

Tembang Gundul Gundul Pacul ini tidak sepanjang tembang lir-ilir. Kendatipun begitu, tembang ringkas ini hakikatnya terkandung pesanan tersirat yang begitu sarat dengan falsafah dan pegangan kehidupan. Tembang ini digubah oleh Kanjeng Kiyai Sunan Kalijaga ditujukan kepada pemimpin yang mempunyai pangkat dan kekuasaan. Perkataan gundul secara literal bermaksud botak. Ini menjelaskan bahawa kepala merupakan lambang kemuliaan dan kehormatan seseorang manakala rambut pula dilambangkan kepada mahkota yang menggambarkan keindahan. Bermaksud, seorang pemimpin tidak memerlukan kepala segala keindahan yang bersifat duniawi untuk meraih rasa hormat daripada rakyatnya. Maka, apakah yang diperlukan untuk seorang pemimpin itu dihormati dan disegani oleh rakyatnya?

Seorang pemimpin seharusnya berpegang kepada pacul yang disebut oleh Sunan Kalijaga dalam tembang di atas. Pacul dalam bahasa Jawa bermakna cangkul. Namun demikian, pacul dalam tembang Gundul Gundul Pacul mempunyai konteks makna yang berlainan daripada maksud kebiasaannya, iaitu papat kang ucul (empat yang lepas). Empat ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin adalah mata digunakan untuk melihat kesusahan rakyat, hidung digunakan membezakan antara aroma kebaikan dengan keburukan, telinga dimanfaatkan untuk mendengar aduan rakyat dan mulut dimanfaatkan untuk bertutur tentang kebaikan serta memberikan nasihat kepada rakyat. Pacul juga menggambarkan seorang pemimpin perlulah turun padang sendiri merasakan kesusahan rakyat kerana cangkul adalah sebagai lambang kepada para petani dalam mengais rezeki mereka di sawah padi.

Istilah gembelengan dalam tembang ini bermaksud sifat berlagak, bongkak dan ego yang tidak sepatutnya ada dalam diri seorang pemimpin. Sifat-sifat ini sebenarnya akan memakan diri pemimpin itu sendiri pada akhirnya kelak. Seorang pemimpin sewajarnya bersifat empati dan simpati terhadap kesusahan rakyat dan tidak sewajarnya dia hanya memikirkan tentang kesenangan diri sendiri. Nyunggi wakul juga bermaksud menjunjung bakul. Makna yang tersirat adalah seorang pemimpin itu perlulah menjunjung tinggi amanah yang diberikan kepadanya dan menjaga tanggungjawab tersebut sebaik-baiknya. Adapun maksud ayat wakul ngglempang segane dadi sak ratan adalah bakul jatuh nasinya tumpah. Kanjeng Kiyai Sunan Kalijaga ingin menyampaikan pesanan bahawa apabila berlakunya kebobrokan dan korupsi dalam diri seorang pemimpin, maka amanah yang pada awalnya dijunjung itu akan jatuh dan segala-galanya akan musnah tidak berguna. Konklusinya, tembang Gundul Gundul Pacul ini menggambarkan pemikiran Sunan Kalijaga dalam mengkritik sikap segelintir pemimpin yang tidak adil dan menyalahgunakan kuasa serta kepercayaan yang telah dimandatkan oleh rakyat kepadanya.

Warisan Ajaran Tarekat Dan Kerohanian

Di samping mempunyai pengaruh dakwah melalui wayang, penggubah syair dan tembang dan tukang Dalang, Sunan Kalijaga juga terkenal sebagai seorang guru kerohanian yang mengajarkan tarekat Syatiriyah daripada Sunan Bonang dan juga tarekat Akmaliyah daripada Syeikh Siti Jenar. Pembelajaran tarekat ini disebut juga sebagai mujahadah dan muraqabah disampaikan oleh Sunan Kalijaga secara tertutup dan terbuka. Proses pembelajaran tarekat ini juga dilaksanakan melalui medium pertunjukan wayang kulit yang merupakan antara hadaf dan pendekatan dakwah yang berhasil menarik ramai masyarakat untuk memeluk agama Islam.

Warisan Kebudayaan Yang Lain

Kanjeng Kiyai Sunan Kalijaga juga banyak memasukkan nafas dan falsafah Islam dalam kebudayaan serta kesenian yang lain. Selain menjadi seorang tukang Dalang dalam pertunjukan wayang, beliau juga menyebarkah dakwah Islam dengan menjadi tukang dongeng, perancang bangunan seperti reka bentuk balai desa, penasihat sultan dan juga merupakan seorang penari Barongan. Malahan, Sunan Kalijaga juga berjasa dalam mewariskan kesenian gamelan di Tanah Jawa. Gamelan dimainkan di hadapan Masjid Agung Demak untuk menarik orang ramai datang mendengar ceramah dan kuliah yang disampaikan oleh Sunan Kalijaga.

Fungsi Pendidikan Agama Islam Dalam Pembentukan Keperibadian

Agama Islam memainkan peranan yang sangat signifikan dalam pembentukan peribadi unggul dalam diri umatnya. Dalam menilai peranan dan kesan Islam, ciri-ciri yang harus dicari bukanlah pada tugu dan candi, bukan juga pada pahatan dan wayang; yang mudah dipandang mata jasmani, akan tetapi pada bahasa dan tulisan yang sebenarnya mencarakan daya budi dan akal merangkum pemikiran (Syed Naquib al-Attas, 1999). Perkara ini dibuktikan melalui dakwah Sunan Kalijaga apabila budaya, kesenian, bahasa dan penulisan di Tanah Jawa dimasukkan unsur-unsur Islam ke dalamnya, menjadikan semua itu alat dakwah yang sangat ampuh bagi menambat hati-hati masyarakat dan mengikatnya dengan tali akidah yang satu. Kehadiran agama Islam di Tanah Jawa dan Nusantara membukakan lembaran sejarah baru yang kelak menjadikannya masyarakatnya sebagai sebuah kelompok komuniti yang agung.

Unsur-unsur penyatuan satu bahasa sastera dengan satu bahasa agama serta segala kebudayaan yang bersangkutan dengannya, barulah sempurna dalam sejarah Nusantara faham keperibadian sendiri yang membentuk kefahaman kebangsaan (Syed Naquib al-Attas, 1999). Penyebaran bahasa sebagai bahasa pengantar bukan sahaja dalam kesusasteraan epik dan roman cinta, akan tetapi lebih penting berbanding itu iaitu dalam membicarakan perihal-perihal falsafah sekaligus menambah kefahaman yang kukuh tentang Islam sehingga akhirnya mampu membentuk jati diri seorang Muslim yang unggul. Pendidikan Islam yang disandarkan sumber al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas yang betul merupakan batu asas yang perlu digenggam erat oleh setiap umat Islam.

Percampuran agama Islam dengan kebudayaan dan kesenian tidak dapat disangkal bahawa langkah itu mampu memberikan kefahaman yang baik tentang Islam. Hal ini demikian kerana, kebudayaan merupakan satu perkara yang sangat dekat dengan kehidupan sebuah kelompok masyarakat bahkan telah membentuk pegangan hidup dan pemikiran mereka dalam memandang ala mini. Namun demikian, pemikiran dan pegangan hidup ini pada awalnya tidak menepati garis panduan dan menyalahi hukum-hakam dalam ajaran Islam. Justeru, hadirnya risalah yang suci ini bukan setakat membebaskan pemikiran masyarakat daripada kepercayaan karut, malahan hadirnya Islam mampu membetulkan kesalahan-kesalahan yang berlaku lantas memperindah kebudayaan itu tanpa menganaktirikan atau menyisihkannya secara langsung. Apabila kefahaman tentang agama Islam telah betul dan digenggam dengan sangat erat, maka keperibadian dan jati diri yang baik, insya-Allah akan mampu dibentuk.

Nilai-nilai agama dan nilai demokrasi bukanlah sesuatu yang harus diperdebatkan kerana dengan adanya pemahaman secara utuh dalam integrasi kedua-dua perkara tersebut, maka ia dapat memberikan sumbangan cukup efektif  bagi penciptaan masyarakat adil dan sejahtera dalam menuju impian bersama. Pendidikan agama merupakan pilar paling asas bagi pembentukan jati diri dan identiti yang mengandungi nilai-nilai keluhuran (Rukhayati, 2011).

Kesimpulan

Setelah melihat dan menilai usaha-usaha Sunan Kalijaga di atas, dapat disimpulkan bahawa tidak dapat dinafikan lagi bahawa usaha beliau menyebarkan dakwah Islam dan syiar Islam melalui medium kebudayaan telah mendatangkan (dengan izin Allah SWT) banyak kemaslahatan kepada umat Islam. Beliau mampu menyebarkan agama Islam tanpa berlakunya sebarang kejadian pertumpahan darah dan ini menggambarkan keunggulan keperibadiannya serta betapa lembut dan luhurnya agama Islam itu sendiri. Pada era yang serba cacamarba ini, umat Islam seharusnya kembali kepada al-Quran dan sunah dalam membentuk keperibadian unggul dan menyelesaikan konflik-konflik yang terjadi seperti yang dilaksanakan oleh Kanjeng Kiyai Sunan Kalijaga. Penyampaian dakwah oleh Sunan Kalijaga bertepatan dengan dakwah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang begitu sederhana namun tegas dalam berhukum dan sesuai dengan situasi serta keadaan semasa.

Intihanya, pendidikan agama Islam seharusnya diterapkan dalam setiap aspek yang berlaku dalam kehidupan manusia, tidak terhenti pada kebudayaan semata-mata. Kerana agama Islam itu bersikap syumul dan holistik dalam mencurahkan kebaikan kepada umatnya. Janganlah diambil ajaran Islam itu hanya setengah-setengah sahaja kerana nanti perbuatan itu hanya akan mendatangkan kekeliruan dan seterusnya menjadikan seseorang itu semakin tidak kukuh lalu goyah kepercayaannya. Sehubungan dengan itu, dalam menyampaikan dakwah tidak semestinya memakai cara ceramah, bahkan usaha dakwah juga boleh dilakukan dengan cara diskusi, penulisan, persembahan kebudayaan dan kepemimpinan kerana seperti yang dikatakan tadi; Islam itu bersifat syumul dan holistik. Media-media juga memainkan peranan yang sangat penting dalam menyebarkan dakwah. Pada zaman pasca kemodenan ini, alat-alat seperti televisyen, radio dan lebih-lebih lagi internet haruslah dioptimumkan penggunaan dan fungsinya dalam menerapkan kefahaman tentang Islam kepada masyarakat.

Di samping itu, pengajaran yang boleh diambil melalui usaha dakwah yang disampaikan oleh Sunan Kalijaga ialah seorang dai’e perlulah mempunyai pengetahuan yang luas dalam ilmu agama Islam kerana itu adalah perkara yang paling asas. Kemudian, seorang penyampai dakwah seharusnya mempunyai jiwa yang besar dalam menghadapi kerenah masyarakat yang bermacam ragam kerana sudah pasti perkara tersebut akan sangat menguji kesabaran sebagai seorang pendakwah. Malahan, seorang dai’e seyogianya menghiasi dirinya dengan kemahiran yang pelbagai agar dapat memaksimumkan peranan dirinya dalam memberikan kefahaman Islam kepada masyarakat dengan sangat efektif. Seorang dai’e juga sewajarnya menjadi qudwatul hasanah iaitu contoh terbaik kepada masyarakat awam. Mereka tidak seharusnya dengan mudah-mudahnya mencemuh dan mencaci orang-orang yang berbeza pendapat dengan mereka. Lebih parah lagi apabila sanggup mengkafirkan orang yang seakidah dengannya.

Tentang Penulis

Muhammad Arifuddin adalah siswa Universiti al-Azhar dalam jurusan Pergigian. Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.

Komen