Sunan Kalijaga: Penyatu Antara Islam Dan Budaya Dari Tanah Jawa (Bahagian I)

Kebudayaan merupakan satu perkara yang kedudukannya amat akrab dalam hati masyarakat di tanah Nusantara ini. Perhatikan saja kepelbagaian adat, bangsa, kaum, etnik serta bahasa yang hidup subur berlegar-legar di ruang angkasa tanah ini. Kebudayaan merupakan salah satu wadah untuk menonjolkan identiti sesuatu bangsa. Di Malaysia, rakyatnya terkenal dengan pelbagai tarian seperti tarian Zapin, tarian Gamelan, tarian Mak Yong dan tarian Kathak yang merupakan salah satu tarian masyarakat India. Nama Indonesia pula ranum dengan tarian-tarian seperti Jaipong, tarian Tor-tor yang merupakan identiti kepada kaum Batak di Sumatera Utara dan tarian Kecak yang berasal dari Bali. Budaya-budaya ini telah berakar umbi dalam diri masyarakat berkurun lamanya sedari zaman nenek moyang mereka lagi. Sehubungan dengan itu, perkara yang letaknya begitu hampir dalam kehidupan masyarakat dalam jangka waktu yang begitu lama; tidak ragu lagi telah membentuk jati diri dan keperibadian sesuatu bangsa.

Maksud budaya telah dikupas dalam kamus sebagai satu cara kehidupan yang menggambarkan kemajuan buah fikiran, akal budi (pandangan alam) dan juga perilaku seseorang (Kamus Dewan, 2005). Kebudayaan juga boleh diertikan dengan maksud mengenalpasti kelakuan yang biasa dipraktikkan melalui pembelajaran oleh sesuatu kumpulan masyarakat (Ralph L. Beals, Harry Holjer, 1953). Menurut Edward B. Taylor pula, beliau mendefiniskan budaya melalui karyanya Primitive Culture, sebagai satu sistem yang kompleks dan holistik yang di dalamnya terkandung unsur-unsur pengetahuan, kepercayaan seni, moral, undang-undang serta adat istiadat. Ibnu Khaldun menyuarakan gagasannya bahawa  budaya merujuk kepada kelaziman dalam kehidupan seseorang. Manusia mempunyai intelek dan daya pemikiran yang melalui kedua-duanya mereka mampu saling memahami dan mengadaptasi dengan alam sekeliling. Justifikasinya, budaya boleh didefiniskan sebagai tatacara kehidupan yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dengan dinamik dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi, distribusi ekonomi, percaturan politik, agama serta kepercayaan.

Untuk membentuk peradaban dan jati diri sekelompok masyarakat, kebudayaan itu sendiri perlulah memenuhi ciri-ciri yang membolehkannya untuk diterima sebagai rutin amalan dalam kehidupan seharian. Tidaklah sesuatu perkara ini diterima bulat-bulat melainkan ia mampu memberikan kesan yang mendalam dalam sanubari dan kehidupan seseorang. Ciri awal adalah harus wujudnya perkaitan antara kehidupan masayarakat dengan budaya itu sendiri. Keduanya, satu-satu budaya haruslah bersifat dinamik kerana kebudayaan merupakan satu aset yang mengalami perubahan demi perubahan seiring dengan berputarnya roda zaman. Kebudayaan di Nusantara boleh dikelaskan sebagai sangat dinamik kerana masyarakatnya yang menyokong perubahan kebudayaan yang berlaku (Edward B. Taylor, 1871). Kendatipun begitu, faktor penolakan dan penerimaan juga adalah norma yang biasa berlaku dalam kebudayaan. Masyarakat menolak disebabkan ingin mengekalkan cara dan nilai lama yang sedia ada. Adapun faktor penerimaan adalah disebabkan masyarakat bersedia untuk memasukkan falsafah-falsafah baru dan seterusnya mendatangkan manfaat kepada mereka.

Mutakhir ini, perkembangan arus modenisasi dan globalisasi yang terjadi dengan begitu pesat kelihatannya telah menghakis keluhuran warisan kebudayaan zaman berzaman di Nusantara ini. Budaya-budaya menyimpang seperti hedonisme dan LGBT misalnya, menyebabkan masyarakat semakin lupa akan asal usul diri sendiri lantas menganaktirikan budaya murni yang telah membentuk identiti yang suci; generasi muda khususnya. Budaya ketagihan pornografi misalnya jika tidak dicantas lama-kelamaan akan menghakis kemanusiaan dan menyebabkan manusia akan berkiblatkan nafsu syahwat semata-mata. Sebenarnya, kebobrokan yang terjadi ini didorong lagi oleh pelbagai faktor lain. Keruntuhan institusi kekeluargaan, runtuhnya sistem pendidikan dan kehilangan adab terhadap para pendidik. Justeru, budaya-budaya negatif tersebut dijadikan sebagai jalan pintas buat mereka untuk keluar daripada permasalahan yang merunsingkan pemikiran demi mengecapi ‘kenikmatan’ yang sementara. Oleh hal yang demikian, pembentukan karakter dan sifat-sifat mahmudah dalam diri dilihat sebagai satu solusi yang ideal bagi membina peribadi unggul pada generasi muda khususnya agar peradaban bangsa serta negara mampu dijunjung.

Salah satu ikhtiar yang dilihat mampu membentuk keperibadian unggul adalah melalui wadah kebudayaan. Hal ini demikian kerana, kebudayaan di Nusantara khususnya amatlah bersangkut-paut dengan nilai-nilai perbadi yang luhur daripada budaya warisan sejak zaman dahulu lagi. Dalam kebudayaan itu sendiri sebenarnya terkandungnya nilai-nilai murni dan pelbagai falsafah serta gagasan yang berkait rapat dengan kehidupan seharian sebagai seorang hamba Allah SWT. Karya-karya seni dan sastera misalnya merupakan alat yang tidak wajar dipandang sebelah mata kerana di sebaliknya terkandung pengajaran, nasihat, hikmah dan tauladan dalam pembentukan keperibadian seseorang (Indianto. 2015). Kita ambil saja contoh dalam falsafah seni persilatan misalnya. Pengamal ilmu persilatan perlulah mempunyai disiplin dan fokus yang sangat tinggi untuk menjadi pesilat yang berkebolehan di samping tidak menggunakan kelebihan tersebut sebagai ‘senjata’ yang memusnahkan. Dalam pada menguatkan zahir luaran, pengamal ilmu persilatan juga dituntut untuk mempunyai niat dan seni berfikir yang mulia. Perkara ini secara langsung dapat membentuk karakter dan jati diri yang unggul dalam diri seseorang.

Antara tokoh yang peranannya sangat signifikan dalam pembentukan jati diri dan keperibadian mulia di tanah Nusantara ini adalah Wali Sanga/Wali Songo (Sembilan Wali) yang terletak di Tanah Jawa dan gelora jihad serta dakwah mereka bertebaran di merata tempat. Pasti ramai dalam kalangan para pembaca budiman sudah familiar dengan nama Wali Sanga, bukan? Kisah para Waliyullah yang terkenal dengan karamah-karamah yang dikurniakan Allah SWT dalam menyebarkan dakwah. Ada yang berpendapat bahawa Wali Sanga merupakan seorang individu yang berjuang pada jalan-Nya. Sebaliknya, Wali Sanga sebenarnya bukanlah seorang individu, namun merupakan sebuah armada agung yang dikirimkan oleh Dia Yang Maha Agung untuk menyampaikan risalah Islam yang suci kepada para hamba-Nya. Wali Sanga merupakan sebuah angkatan dakwah yang dianggotai oleh mereka yang soleh, ‘abid, mahir dalam pelbagai jenis ilmu dan arif dalam selok-belok dalam agama Islam. Seorang dalam kalangan mereka berjasa besar dalam pembentukan jati diri masyarakat di Nusantara ini melalui medium kebudayaan. Beliau dikenali dengan nama Sunan Kalijaga.

Asal-usul Wali Sanga Dan Awal Kemasukan Islam Di Nusantara

Secara mudahnya, risalah Islam yang suci mula tersebar dan berkembang di Tanah Jawa adalah disebabkan kerana kejatuhan kerajaan agung Majapahit dalam Perang Paregreg pada tahun 1402 Masihi. Bibit-bibit keruntuhan kerajaan agung Majapahit mula kelihatan apabila Prabu Wikramawardhana terlibat dalam perselisihan faham dengan saudara iparnya iaitu Bhre Wirabhumi untuk merebut tampuk takhta kepimpinan kerajaan Majapahit. Perang Paregreg ini merupakan garam yang ditabur pada luka kerana menyebabkan kerajaan Majapahit semakin lemah dan tidak berdaya. Ketidakstabilan ini adalah susulan daripada pemberontakan yang dilakukan oleh Parameswara di Palembang sehingga mengakibatkan tanah itu jatuh dalam genggaman lanun Cina. Dalam keadaan yang terumbang-ambing itu, berlaku pula perang saudara yang menatijahkan kepada kekalahan Bhre Wirabhumi. Ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga pula. Lantaran malu menanggung kekalahan, Bhre Wirabhumi pergi melarikan diri dengan menaiki perahu di malam hari. Namun, dia telah diburu oleh Bhre Narapati lalu tertangkaplah dia dan dipenggal kepalanya. Peristiwa tersebut adalah rantaian kejadian peperangan dan konflik saudara lain dari semasa ke semasa sehingga mengakibatkan kejatuhan kerajaan agung Majapahit pada tahun 1478 Masihi.

Alam Nusantara sedari dulu lagi terkenal dengan pusat perdagangan antarabangsa sehingga menyebabkan interaksi dan pertembungan pelbagai budaya  merupakan satu perkara yang biasa. Selain daripada kaya dengan adat budaya, alam Nusantara juga kaya dengan rempah ratus, emas, kopi dan batu permata sehingga menjadi daya penarik pedagang-pedagang dari Mesir, Parsi, Eropah, Arab, Cina dan India untuk melaksanakan urusan jual beli di tanah itu. Para pedagang yang datang dari seluruh penjuru bumi ini ada yang menetap lama sehingga ada juga yang berkahwin dengan wanita tempatan. Mereka membawa adat dan peradaban masing-masing sehingga terjadinya interaksi antara peradaban yang berbeza sehingga membentuk sebuah identiti dalam satu kelompok masyarakat. Di pelabuhan Kota Melaka misalnya, begitu maju dan megahnya Melaka ketika itu sehingga Bahasa Melayu telah dijadikan lingua franca oleh setiap orang yang bermuamalat di situ lantas bahasa itulah yang digunakan sebagai alat untuk menyampaikan agama Islam dengan baik oleh para pendakwah.

Antara teori proses kemasukan sinar Islam ke alam Nusantara adalah seperti yang  dikhabarkan oleh Profesor Dr. Buya Hamka. Beliau menuliskan dalam bukunya Sejarah Perkembangan Pemurnian Ajaran Islam di Indonesia:

Ada sesetengah ahli sejarah yang berkata bahawa pada zaman pemerintahan Yazid bin Muawiyah; khalifah Bani Umaiyah yang kedua, didapati sekelompok keluarga orang Arab di pesisir barat pulau Sumatera. Bermaksud, sebelum habis 100 tahun setelah Nabi Muhammad SAW. Tetapi pada kurun-kurun ketiga dan keempat Hijriyah, pada zaman keemasan Daulah Bani Abbas di Baghdad sudah banyak pelajar dan pengembara bangsa Arab itu menyebut-nyebut pulau Sumatera, ketika mereka membicarakan suatu kerajaan Buddha yang dikenal dalam kitab-kitab mereka dengan nama Syarbazah atau kerajaan Sriwijoyo yang terletak di Palembang, ibu negeri Sumatera Selatan sekarang ini.

Pendapat ini juga mendapat sokongan daripada beberapa orang sejarawan misalnya Profesor Ahmad Mansur Suryanegara yang menyimpulkan bahawa Islam masuk ke tanah Nusantara langsung dari Mekah sejak abad ketujuh Masihi melalui Aceh.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa cahaya Islam mula menyinari alam Nusantara pada abad ketujuh. Pada saat tersebut, orang-orang Islam telah mendirikan perkampungan di sebuah kawasan yang dikenali dengan nama Kanton, menunjukkan kegembiraannya menyaksikan kedudukan agama yang tinggi dan autonomi pemerintahan; iaitu mereka akan memelihara kelangsungan perkampungan serta organisai di Kedah dan Palembang (Syed Naquib al-Attas, 1969). Antara hujah lain yang diberikan adalah melalui karya kuno Arab berjudul ‘Ajaib al-Hind oleh Buzurg bin Shahriyar al-Ramhurzumi pada tahun 1000 Masihi, mengatakan bahawa ada perkampungan-perkampungan Muslim yang berdiri di wilayah kerajaan Sriwijaya. Hubungan akrab antara kerajaan Sriwijaya dengan kekhalifahan di Timur Tengah berlanjutan sehingga pada masa pemerintahan Sultan Umar bin Abdul Aziz. Tuntasnya, kedatangan Islam ke Nusantara ini harus dilihat sebagai mencirikan zaman baru dalam persejarahannya (Syed Naquib al-Attas, 1999). Percantuman agama Islam dengan budaya-budaya di Nusantara kelak menjadikan masyarakatnya keluar daripada kepompong jahiliah dan masuk ke dalam pelukan agama Allah SWT yang syumul; Islam.

Berkenaan dengan kedatangan Wali Sanga, sebenarnya dalam pada tempoh kerajaan Majapahit sedang bergelut dalam Perang Paregreg, sejarah telah mencatatkan bahawa Sultan Muhammad I, khalifah pemerintahan Turki Uthmaniyyah telah menghantar sebuah angkatan ke tanah Jawa bagi misi menyebarkan dakwah Islam di sana pada tahun 1404 Masihi (Asnan Wahyudi & Abu Khalid). Angkatan dakwah ini sebenarnya adalah armada Wali Sanga pertama yang dianggotai oleh Maulana Malik Ibrahim, Maulana Ishaq, Maulana Ahmad Jumadil Kubra, Maulana Muhammad al-Maghribi, Maulana Malik Isra’il, Maulana Muhammad Ali Akbar, Maulana Hasanudin, Maulana Aliyuddin dan Syeikh Subakir. Anggota dalam armada Wali Sanga akan digantikan apabila ada yang meninggal dunia dan armada tersebut sebenarnya telah dihantar sebanyak enam angkatan. Ini jelas menunjukkan bahawa bilangan mereka sebenarnya sangatlah ramai dan antara yang terkenal adalah Sunan Jati, Sunan Ampel, Sunan Muria, Sunan Drajat, Sunan Kudus, Sunan Gunung Jati, Sunan Bonang, Raden Patah dan Sunan Kalijaga sendiri yang bakal diceritakan jasanya nanti.

 

Gerakan Dakwah Wali Sanga

Gerakan dakwah Wali Sanga adalah menjurus kepada idea-idea penyampaian falsafah-falsafah agama Islam melalui jalan damai iaitu menggunakan medium bahasa serta tutur percakapan yang baik. Ajaran-ajaran agama Islam lantas diperkemas oleh para ulama sebagai ajaran yang sederhana kerana masyarakat pada waktu itu masih mentah dan baru saja membuka pintu hati untuk menerima sinaran mulia Islam. Mesej dalam agama Islam dikaitkan dengan pemahaman masyarakat melalui penerapannya dengan kesesuaian adat budaya dan kepercayaan penduduk setempat. Harus diketahui bahawa para penyebar dakwah Islam di tanah Jawa terpaksa menggunakan konsep-konsep agama Hindu-Jawa yang estetik itu untuk memperkenalkan Islam kepada masyarakat awam yang telah lama hidup dalam suasana estetik. Cara tersebut bukan hanya terbatas kepada penggunaan bahasa sahaja, namun mereka tidak enggan juga menggunakan lambang perantaraan lain yang bersifat kesenian seperti wayang yang digunakan oleh Sunan Kalijaga sendiri (Syed Naquib al-Attas, 1999).

Demikianlah itu berlakunya cara untuk memperjelaskan Islam yang ditilik melalui pandangan Bahasa Jawa mendatangkan kesukaran kepada masyarakat awam dalam memahami nilai-nilai dalam agama ini rentetan daripada kelamnya istilah-istilah Bahasa Jawa yang digunakan sebagai pembayang terhadap mesej-mesej Islam. Justeru, budaya masyarakat tempatan ketika itu digunakan sebagai alat untuk menyampaikan nilai-nilai murni agama Islam agar mesej yang ingin disampaikan dapat difahami dengan lebih mendalam dan saksama. Wali Sanga juga merupakan badan dakwah yang bergerak secara sistematik dan berorganisasi dalam menyebarkan ajaran Islam di tanah Jawa serta pulau-pulau di sekitarnya. Bahkan, angkatan Wali Sanga juga menyebarkan risalah Islam melalui pendekatan sufisme dalam gerakan dakwah mereka. Terdapat naskah-naskah sufistik, tulisan karya dan kisah-kisah berkenaan tokoh yang memiliki karamah luar biasa. Sunan Gunung Jati dikatakan memiliki perkaitan dengan ajaran sufisme melalui kitab-kitab Syeikh Ibrahim Arki, Syeikh Sabri dan Syeikh Samangun Asarani. Sunan Kalijaga dikisahkan berguru ilmu tasawuf kepada Syeikh Dara Putih dan berguru dengan tokoh Wali Sanga yang terkenal iaitu Sunan Bonang.

Peranan sufisme terlihat sangat jelas jejaknya dalam penyebaran dakwah agama Islam oleh angkatan Wali Sanga dalam bentuk syair, kidung, tembang dan hikayat seperti Syair Perahu tulisan Hamzah Fansuri, Suluk Linglung, Suluk Jalma Luwih, Serat Wirid dan Suluk Sukarsa (Agus Sunyoto, 2017). Pembikinan karya-karya atau penterjemahaan hikayat ini menggambarkan perubahan-perubahan pemikiran dalam pandangan hidup masyarakat. Perubahan ini berpunca daripada satu konsepsi mengenai ‘wujud’ yang lain daripada yang difahami oleh mereka sebelum ini. Justeru, perubahan-perubahan ini membawa maksud berlakunya satu penjelasan ilmiah atau intensifikasi serta penyelarasan atau standardisasi dalam Islam yang kemudiannya diikuti dengan pembetulan serta koreksi  daripada sebarang penyelewengan dari jalan yang benar (Syed Naquib al-Attas, 1999). Sudah terang lagi bersuluh, bahawa kedatangan Islam telah mendatangkan sinar baru ke ruh alam Nusantara dengan memansuhkan pemikiran-pemikiran tahayul, kepercayaan khurafat dan adat budaya animisme.

Selain daripada medium dakwah, usaha pengembangan dakwah oleh armada Wali Sanga turut dijalankan melalui sistem pendidikan bermodulkan pendidikan asrama, pesantren-pesantren dan padepokan menggunakan medium seperti masjid, langgar (surau) dan permainan kanak-kanak. Antara inisiatif yang dilakukan oleh angkatan Wali Sanga dalam menyebarkan dakwah Islam melalui jalur pendidikan adalah melalui usaha mengambil alih lembaga Syiwa-Buddha yang disebut sebagai ‘asrama’ atau ‘dukuh’ lalu formatnya ditukar sesuai dengan ajaran Islam. Melalui model pendidikan ini, adab-adab seperti tidak boleh duduk di hadapan guru, dilarang mencelah percakapan guru, berkata-kata yang menyenangkan guru dan juga apabila guru datang haruslah anak murid turun dari tempat duduknya mula diterapkan. Inilah dia tatakrama yang diperkenalkan oleh guru-guru dalam kalangan Wali Sanga dalam membentuk keperibadian unggul.

Di samping itu, selain daripada gagasan pendidikan dan penterjemahan karya, para Wali Sanga juga menggunakan wadah seni dan budaya dalam menerapkan konsep dan kefahaman Islam kepada masyarakat pada tempoh tersebut. Sebagai tamsil adalah seni pertunjukan wayang. Pada masa pemerintahan Majapahit, pertunjukan wayang adalah seni yang digunakan untuk kegiatan yang berkaiyan dengan keagamaan Hindu-Buddha. Antara ciri khas pertunjukan wayang pada zaman pemerintahan Majapahit adalah diperlukan sesajen (persembahan) yang banyak dan pelbagai jenis, dilakukan di tempat yang dianggap ‘keras’, perlunya pemilihan waktu dan hari yang khusus dan tujuan pertunjukannya adalah menjurus kepada nilai spiritual berbanding nilai estetikal. Namun, apabila kerajaan Majapahit telah tumbang, seni pertunjukan wayang tidak dimansuhkan kerana dianggap bertentangan dengan ajaran Islam. Justeru, seni ini tetap dikekalkan namun dilakukan beberapa pembaharuan seperti cerita-cerita dewa diubah, nilai-nilai kemusyrikan diubah dengan ajaran-ajaran Islam, bentuk wayang yang mirip arca seperti manusia haruslah diubah kerana diharamkan oleh Islam dan tokoh-tokoh dalam pertunjukan wayang hanyalah sebagai lambang untuk digunakan sebagai tafsiran sesuai dengan garis panduan Islam.

Sementelahan itu, gelora dakwah Wali Sanga tidaklah terhenti setakat penterjemahan karya, seni budaya dan pendidikan. Malah, mereka juga bergiat aktif dalam kepemimpinan dan politik. Kerajaan Islam di Demak berdiri sebagai pusat kekuasaan politik dan pusat penyebaran Islam yang berpaksikan politik Islam. Berdirinya kerajaan Islam Demak yang berkonsepkan maritim, maka kota-kota penting seperti Surabaya, Jepara, Rembang dan Tuban mula membebaskan diri daripada cengkaman kerajaan Hindu-Buddha Majapahit lalu berada di bawah payung perlindungan kerajaan Islam Demak. Bahkan, mereka juga terlibat secara langsung dalam jihad perlawanan melawan musuh seperti Portugis. Ekspedisi jihad melawan Portugis bermula pada tahun 1513 Masihi apabila penjajah durjana itu telah berjaya menguasai Kerajaan Islam Melaka. Sebagai tanda solidariti dan saudara sesama akidah, Sultan Fattah memerintahkan Adipati Yunus (Pati Unus) untuk memerangi  Portugis berbekalkan 100 buah kapal Jong dan seramai 12,000 orang perajurit. Akhirnya, berkat bantuan daripada Allah SWT dan kesungguhan, pada tarikh 22 Jun 1527 Masihi gabungan kekuatan tentera Katolik Portugis dengan kerajaan Hindu Syiwo-Buddha Padjajaran dapat ditumpaskan di Sunda Kelapa. Tempat itu kemudian digantikan namanya dengan Jayakarta.

(Pautan ke Bahagian II artikel)

Tentang Penulis

Muhammad Arifuddin adalah siswa Universiti al-Azhar dalam jurusan Pergigian. Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.

Komen