Suara Rakyat Yang Mati Harus Dihidupkan

PADA penulisan lepas, saya telah menyentuh soal perebutan kuasa antara elit sehingga mengakibatkan kucar-kacir pada negara juga merosakan sistem demokrasi yang selama ini kita anuti. Rupa-rupanya selama ini yang dikatakan “kuasa rakyat” dan “suara rakyat” untuk menggambarkan keprihatinan sebilangan elit terhadap rakyat hanyalah sebagai baris retorika untuk mereka terus memeluk kekuasaan. Matematiknya mudah, walau apa pun yang terjadi adanya sebahagian elit hanya mahu memelihara dan mendapatkan kuasa mereka demi menyelamatkan diri dahulu berbanding rakyat.

Disebabkan itu suara rakyat itu penting untuk mengimbangi kekuasaan yang elit sedang gumuli. Namun suara rakyat ini juga bukanlah suara semberono yang muncul hanya sekadar “suara”, kerana dalam dunia post-truth yang sedang dalam keadaan kacau bilau  ini pelbagai suara boleh terhasil ada yang berbentuk fitnah, ada yang berbentuk tuduhan, ada yang palsu, emosi dan kemarahan, memanipulasi data dan fakta yang langsung bukan bertujuan edukatif, pencerahan apatah lagi emansipatif. Persoalan mula timbul, suara rakyat yang mana harus timbul dan kedepan hari ini?

Suara-suara Yang Harus Tercipta

 Jelas dalam zaman pasca kebenaran ini soalan yang pertama harus kita dulukan dalam mencari kebenaran bukan lagi bertitik tolak mana yang benar dan mana yang palsu, tetapi kita harus pergi lebih jauh dari itu dengan mempertanyakan siapa yang mengucapkan kebenaran dan siapa yang mengucapkan kepalsuan. Seperti kata Karl Mannheim seorang sosiologis dari Budapest setiap manusia ada vested interest yang tersendiri. Setiap apa yang diungkap pasti ada kepentingan, agak naif untuk kita katakan setiap yang terjadi, setiap ideologi, setiap perlawanan itu tidak punyai kepentingan. Malah Michel Foucault telah menuliskan Knowlege is power untuk mengatakan penguasaan terhadap ilmu juga ada kepentingan tertentu di belakangnya.

Kita sedar dan kita tahu, semua individu ada kepentingan, tetapi yang harus dipersoalkan itu kepentingan apa dan untuk siapa? Dari titik tolak inilah harusnya hadir suara rakyat. Erich Fromm mengatakan bahawa “pihak berkuasa menuntut  penyerahan atau tundukan  bukan hanya kerana takutkan kuasanya tapi yakin bahawa akhlaknya lebih mulia dan ia berhak. Sikap memuliakan pihak berkuasa itu  termasuk jua pantang larang menyoalnya.”

Disebabkan itu suara moral haruslah yang pertama sekali menjadi suara rakyat. Suara moral itu hadir bukan berdasarkan kepada kecenderungan parti politik tetapi merentasi sifat kepartian. Moral tetap moral walau apa pun yang melanggar ia tidak boleh runtuh dan harus ditegakkan. Inilah tanggungjawab rakyat yang paling besar apabila berdepan dengan elit. Benar kita perlukan elit, tetapi bukan elit sembarangan sebaliknya elit yang bermoral. Kerana elit tidak sentiasa benar dan kita tidak perlu sentiasa tunduk.

Kadangkala suara rakyat ini berbias parti politik, bagi mereka apa yang dilakukan oleh parti yang mereka sokongi itu selalu benar apatah lagi kalau parti itu tertubuh mengatasnamakan agama. Ini merupakan satu kefahaman yang salah. Rakyat perlu ada moral untuk mengatakan yang salah dan yang benar. Rakyat harus berani mengatakan korupsi itu zalim, berani mengatakan mencabuli demokrasi itu salah, dan harus berani mengatakan setiap ucapan yang berbentuk perkauman dan mencetus perbalahan haruslah ditentang. Suara inilah yang harus menjadi suara rakyat. Seharusnya tidak ada keraguan lagi dalam kalangan rakyat untuk menyuarakan hal ini.

Kedua, suara yang penting itu termasuk suara keberpihakan. Keberpihakan adalah suara untuk melindungi mereka yang lemah, terasing, teralienasi dan memerlukan. Semua sedia maklum seperti apa yang selalu dikatakan oleh Lord Acton “Powers tend to corrupt and absolute power corrupt absolutely”. Acton benar kekuasaan akan memabukkan lagi pemimpin yang lemah secara moral. Kekuasaan kadangkala membuatkan rasa diri mereka laksana dewa. Mereka bahkan minta dikultuskan malah dipuja-puja. Sepanjang mereka berkuasa kecenderungan akan berpusat kepada tiga hal mempertahankan kekuasaan, menambah kekuasaan,  atau menunjukan kekuasaan.

Disebabkan itu suara keberpihakan harus hadir untuk mematikan tiga perihal yang disebutkan tadi supaya elit kekal waras dari terhuyung hayang kemabukan. Suara rakyat itu harus kukuh dalam membela mereka yang miskin melarat, mereka yang marjinal dan diketepikan, tak kisalah dari pelbagai mazhab agama, gender mahupun bangsa dan mereka yang memerlukan supaya tidak terus diperlakukan sewenangya oleh elit atas nama demokrasi padahal semua itu untuk kekuasaan yang tak pernah basi.

Yang ketiga dan yang terakhir, suara rakyat itu haruslah kritis dan progresif bukannya romantis. Dari agama sehinggalah ke ekonomi kita perlukan suara yang progresif iaitu suatu suara baru yang harus kedepan lalu dikaitkan dengan konteks hari ini. Rakyat bersuara untuk memberikan alternatif buat semua, bukannya termakan dengan dakyah politikus mahupun elit. Kita tidak mahu rakyat bermain tarik tali, undur dan maju untuk kemajuan bangsanya, lebih teruk lagi jangan nanti suara rakyat yang romantis itu yang mengherot kepada kemajuan dan pembangunan bangsa.

Begitulah yang terjadi di media-media sosial, ada kumpulan romantis sejarah dan agama yang tidak mahu keluar dari kepompong lama untuk pembaharuan. Bagi mereka yang dahulu itu sudah cukup sempurna. Di sinilah aliran kiritis masuk untuk menerangkan tak semua yang dahulu boleh kita ambil, malah kita perlu tapis dan mencari yang baik sahaja.

Contohnya minda feudal. Feudal itu wujud dari sejarah lama yang penuh dengan hirarki, status dan kedudukan. Kita tak perlu romatis lagi terhadap hal ini kerana apa? Kerana minda feudal ini telah membuktikan kuasa elit mendominan rakyat malah mempertundukan lagi rakyat sehingga mewujudkan minda feudal dan etika kekuasaan. Sekali lagi Erich Fromm mengingatkan kita tentang psikologi etika kekuasaan (authoritarian ethics). Dalam etika kekuasaan, orang bawah dijangka menyerah kediriannya iradat kepada orang atasan, bersikap tunduk dan menerima sahaja. Maka, bukan suara semacam ini yang kita mahu.

Kesimpulan

Suara rakyat itu memang suara keramat tetapi hati-hati perlu ada tafsiran kritis atas itu. Memang bagus rakyat bersuara tapi perlunya ada ketepatan pada suara itu, kita tidak mahu jika satu hari kita dikurniakan elit dan pemerintah yang mendengar suara rakyat, menyebabkan negara makin mundur dan rosak disebabkan suara rakyat yang tidak kritis, mundur dan merosakkan. Sebabkan itu hari demi hari kita semua harus memikir-ulang suara yang bagaimana harus kita kedepankan. Suara rakyat yang mati harus dihidupkan.

Komen