Menjelang musim haji yang akan tiba tidak lama lagi, bakal jemaah haji sudah pasti sedang melakukan persiapan yang diperlukan. Persediaan yang rapi dari setiap segi, termasuk yang berkaitan pengurusan penyakit dan ubat-ubatan adalah penting untuk memastikan tahap kesihatan jemaah haji sentiasa berada tahap yang memuaskan. Keadaan kesihatan yang baik membolehkan jemaah melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.
Para jemaah terutama yang menghidap penyakit kronik hendaklah mengambil langkah proaktif dalam persiapan ubat-ubatan sebelum menunaikan haji. Pengurusan yang efektif dapat memudahkan pengambilan ubat-ubatan dan seterusnya memastikan penyakit yang dihidapi sentiasa dalam keadaan yang terkawal. Bukan itu sahaja, jemaah turut disaran untuk bersedia dengan bekalan ubat-ubat tertentu bagi merawat gejala sakit-sakit ringan. Antara persediaan yang harus dilakukan oleh jemaah haji, termasuklah:
(a) kemas kini dan simpan rekod rawatan terkini
Jemaah disaran untuk berbincang dengan doktor tentang rawatan bagi penyakit yang dihidapi semasa menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum menunaikan haji. Sebarang perubahan ubat, dos atau kekerapan pengambilan harus diberi perhatian. Perubahan tersebut hendaklah dicatatkan dalam buku rekod perubatan jemaah. Rekod perubatan dan preskripsi ubat yang masih sah hendaklah disimpan dengan baik dan dibawa bersama-sama dengan barang-barang keperluan lain.
Dokumen-dokumen ini dapat membantu anggota perubatan mendapatkan maklumat yang tepat tentang status kesihatan dan ubat-ubatan jika berlaku kecemasan sepanjang jemaah menjalani ibadah haji. Selain membawa dokumen secara fizikal, para jemaah juga boleh menyimpan rekod perubatan dan preskripsi ubat-ubatan secara maya di dalam telefon pintar.
(b) pastikan kuantiti ubat yang hendak dibawa mencukupi
Jemaah haji dinasihatkan untuk bersedia dengan bekalan ubat yang mencukupi bagi sepanjang tempoh ibadah haji. Sebagai contoh, jemaah haji hendaklah membawa ubat-ubatan penyakit kronik untuk bekalan sekurang-kurangnya dua bulan. Oleh sebab itu, perkara ini hendaklah dibincangkan dengan doktor dan ahli farmasi agar ubat dapat dipreskripsi dan dibekalkan dalam kuantiti yang diperlukan.
(c) sediakan ubat bagi rawatan sakit-sakit ringan
Selain ubat-ubatan bagi penyakit kronik, jemaah haji juga harus bersedia dengan bekalan ubat-ubatan lain yang digunakan untuk merawat sakit-sakit ringan. Antara ubat yang dicadangkan untuk dibawa oleh jemaah haji termasuklah ubat demam, ubat selesema, ubat batuk, ubat tahan sakit, ubat cirit-birit, ubat sembelit, ubat gastrik dan ubat tahan muntah. Selain itu, ubat-ubat kegunaan luar seperti krim pelembap, cecair antiseptik dan salap jenis balsam (balm) juga boleh dimasukkan ke dalam senarai ubat yang perlu dibawa. Jemaah yang berisiko mengalami masalah mata kering boleh bersedia dengan ubat titis mata yang mengandungi air mata tiruan (artificial tears).
Ubat-ubat ini mungkin terdiri daripada Ubat Terkawal yang memerlukan preskripsi doktor ataupun Ubat Terkawal yang tidak memerlukan preskripsi yang boleh didapati di premis farmasi komuniti. Beberapa ubat yang lain pula mungkin ubat-ubat am (over-the-counter). Jemaah hendaklah mendapatkan nasihat dan pandangan doktor atau ahli farmasi dalam memilih ubat-ubatan yang sesuai dengan status kesihatan diri masing-masing.
(d) simpan ubat dengan cara yang betul
Ubat-ubat yang hendak dibawa haruslah dikekalkan di dalam sampul asal dengan label yang lengkap. Gunakan bekas penyimpanan ubat yang bersesuaian, mudah untuk dibawa dan kalis air. Ubat-ubat yang perlu disimpan pada suhu 2-8 Celcius, contohnya seperti insulin pula, hendaklah dibawa di dalam beg sejuk (cooler bag) yang turut diisi dengan pek ais yang mencukupi.
Asingkan ubat untuk pengambilan sepanjang penerbangan dan simpan di dalam bagasi tangan, termasuklah insulin yang berada di dalam pen insulin dan sedang digunakan. Perkara ini penting untuk memastikan jemaah tetap patuh kepada rawatan walaupun berada di dalam pesawat sepanjang penerbangan.
Nasihat Kepada Jemaah Haji
Jemaah haji yang menghidap penyakit kronik dinasihatkan untuk kekal patuh kepada pengambilan ubat-ubatan walaupun jadual mereka mungkin sedikit padat dengan ibadah yang hendak dilakukan. Gunakan bantuan penggera (alarm) untuk membantu mengingat masa pengambilan ubat.
Para jemaah juga dilarang berkongsi ubat penyakit kronik dengan jemaah lain walaupun mengambil jenis ubat yang sama. Sekiranya terdapat masalah atau kekeliruan berkaitan dengan ubat-ubatan, contohnya seperti berlaku terputus bekalan ubat, jemaah boleh mendapatkan bantuan dan nasihat daripada pasukan petugas kesihatan. Pasukan ini juga berperanan untuk memberi rawatan kepada pesakit yang mengalami sebarang masalah kesihatan sepanjang tempoh menunaikan haji.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).
(Artikel ini disediakan oleh En. Wan Mohd Shafiq bin Wan Abd Rahman, Pegawai Farmasi di Hospital Sibu, Kementerian Kesihatan Malaysia)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.