Saya Pengundi Tronoh

Saya pengundi Tronoh.

Berdaftar sejak tahun 2000 sebaik sahaja umur saya cukup 21 tahun dan layak mengundi.

Pilihan raya umum pertama saya ialah PRU 11 pada tahun 2004. Ia juga merupakan PRU pertama DUN N.33 Tronoh diwujudkan selepas persempadanan semula. Sebelum itu pada tahun 1999, DUN N.33 dikenali sebagai Belanja dan diletakkan di bawah Parlimen P.66 Parit (bersama N.34 Bota). Pasca persempadanan semula, Belanja menjadi N.38 manakala Tronoh mengambil alih N.33 dan diletakkan di bawah Parlimen P.66 Batu Gajah (Parit, telah diberi nombor P.69 oleh SPR) bersama dengan N.31 Jelapang dan N.32 Menglembu.

Ya, persempadanan semula adalah perlu kerana pertambahan jumlah pengundi. Tapi ada juga ura-ura yang mengatakan N.33 berubah dari Belanja menjadi Tronoh dan dipindahkan dari Parit ke Batu Gajah kerana ia kerap menjadi lubuk yang memenangkan calon pembangkang. Pada tahun 1999 kami di Tronoh (atau Belanja) menjadi punca calon PAS menang di kerusi Parlimen dan DUN. Maka mengikut semangat gerrymandering dan malapportionment, sesuatu perlu dibuat bagi memastikan Barisan Nasional dan khususnya UMNO boleh menang di Parlimen Parit dan DUN di bawahnya, kerana kawasan Perak Tengah adalah kawasan pengundi Melayu dan lubuk emas BN.

Untuk itu DUN Tronoh diwujudkan dan diletakkan di bawah Parlimen Batu Gajah. Satu kombinasi yang sebenarnya menjadikan kawasan Parlimen ini serta DUN di bawahnya menjadi kubu kuat DAP yang hampir tidak terkalahkan.

Hebatnya kubu kuat DAP ini, ia sudah menyaksikan kemunculan tokoh politik seperti Fong Po Kuan yang menjadi ahli Parlimen Batu Gajah selama tiga penggal dan mencipta rekod sebagai ahli parlimen termuda pada tahun 1999. DUN Tronoh pula melahirkan V. Sivakumar, kali pertama bertanding pada tahun 2008 dalam PRU 12 dan seterusnya diangkat sebagai Speaker DUN Perak, kemudian dipilih menjadi calon Parlimen Batu Gajah pada tahun 2013 ketika PRU 13, menggantikan Fong Po Kuan yang bersara dari politik.

Tahun 2013 adalah tahun apabila V. Sivakumar beralih ke kerusi Parlimen dan kerusi DUN Tronoh diisi oleh pendatang baru, Paul Yong Choo Kiong. Bertanding di kerusi selamat, Paul Yong menang mudah menewaskan calon MCA-BN, Yip Sze Choy dengan majoriti 6,191 undi. Jumlah majoriti ini meningkat naik kepada 10,501 undi dalam PRU 14 sekitar 22 bulan yang lalu.

Sebagai pengundi Tronoh, saya menarik nafas lega kerana tidak pernah memangkah kertas undi untuk Paul Yong. Ketika PRU 13, saya tidak mengundi kerana berada di luar negara dek kerana tugas. Semasa PRU 14 kerana percaya perlunya ada kuasa ketiga dalam politik Malaysia, undi DUN saya pergi ke calon dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Chin Kwai Heng. Ya, saya salah seorang dari 333 orang yang mengundi calon PSM itu.

Kenapa menarik nafas lega?

Jawapannya mudah setelah melihat apa yang berlaku berkenaan Paul Yong hari ini. Tahun lepas, nama Paul Yong menjadi sebutan dalam isu politik peringkat nasional, sesuatu yang jarang berlaku untuk mereka yang bertaraf ADUN kerana lazimnya hanya ahli Dewan Rakyat saja yang menonjol di sebegini. Tetapi isu Paul Yong menjadi hangat kerana ia melibatkan pertuduhan jenayah rogol. Paul Yong didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia beliau sekitar Julai 2019.

Kes pertuduhan ini menjadi isu politik hangat. Kerajaan PH Perak dikritik, DAP Perak berada dalam keadaan berbelah bahagi sementara di pihak lawan, isu ini dijadikan peluru untuk mendakwa berlakunya salah guna kuasa dan cubaan oleh parti DAP melindungi ahlinya yang terlibat dalam pertuduhan jenayah.

Paul Yong pula mendakwa apa yang berlaku ke atasnya adalah bermotifkan politik. Kononnya ada penglibatan pihak ketiga yang cuba menjatuhkan beliau juga adanya perpecahan dalam DAP Perak yang melibatkan perebutan kuasa. Malahan dalam salah satu hari perbicaraan di mahkamah, hampir 200 penyokong Paul Yong hadir memberi sokongan sambil berteriak “Bebaskan Paul Yong, Nga Kor Ming letak jawatan”.

Nga Kor Ming adalah Pengerusi DAP Perak dan didakwa antara individu yang terlibat menjerat Paul Yong dalam pertuduhan rogol tersebut.

Paul Yong bahkan digantung tugas sebagai Exco pada 24 Ogos 2019, hanya untuk penggantungan itu ditarik kembali pada 15 November 2019. Pun begitu, apa yang berlaku beberapa bulan selepas itu adalah jauh lebih memeranjatkan.

Tanggal 9 Mac 2020, dengan kerajaan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan telah pun tersungkur dan beberapa kerajaan negeri berada dalam keadaan goyah termasuk Perak, Paul Yong bersama tiga ADUN lain iaitu Hasnul Zulkarnain (Titi Serong) dan Sivasubramaniam (Buntong) mengumumkan keluar parti untuk menjadi ADUN bebas dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional.

Deja vu. Peristiwa 2009 kembali berulang di negeri Perak. Serentak dengan itu, Perikatan Nasional beroleh majoriti dan DUN Perak terpaksa dibubarkan.

Tidak ramai yang mahu memikirkan apa motif ADUN Titi Serong dan Buntong untuk melompat seperti katak, tetapi ramai yang berandaian motifnya untuk Paul Yong. Ia terlalu mudah. Pertuduhan rogol, dakwaan bermotifkan politik, perebutan kuasa di peringkat parti DAP dan juga PH semuanya boleh menjadi rencah untuk Paul Yong melakukan pengkhianatan beliau sendiri.

Dan kemuncak pengkhianatan ini ialah, ahli politik DAP yang awalnya dituduh perogol oleh pihak pembangkang seperti BN dan PAS kini menjadi ahli politik bebas yang didakap kerana membantu BN dan PAS berkuasa di Perak.

Ia menjelaskan satu perkara. Dalam politik segalanya adalah mungkin.

Saya pengundi Tronoh.

Saya menarik nafas lega kerana tidak pernah mengundi untuk individu seperti Paul Yong.

Saya juga pasti, Paul Yong tidak akan bertanding lagi. Karier politiknya tamat sebagai seekor katak lompat. Bahkan keahlian DAP-nya sudah pun dilucutkan. DAP tidak perlu lagi mendukung biawak hidup. Nasib Paul Yong akan menjadi seperti Hee Yit Foong dan bersama dengan katak lompat pengkhianat yang lain. Jenayah Paul Yong jika benar akan menjadi beban buat Perikatan Nasional, itu pun jika semangat anti perogol masih ada di kalangan orang ramai yang sebelum ini menuduh DAP cuba melindungi seorang perogol.

Saya pengundi Tronoh.

Saya pasti, walaupun apa yang telah terjadi DUN N.33 Tronoh dan Parlimen P.66 Batu Gajah masih kekal kubu kuat DAP.

Komen