Kalau Kartini ada di Malaysia hari ini, beliau mungkin akan kagum melihat sejauh mana wanita di negara ini telah melangkah — dari menjadi pelajar cemerlang ke pemimpin negara, dari suara minoriti ke barisan penggubal dasar, dan dari ruang domestik ke pentas antarabangsa.
Namun, dalam kekaguman itu, mungkin Kartini juga akan bertanya:
“Mengapa wanita masih perlu membuktikan nilai mereka dalam dunia yang mendakwa sudah moden ini?”
Kita sudah di tahun 2025, tetapi sesetengah mentaliti terhadap wanita masih ketinggalan zaman. Baru-baru ini, tular kenyataan seorang influencer lelaki yang mendakwa wanita yang mengambil epidural semasa bersalin menggunakan ‘cheat code’ untuk mengelak kesakitan. Kenyataan ini bukan sekadar cetek, tetapi mengguris maruah wanita yang telah lama memikul beban kesakitan, tanggungjawab dan pengorbanan demi kehidupan baru.
Kenyataan seperti ini menunjukkan bahawa penghargaan terhadap wanita bukan hanya perlu dibuktikan di atas kertas atau di pentas rasmi, tetapi juga dalam ruang-ruang sosial harian — sama ada dalam perbualan, media, mahupun dalam rumah tangga.
Namun begitu, dalam kabus mentaliti patriarki ini, tetap ada sinar.
Malaysia baru sahaja melakar sejarah apabila Parlimen meluluskan pindaan kepada RUU Kewarganegaraan yang membenarkan wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mewariskan kewarganegaraan kepada anak mereka yang lahir di luar negara — satu hak yang selama ini hanya dinikmati oleh lelaki.
Ini bukan sekadar pindaan undang-undang, tetapi manifestasi kemenangan suara wanita yang tidak pernah berputus asa. Ia membuktikan bahawa apabila wanita bersatu, berdiri dan bersuara — perubahan boleh berlaku, walaupun setelah berdekad lamanya.
Kalau Kartini ada di sini hari ini, pasti beliau akan memeluk semua ibu yang selama ini bertarung dalam senyap, berjuang demi masa depan anak-anak mereka yang terperangkap dalam status kewarganegaraan yang tidak adil. Pelukan itu bukan sekadar empati, tetapi pengiktirafan terhadap keberanian yang tidak didendangkan — ibu-ibu yang selama ini berjuang dengan air mata dan kesabaran demi mendapatkan hak yang sepatutnya tidak pernah dinafikan.
Semangat Kartini hidup dalam perjuangan ini. Kartini pernah menulis dalam suratnya, “Habis gelap, terbitlah terang” — dan kita sedang menyaksikan terang itu perlahan-lahan muncul dalam dasar dan kesedaran masyarakat.
Walaupun Kartini berasal dari Indonesia, semangatnya membakar obor perjuangan wanita di seluruh Asia Tenggara — termasuk di Malaysia. Obor itu telah menginspirasi generasi demi generasi wanita untuk bangkit melawan ketidakadilan, menuntut pendidikan, memperjuangkan hak tubuh, serta mengubah sistem dari dalam. Kartini menjadi simbol bahawa perjuangan seorang wanita mampu memberi cahaya kepada ribuan yang lain.
Namun, perjuangan belum selesai.
Wanita Malaysia hari ini masih berdepan cabaran ketidaksamarataan gaji, representasi politik yang rendah, stigma terhadap ibu tunggal, dan norma sosial yang membataskan kebebasan wanita membuat pilihan terhadap tubuh, kerjaya dan kehidupan mereka.
Masih wujud jurang gaji yang ketara antara lelaki dan wanita, walaupun mereka memegang jawatan yang sama atau memiliki kelayakan yang setara. Wanita sering dilihat sebagai “pekerja kedua” dalam organisasi, terutama apabila mereka menjadi ibu. Dalam arena politik pula, representasi wanita masih jauh dari memuaskan. Meskipun wanita membentuk separuh daripada populasi negara, suara mereka dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri masih belum mencerminkan realiti tersebut.
Stigma terhadap ibu tunggal pula mencerminkan kegagalan masyarakat untuk memahami bahawa kekuatan seorang wanita bukan ditentukan oleh status perkahwinannya. Ramai ibu tunggal bukan sahaja memainkan peranan sebagai penjaga tunggal, malah menjadi tonggak ekonomi keluarga mereka.
Dan lebih menyedihkan, masih ramai wanita yang perlu “minta izin” daripada norma sosial untuk memilih kerjaya mereka, untuk menentukan arah hidup mereka — atau bahkan untuk membuat keputusan terhadap tubuh sendiri. Isu seperti kesihatan seksual dan reproduktif masih dianggap tabu, sedangkan ia adalah hak asasi yang sepatutnya dihormati dan dilindungi.
Jika Kartini ada di Malaysia hari ini, mungkin beliau akan berkata:
“Perjuangan kamu tidak sia-sia, tapi jangan pernah berhenti.”
Dan kepada lelaki Malaysia, mungkin Kartini akan mengingatkan:
“Pemerkasaan wanita bukan ancaman kepada lelaki — ia adalah asas kepada masyarakat yang adil dan maju.”
Mengangkat nama Kartini bukan sekadar mengenang sejarah. Ia adalah isyarat bahawa kita menghargai keberanian, prinsip dan cita-cita wanita. Dan ia adalah komitmen untuk terus memperjuangkan masyarakat yang meletakkan wanita dan lelaki di tempat yang sama tinggi, sama bermaruah.
Bersempena dengan Hari Kartini tahun ini, harapan saya adalah agar perjuangan wanita tidak lagi dilihat sebagai isu ‘wanita semata-mata’, tetapi sebagai perjuangan kemanusiaan — yang patut disokong oleh semua, tanpa mengira jantina.
Saya berharap agar suara wanita terus didengar dan dihormati, bukan hanya apabila ia lantang, tetapi juga ketika ia berbisik — kerana dalam bisikan itulah sering tersimpan beban hidup yang paling berat. Saya juga berharap agar dasar-dasar yang diperjuangkan benar-benar menyentuh kehidupan wanita di akar umbi — yang bekerja tanpa cuti, yang membesarkan anak sendirian, yang kehilangan kerjaya kerana memilih keluarga, dan yang tidak pernah berhenti berjuang meskipun di sebalik tabir.
Dan kalau Kartini ada di sini hari ini, saya ingin katakan:
Kami belum selesai, tapi kami sedang terus melangkah. Dengan berani, dengan harapan, dan dengan cinta.
**Selamat Hari Kartini untuk sahabat saya yang dinamakan sempena Raden Adjeng Kartini – Shahira Kartini. Beliau juga sedang membesarkan seorang anak gadis berlandaskan semangat dan visi Raden Adjeng Kartini.
(Nota editor: Artikel tulisan saudari Noor Suhana ini asalnya ditulis pada tahun 2025 tetapi tidak dapat diterbitkan pada masa tersebut. Bersempena Hari Kartini pada hari ini, 21 April 2026 ia akhirnya diterbitkan. Walaupun terlewat setahun, isu dan pandangan yang dibangkitkan masih kekal relevan kini)

Pernah berkhidmat sebagai pegawai khas parlimen dan dasar kini menceburi bidang korporat. Extrovert. Memasak adalah terapi dan masih single.








