Pada tahun 1951, berlaku satu insiden di Negeri Sembilan. Terdapat perbalahan besar antara kelompok adat, dan reformis. Pada 14 Februari tahun tersebut, Barisan Ugama untuk cawangan UMNO Rembau melancarkan kempen untuk mengubah undang-undang adat berkaitan harta pusaka, satu komponen paling sensitif dalam undang-undang Adat Perpatih.
Badan agama ini menerbitkan satu “surat peringatan”. Pamflet ini diedarkan di seluruh Rembau, mengingatkan masyarakat di situ kedudukan Islam sebagai agama yang sempurna, dan terdapatnya adat yang bertentangan dengan Islam. Sasaran Badan Ugama ini adalah untuk mengubah pewarisan dan pemilikan tanah pusaka agar tidak lagi mengikut adat perpatih. Memang aneh bin ajaib kerana langkah ini dilancar oleh UMNO.
Dalam satu pertemuan dengan 600 penghuni Rembau untuk menyatakan sokongan kepada perancangan UMNO ini, dua tokoh iaitu Lembaga suku Anak Acheh dan wakil Kaum Ibu UMNO menyokong gerakan ini. Tindakan ini menjadi satu yang sangat sensasi memandangkan secara lojiknya, seorang Lembaga sepatutnya berpihak kepada undang-undang adat. Manakala undang-undang bawah adat perpatih ini pula melebihkan wanita, maka sikap Kaum Ibu UMNO itu juga dikira aneh.
Resolusi pertemuan ini adalah untuk memperjuangkan perubahan undang-undang pusaka, dan menggunakan elemen kerajaan negeri untuk melakukannya. Undang Rembau ketika itu yang tersepit, menyatakan sokongan secara belakang iaitu menyokong pengangkatan hukum syarak, tetapi haruslah melalui pendekatan lunak iaitu dengan mendapatkan sokongan Lembaga.
Mesyuarat seterusnya dilakukan di Singapura (ya Singapura!) dan 67 undi berbanding 15 menolak, menyokong perubahan ini untuk dilakukan. Antara penentang usaha UMNO ini adalah PMS/PMU (Persatuan Melayu Semenanjung) yang merupakan musuh politik UMNO tatkala itu.
Pada 6 April 1951, Lembaga Rembau berhimpun dan menolak usaha penggantian undang-undang pusaka ini. ‘Perang saudara’ iaitu perbalahan mulut dilancar dan persengketaan merebak. Namun untuk seketika, ‘gencatan senjata’ diisytiharkan pada 25 Mei memandangkan Ramadan bermula. Meskipun ‘damai sementara’ dipersetujui, kedua-dua pihak bertelingkah tetap bergocoh. Kemuncaknya adalah pada 3 September apabila 15 Lembaga, 110 buapak, orang besar dan waris bergelar berkumpul di Rembau and menyatakan bantahan terhadap campur tangan UMNO dalam undang-undang adat Negeri Sembilan.
Saya tidak akan mengulas lanjut mengenai hujah-hujah puak penyokong adat dan Umno. Memadai untuk dinyatakan di sini, dalam tahun 1950-an dan 1960-an nasib wanita Melayu di lain-lain negeri, khusus di Pantai Timur amat buruk kerana perkahwinan bawah umur yang mengakibatkan perceraian di usia muda membawa kepada berleluasanya pelacuran. Bahawa realiti sosial begini tidak berlaku di Negeri Sembilan, kerana wanita yang bercerai atau mati suami biasanya mereka berharta (lantaran dilindungi Adat Perpatih) dan ini memberi kelebihan besar kepada argumen penyokong adat.
Panik Selepas Kes Natrah
Soalnya, mengapa UMNO yang sekular tiba-tiba menyentuh soal ini, dan berani pula mencabar undang-undang adat di sebuah daerah paling tepu pengamalan adat?
Jawapannya adalah UMNO ketika itu mengalami kepanikan luar biasa kerana masyarakat Melayu-Islam sedang marah lantaran UMNO dilihat gagal membela akidah Natrah, seorang wanita Belanda yang dipelihara sebagai seorang Islam. Mahkamah memutuskan Maria Huberdina Hertogh harus dikembalikan kepada keluarganya, yang beragama Kristian di Belanda. Pertunangan Natrah dan Mansor Adabi yang berasal dari Kelantan diputuskan paksa oleh mahkamah pada tahun 1949-1950 dan kejadian ini mencetuskan kerusuhan besar. Golongan agama dan khusus dari parti PAS kelihatan menyerlah dalam usaha mengangkat isu ini. UMNO rasa ketinggalan dan Barisan Ugama berasa perlu untuk memperlihatkan UMNO juga harus juara dalam hal-hal keIslaman.
Profesor Josselin De Jong yang mengkaji insiden ini menulis hubungan insiden di Rembau dan Singapura itu:
“Considering the brief interval between the two dates: December 11th, with its outbreak of exasperated Muslim sentiment, and February 14th, 1951, the publication of UMNO-Rembau’s appeal to Muslim sentiment in its anti-adat pamphlet, some kind of causal connection seems extremely likely. On the one hand, the High Court’s judgment, and particularly its rejection of the validity of Bertha Hertogh’s Muslim marriage, was felt by Malayan Muslims as a humiliation inflicted on Islam; there may well have been a hope that Negri Sembilan could offer a victory to offset the defeat in Singapore.”
Pun nampaknya UMNO Rembau tersilap mengkudakan undang-undang adat untuk beroleh kelebihan politik. Ini kerana usaha tersebut dialahkan. Dua Lembaga dipecat. Seorang kembali kepada adat, dan Wanita UMNO mengisytiharkan kembali menyokong adat perpatih.
Membaca apa yang berlaku pada tahun 1951 dan melihat apa yang terjadi di Negeri Sembilan hari ini kita harus berhati-hati.
Kita harus kembali kepada maksud adat. Apakah adat? Ia bermaksud undang-undang. Akan tetapi undang-undang yang bagaimana? Dalam hal ini adat adalah sesuatu yang dilakukan secara ulangan, dan diterima generasi demi generasi oleh majoriti masyarakat sebagai satu panduan, acuan dan kerangka yang mesti diterima. Ini juga bermakna adat juga boleh mengalami perubahan. Adat atau ketetapan mengenai Undang misalnya telah berubah secara pesat di Minangkabau dan mengalami adaptasi menurut kerangka kolonial Belanda. Ini supaya adat istiadat sedia ada tidak dianggap berat sebelah dalam masyarakat moden tatkala memutuskan sesuatu persengketaan.
Justeru, masyarakat Negeri Sembilan mesti berusaha memahami teromba yang diputuskan sebagai tunjang adat itu:
Dari nenek turun ke mamak
Dari mamak ke kemanakan
Patah tumbuh hilang berganti
Pusaka lama begitu juga
Adat bersendi hukum
Hukum bersendi syara’
Syara’ mengata adat menurut.
‘Langkah Rembau’ pada tahun 1951 itu digagalkan kerana masyarakat jelas dengan prinsip adat di atas. Ini membawa kita kepada pertikaian yang berlaku hari ini.
Undang Bukan ‘Batang Tubuh Undang-undang’
Sebagai pengkaji budaya Melayu saya perlu mengingatkan semua tokoh masyarakat di Negeri Sembilan yang arwah Abdul Samad Idris (wakil rakyat dan menteri dari Negeri Sembilan yang jauh lebih berpengaruh dari sebarang tokoh perpatih hari ini) pernah menyentuh dalam bukunya Payung Terkembang (1990) bahawa Undang bukanlah bermaksud ‘batang tubuh undang-undang’. Undang bukan objek, tetapi subjek, makanya Undang itu adalah pemegang kuasa undang-undang, yakni seorang yang dianggap cerdik pandai dalam hal adat dan mentadbirkan pemerintahan negeri. Ini juga bermaksud ada kala seorang Undang boleh saja tersilap mentafsir, atau tersilap, bahkan dalam konteks Malaysia moden dapat dipertikai kecerdikannya.
Undang pula bukan maksum. Yang maksum dalam hukum syarak itu Rasulullah SAW sahaja. Memang Undang Berempat dalam adat perpatih boleh menurunkan Yang Dipertuan Besar. Tetapi jika kita mahu menegakkan adat, undang-undang atau adat menyatakan ia harus dilakukan dengan sebab musabab dan alasan yang jelas seperti berlakunya tidak siuman, dipenjarakan kerana jenayah, atau melakukan kesalahan syarak. Akan tetapi Undang pula adakah mereka itu kebal dan tidak boleh disingkirkan? Jika misalnya adat (hukum) bersendi syarak, dan syarak itu sampai dinodai adakah ia dibiarkan sahaja?
Sekiranya kita membaca buku Negeri Sembilan dan Sejarahnya (1968) oleh Abdul Samad Idris kita akan mendapati sejarah Undang di Negeri Sembilan banyak melakukan kecuaian termasuk bekerja dan membuat perjanjian dengan penjajah British, selain diketahui masyarakat ada Undang melakukan perbuatan menjolok mata seperti menghisap ganja. Jika Yang di-Pertuan Besar boleh dipecat, tidakkah Undang, Luak, Lembaga juga boleh disingkirkan jika melakukan hal-hal aneh menyalahi hukum agama? Jika adat disendikan syarak, tidakkah syarak juga perlu diperhitungkan?
Dalam sudut pandang orang perpatih terdapat bidalan ‘biar mati anak, jangan mati adat’. Ramai orang menyangka bidalan ini bermaksud orang Negeri Sembilan obses dan melampau dalam mempertahankan adat. Ini cara yang salah untuk membaca bidalan ini. Yang sebenarnya tafsiran bidalan ini adalah orang Negeri Sembilan menyatakan keadilan (iaitu adat, yang bermaksud undang-undang) harus ditegakkan walau apa pun terjadi.
Sikap Antirasuah Tuanku Muhriz
Dan kalau bertembung dengan anak kita sendiri melakukan kesalahan, undang-undang itu tetap didaulatkan. Bidalan ini bermaksud rule of law. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hari ini, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah seorang yang nampaknya membuktikan dirinya sebagai sanggup mati anak tidak mati adat. Baginda dikenali antirasuah dan korupsi. Sikap tegas dan keras baginda dalam tidak memberi ampun kepada mana-mana penjenayah rasuah dan koruptor memang diketahui umum. Siapa yang untung jika baginda tiada? Adakah rule of law ditegakkan jika baginda tiada? Atau adakah nanti rule of law diterbalikkan? Tidakkah pembanterasan rasuah itu satu yang dituntut syarak, dan baginda Tuanku Muhriz cemerlang dan penuh wibawa dalam melakukannya. Jika menteri besar Negeri Sembilan yang tandatangannya berharga itu dilengser, siapakah yang akan naik kelak dengan kiraan matematik kerusi di negeri tersebut.
Siapa atau parti mana yang menunggang keadaan ini untuk agenda dan kepentingan sendiri?
Masyarakat Negeri Sembilan jangan lupa, insiden 1951 inisiatif UMNO itu berjaya digagalkan bukan sangat kerana keinsafan dan keluhuran pembesar adat ketika itu. Selepas peristiwa 1951 itu, malah Undang Rembau melawan UMNO. Gugatan terhadap adat ini digagalkan kerana rakyat Rembau keluar beramai-ramai menyatakan sikap tidak mahu ada pihak memperkudakan adat, dan menyatakan penolakan terhadap usaha orang politik mengotorkan adat, dan memanipulasi Undang, dan Lembaga.
(Artikel tulisan saudara Faisal Tehrani ini asalnya diterbitkan di Malaysiakini dan ia diterbitkan kembali di Solidaritas dengan izin penulis)

Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.








