Ahli sains bersepakat, alam semesta terbentuk sekitar 13.8 bilion tahun yang lalu dalam satu letusan atom yang digelar “Big Bang”.
Bumi yang sedang dipijak kita sekarang ini pula telah berusia 4.6 bilion tahun. 9.2 bilion tahun selepas alam semesta terbentuk.
Sejak itu, sejumlah 117 bilion spesies manusia telah atau pernah menghuni planet bumi.
Setakat artikel ini ditulis, populasi manusia semasa adalah sekitar 8 bilion yang sedang berada di atas planet ini.
Bagaimana memahami angka bilion ini dengan analogi mudah?
Bermula detik atau saat kamu dilahirkan, di usia 31 tahun barulah 1 bilion saat berlalu.
Jika kamu ada wang ringgit berjumlah 1 bilion, dan membelanjakan RM100 setiap hari, wang itu hanya akan habis selepas 27,397 tahun.
Populasi di negara Malaysia untuk tahun 2024 adalah 34 juta orang. Dari Wang Kelian hingga ke Kudat, menyumbang tak sampai 3% dari seluruh populasi di dunia.
Planet bumi adalah planet ketiga yang mengorbit bintang Matahari dengan jarak 147.17 juta kilometer. 8 planet kesemuanya yang mengorbit bintang Matahari ini dalam satu daerah yang digelar sistem solar.
Cahaya bergerak dengan kelajuan 300,000 km sesaat.
Bermakna, jika ada jasad yang mampu capai kelajuan ini sekalipun akan mengambil masa 8 minit untuk bergerak dari bumi ke matahari.
Matahari adalah antara bintang yang ada dari 100 – 400 bilion bintang yang menghuni galaksi Bima Sakti (Milky Way). Setiap dari bintang ini hampir pasti mempunyai jasad berupa planet-planet yang mengorbitnya.
Jarak antara matahari ke pusat galaksi Bima Sakti pula adalah 28,000 tahun cahaya.
Bermakna, jika ada jasad yang mampu capai kelajuan 300,000 km sesaat sekalipun tetap akan mengambil masa 28,000 tahun untuk sampai ke pusat galaksi Bima Sakti.
Objek buatan manusia yang pernah bergerak paling jauh setakat ini adalah Voyager 1, prob yang dilancarkan pada tahun 1977 iaitu 24.9 bilion km dari planet bumi.
Bermakna, 47 tahun selepas dilancarkan, meski dengan kelajuan 17 km per saat, objek buatan manusia ini baru sahaja mampu bergerak sejauh itu.
Andaikan di bumi Perodua Bezza kamu yang diubah suai mampu bergerak selaju itu, mudah saja dari Johor Bahru ke Perlis dalam 20 saat.
Galaksi Bima Sakti adalah antara “butiran pasir” yang ada dalam kumpulan gugusan galaksi lokal yang diberi nama “Virgo Supercluster”.
Dianggarkan ada 2,000 galaksi yang ada di dalam gugusan kumpulan Virgo ini.
Virgo Cluster adalah antara “butiran pasir” yang ada di dalam Laniakea Supercluster.
Laniakea Supercluster pula hanyalah “butiran pasir” yang ada bertebaran bersama beberapa kumpulan lain.
Begitulah seterusnya.
Tak berpenghujung.
Tak tercapai dek akal.
Angka-angka ini juga adalah sekadar anggaran dari batas fikir ahli-ahli yang bertauliah.
Setuju dengan berhikmah. Tak setuju tinggalkan sahaja.
Kembali ke bumi.
Di ruang 800 kaki persegi kondominium yang sedang kamu diami. Jenguk ke jendela, lihat cebisan tanah yang digunakan untuk bangunkan kediaman “burung” yang kamu idamkan sekian lama.
Bersama akad pinjaman 30 tahun yang ditemeterai dengan institusi kewangan.
Lahir, belajar, bekerja dan mati.
Ada yang raikan kehidupan dalam setiap fasa hidup yang dilalui.
Raikan kehidupan dalam fasa membesar.
Raikan kehidupan di alam persekolahan.
Raikan kehidupan di dunia pekerjaan.
Raikan kehidupan selepas bersara.
Allah SWT berfirman;
“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidak mahukah kamu berfikir”.
Apa benda tujuan tulisan ini? Hasut berhenti kerja kah?
Tidak.
Kerana Rasulullah SWA bersabda;
“Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan seorang dari kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat, maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala”.
Dalam garis masa kehidupan yang singkat dan tak relevan mengikut angka universal dan digit kosmos, membuktikan penghidupan kita hanya relevan pada Allah SWT, penguasa yang satu.
Bekerja adalah satu ibadah, untuk pastikan lauk di atas meja untuk anak dan isteri tak terputus. Sepenuh hati kita memerah keringat, sedaya upaya mengikhlaskan hati dalam kerja yang dilakukan.
Sayangnya, hikmah “bekerja satu ibadah” ini sering dirompak dan dieksploitasi segelintir manusia yang hanya melihat dunia sebagai pentas meraih kekayaan semata.
“Orang Kita” gemar menyalut apa sahaja dalil, nas dan suruhan dari yang Esa demi mencapai matlamat nafsunya sahaja.
Sedangkan pintu rezeki itu ada 13 kesemuanya, dan bekerja adalah yang terakhir sekali.
Sekali lagi cuba jenguk ke jendela kondo kamu dan kalau boleh nampak jalan raya utama, perhatikan trafik.
Sesak.
Untuk pintu rezeki yang akhir.
“Sahih, tulisan ini ajak kita berhenti kerja beramai-ramai dan balik kampung menanam”!
Oh, tidak.
Untuk kita yang bermusafir ke Lembah Klang demi impian dan cita-cita duniawi ini, harus terus kental dan kuat.
Untuk yang berada di negeri-negeri yang tidak mencapai standard Keluaran Dalam Negeri Kasar menurut sistem ekonomi kapitalis lebih beruntung kerana mempunyai masa yang lebih untuk berhikmah dalam kehidupan.
“Bro, apa sebenarnya yang kamu nak sampaikan dengan penulisan ini”?
Tidak ada. Sekadar berkongsi data, angka dan trivia.
Untuk apa?
Terserah.
Jika kita benar menurut segala yang diperintahkan Allah dan sepenuh hati mengabdikan diri padaNya, kita tidak akan pernah dilihat relevan di mata manusia. Sistem yang kita cipta sendiri ini menjerat kita dari melakukan apa yang seharusnya, seikhlasnya. Maka benarlah, dunia ini diibaratkan penjara buat hamba-hambaNya yang beriman. Sekali lagi, perihal nombor dan angka di atas membuktikan, kita hanya relevan pada Allah SWT. Dengan masa yang teramatlah singkat dan tak relevan dalam dunia nombor ini, berusahalah untuk lalui setiap detik yang berlalu dengan penuh hikmah.
Kita hanyalah seketul atom atau zarah yang sering sombong dan mengangankan sebidang langit.
Itu sahaja. Punyalah jauh pusing.
Jika boleh buatkan kamu renung sejenak dan bertafakur, syukur, dapat juga pahala.
Kalau tidak, habis baca, tutup dan teruskan scroll telefon pintar kamu.
Kalau baca tulisan ini di waktu malam, lepas habis baca, tutup telefon dan sambung tidur.
Terima kasih kerana membaca.

Adam Mukhriz lahir dan membesar di ceruk Pulau Langkawi. Pentaksub dunia sosiologi yang berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar impian menjadi pemuzik Grindcore.








