Dalam era digital yang penuh dengan pelbagai sumber maklumat, pemikiran kritikal dalam kalangan pembaca semakin berkurangan. Beberapa faktor utama menyebabkan penurunan ini, termasuk kebergantungan kepada media sosial sebagai sumber utama maklumat, di mana berita sering dikongsi tanpa disemak kesahihannya. Selain itu, sikap membaca secara pasif tanpa menyoal fakta atau mencari perspektif lain juga menyumbang kepada kelemahan pemikiran kritikal. Sistem pendidikan yang lebih menekankan hafalan berbanding analisis dan penyelesaian masalah turut menjadi faktor yang menyebabkan kurangnya pemikiran kritikal dalam kalangan masyarakat.
Walaupun rakyat hari ini mempunyai akses yang lebih mudah dan pantas kepada maklumat berbanding dahulu, tahap pemahaman mereka terhadap sesuatu perkara tidak jauh berbeza. Situasi inilah yang dikenali sebagai fenomena “paradox of choice”. Secara ringkasnya, teori ini menerangkan bahawa apabila individu terdedah kepada lambakan maklumat yang bercanggah dan terlalu banyak pilihan, mereka cenderung mengalami kesukaran untuk menilai yang mana benar dan yang mana hanya bersifat manipulatif. Akibatnya, mereka menjadi keliru dan sukar membuat keputusan yang tepat, sekali gus menjadikan mereka lebih mudah terpengaruh oleh maklumat yang bersifat sensasi atau bias.
Pemikiran kritikal merujuk kepada kebolehan individu untuk menganalisis, menilai, dan mentafsir maklumat secara objektif sebelum membuat keputusan atau kesimpulan. Tanpa pemikiran kritikal, pembaca mudah terpengaruh dengan maklumat palsu, propaganda, dan bias yang boleh membawa kepada kesimpulan yang salah.
Pemikiran kritikal amat penting pada zaman ini kerana ia membantu individu menangkis maklumat palsu dan propaganda, membuat keputusan yang lebih rasional, memahami isu-isu global dengan lebih baik, meningkatkan keupayaan berhujah, serta menyokong inovasi dan penyelesaian masalah. Dengan pemikiran kritikal, masyarakat dapat membina pemahaman yang lebih mendalam terhadap dunia moden yang penuh dengan cabaran dan peluang.
Oleh itu, artikel ini akan membincangkan kepentingan pemikiran kritikal serta strategi untuk menggalakkan pemikiran kritikal dalam kalangan pembaca.
Kepentingan Pemikiran Kritikal
Pemikiran kritikal membantu pembaca memahami sesuatu maklumat secara mendalam dan tidak hanya menerima bulat-bulat tanpa soal. Ia membolehkan mereka membandingkan, menganalisis, dan menilai maklumat dengan lebih berkesan. Sebagai contoh, rakyat Malaysia sering terdedah kepada pelbagai laporan mengenai isu ekonomi seperti kenaikan harga barang.
Dengan pemikiran kritikal, mereka dapat menilai sama ada maklumat tersebut benar, memahami faktor-faktor yang mempengaruhi harga, dan mencari penyelesaian yang lebih objektif daripada sekadar menyalahkan satu pihak. Lebih daripada itu, pemahaman yang jelas terhadap sesuatu isu juga menjadikan rakyat tidak mudah panik atau berhujah secara melulu. Apabila seseorang mampu melihat sesuatu isu dari sudut yang lebih luas, mereka akan lebih berhati-hati dalam membuat kesimpulan serta dapat mengemukakan hujah yang berasaskan fakta dan bukannya emosi semata-mata.
Selain itu, dalam dunia yang dipenuhi dengan berita palsu dan maklumat yang tidak sahih, pemikiran kritikal membantu pembaca menyaring sumber maklumat yang boleh dipercayai. Dengan ini, mereka dapat mengelakkan diri daripada menyebarkan maklumat yang tidak tepat dan memastikan maklumat yang mereka sebarkan mempunyai asas yang kukuh. Sebagai contoh, dalam politik Malaysia, terdapat banyak dakwaan dan kenyataan yang dibuat oleh ahli politik di media sosial dan ceramah.
Dengan pemikiran kritikal, rakyat boleh menilai kesahihan maklumat ini dengan merujuk kepada sumber rasmi seperti laporan kerajaan, kajian akademik, atau organisasi pemantau bebas sebelum mempercayai atau menyebarkannya. Selain itu, pemikiran kritikal membolehkan rakyat membuat pilihan yang lebih bijak semasa mengundi dalam pilihan raya. Dengan menilai manifesto parti politik, rekod prestasi calon, serta impak dasar yang dicadangkan, mereka dapat memilih pemimpin yang benar-benar mampu membawa perubahan positif kepada negara dan bukan sekadar terpengaruh dengan retorik atau propaganda politik.
Selain mempengaruhi pemahaman terhadap maklumat, pemikiran kritikal juga membolehkan individu membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau kepercayaan yang tidak berasas. Ini amat penting dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam membuat keputusan berkaitan kewangan, politik, dan sosial, di mana setiap keputusan boleh memberikan kesan jangka panjang. Sebagai contoh, rakyat Malaysia sering terdedah kepada skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.
Dengan pemikiran kritikal, mereka dapat menilai kesahihan skim tersebut dengan menyemak sumber rasmi seperti Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti, serta memahami tanda-tanda penipuan kewangan sebelum membuat keputusan untuk melabur. Jenayah seperti scam bukan sahaja wujud akibat niat jahat oleh pihak scammer, tetapi juga kerana kedangkalan mangsa dalam menilai sesuatu perkara dan membuat keputusan dengan baik. Tanpa pemikiran kritikal, mangsa mudah terpedaya dengan janji manis serta taktik manipulasi psikologi yang digunakan oleh penipu, mengakibatkan kehilangan wang dalam jumlah yang besar.
Strategi Membentuk Pemikiran Kritikal
Pembaca harus berusaha untuk membaca secara aktif dengan menyoal maklumat yang diterima. Mereka boleh bertanya soalan seperti: “Apakah bukti yang menyokong fakta ini?”, “Adakah penulis mempunyai bias?”, dan “Bagaimanakah maklumat ini dibandingkan dengan sumber lain?”. Sebagai contoh, dalam politik Malaysia, media tertentu cenderung menyokong pihak tertentu yang selari dengan kepentingan pemilik atau pihak yang membiayai mereka. Ini dapat dilihat apabila sesuatu berita lebih menonjolkan kejayaan satu pihak sambil mengabaikan atau menyorokkan kelemahan mereka, manakala pihak lawan sering digambarkan dalam sudut yang negatif. Dengan pemikiran kritikal, pembaca dapat mengenal pasti kecenderungan ini dan mencari sumber alternatif bagi mendapatkan gambaran yang lebih seimbang.
Untuk mendapatkan gambaran yang lebih tepat, pembaca digalakkan untuk mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber sebelum membuat kesimpulan. Ini membantu mereka mengenal pasti maklumat yang lebih tepat dan mengelakkan kebergantungan kepada satu sumber sahaja. Sebagai contoh, dalam bidang ekonomi, media Barat sering mengkritik industri minyak sawit dengan mendakwa bahawa ia merosakkan alam sekitar. Namun, media Malaysia menekankan bahawa minyak sawit jauh lebih efektif dan mesra alam berbanding minyak lain seperti minyak soya atau minyak bunga matahari, yang memerlukan kawasan tanah yang lebih luas untuk penghasilan yang sama.
Dengan membandingkan laporan dari pelbagai sumber, pembaca dapat mengenal pasti bias dan membentuk pendapat yang lebih seimbang serta berasaskan fakta.
Berbincang dengan orang lain mengenai sesuatu topik juga membantu individu melihat perspektif yang berbeza dan memperbaiki cara mereka menilai sesuatu maklumat. Mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak sebelum membuat keputusan adalah penting kerana ia membolehkan seseorang memahami keseluruhan isu dengan lebih mendalam dan mengelakkan kesimpulan yang berat sebelah.
Sebagai contoh, dalam perdebatan mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sesetengah pihak berpendapat bahawa GST lebih telus dan meningkatkan hasil negara, manakala yang lain berpendapat bahawa SST lebih mesra pengguna dan kurang membebankan rakyat. Dengan mendengar hujah dari kedua-dua pihak dan menganalisis data ekonomi serta impaknya terhadap pengguna, pembaca dapat menilai kekuatan dan kelemahan setiap sistem cukai sebelum membentuk pendapat atau menyokong sesuatu dasar.
Dengan kemajuan teknologi, pembaca boleh menggunakan alat seperti fact-checking dan jurnal akademik dalam talian untuk menyokong pemikiran kritikal mereka. Proses fact-checking boleh dilakukan dengan merujuk kepada sumber rasmi, organisasi bebas, serta laporan akademik. Pembaca harus membandingkan laporan dari beberapa media yang berbeza bagi memastikan ketepatan maklumat sebelum mempercayainya atau menyebarkannya.
Kesimpulan
Pemikiran kritikal merupakan kemahiran yang amat penting dalam dunia yang dipenuhi dengan maklumat pelbagai dan sering kali bercanggah. Dengan membudayakan pemikiran kritikal, masyarakat dapat menilai maklumat dengan lebih tepat, mengelakkan penyebaran berita palsu, serta membuat keputusan yang lebih bijak dalam pelbagai aspek kehidupan. Oleh itu, setiap individu perlu berusaha mengasah kebolehan ini dengan membaca secara aktif, mendengar pelbagai perspektif, serta menyaring maklumat sebelum mempercayainya. Hanya dengan pemikiran kritikal yang kukuh, masyarakat dapat berkembang sebagai warga yang lebih berinformasi dan bertanggungjawab dalam era digital ini.

Archigós Nikólas berasal dari Sarawak dan minat menulis mengenai topik kepimpinan, keadilan dan kebebasan. Beliau percaya setiap rakyat berhak untuk mendapat akses yang lebih baik kepada informasi kritikal yang selama ini hanya berlegar di kalangan elit sahaja.








