Malaysia, Norway Dan Ujian Geopolitik Antarabangsa

Tindakan Norway membatalkan kontrak pembekalan peluru berpandu Naval Strike Missile atau NSM kepada Malaysia bukan sekadar pertikaian komersial antara kerajaan dengan pembekal pertahanan. Ia adalah isu besar yang menyentuh kepercayaan strategik, kesiapsiagaan pertahanan negara dan kedudukan Malaysia dalam dunia yang semakin terbahagi kepada blok-blok geopolitik.

Menurut laporan USNI News, Norway telah membatalkan kontrak antara Kongsberg dan kerajaan Malaysia bagi pembekalan NSM serta sistem pelancarnya selepas negara Nordic itu melaksanakan sekatan baharu ke atas eksport senjata. Malaysia sebelum ini dijadualkan memperoleh NSM dan peralatan berkaitan untuk enam kapal Littoral Combat Ship (LCS) kelas Maharaja Lela di bawah kontrak bernilai AS$145 juta yang ditandatangani pada 2018. Pada 2025 pula, Malaysia bersetuju dengan satu lagi kontrak bernilai AS$11.19 juta bagi pelancar NSM untuk dipasang pada dua frigat sedia ada kelas Lekiu milik Tentera Laut Diraja Malaysia. Lebih penting, Malaysia telah membayar lebih 95% daripada nilai kontrak 2018 tersebut.

Di sinilah kekecewaan Malaysia. Ini bukan pembelian tergesa-gesa, bukan urus niaga sampingan dan bukan keputusan ad hoc. Ia sebahagian daripada perancangan jangka panjang pertahanan maritim negara, khususnya dalam usaha memodenkan armada TLDM melalui program LCS. NSM bukan sekadar “aksesori” kepada kapal perang tersebut, tetapi sebahagian daripada reka bentuk keupayaan tempur yang telah dirancang sejak awal lagi.

Lebih membimbangkan, USNI News turut melaporkan bahawa Malaysia mula dimaklumkan mengenai sekatan eksport Norway dan pembatalan kontrak itu ketika penganjuran Defence Services Asia Exhibition di Kuala Lumpur bulan lalu. Dalam pertemuan yang pada asalnya dianggap rutin antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan delegasi Norway, pegawai Malaysia dimaklumkan bahawa sekatan baharu eksport senjata Norway menyebabkan Kongsberg tidak lagi boleh membekalkan NSM kepada Malaysia kerana peluru berpandu itu hanya akan dieksport kepada negara NATO dan rakan NATO. Dan Malaysia bukan ahli NATO.

Malah, laporan sama menyebut Norway menggunakan klausa “force majeure” untuk membatalkan kontrak tersebut. Secara kontrak, force majeure biasanya merujuk keadaan luar biasa yang membebaskan pihak tertentu daripada tanggungjawab kerana faktor di luar kawalan.

Dalam keadaan ini, reaksi balas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dipuji. Beliau tidak bertindak dengan nada melulu atau emosional, tetapi cukup tegas dalam menyampaikan bantahan Malaysia kepada Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre. Ungkapan beliau bahawa “Signed contracts are solemn instruments. They are not confetti to be scattered in so capricious a manner” membawa mesej diplomatik yang keras tetapi elegan.

Bahasa itu penting. Ia bukan sekadar sindiran retorik. Ia menegaskan prinsip asas hubungan antarabangsa: kepercayaan terbina atas komitmen yang dihormati. Apabila sebuah negara telah menandatangani kontrak, menerima bayaran, membenarkan perancangan ketenteraan dibina di sekeliling sistem tersebut, kemudian ia ditarik balik kelulusan pada peringkat kritikal, ia bukan sahaja menjejaskan satu program pertahanan. Ia mencederakan kredibiliti negara pembekal itu sendiri.

Norway mungkin mempunyai alasan keselamatan sendiri. Laporan USNI News menyebut pembatalan itu mungkin berkait dengan komponen giroskop buatan Amerika Syarikat dalam NSM, yang kini dilaporkan tertakluk kepada sekatan eksport kepada pihak ketiga. Tetapi alasan ini tetap tidak menghapuskan persoalan moral dan strategik. Malaysia telah berurusan dengan Norway secara sah, terbuka dan berdasarkan kontrak yang diluluskan. Sekiranya dasar Barat berubah selepas perang Ukraine dan Iran, atau akibat kebimbangan teknologi, mengapa negara pembeli seperti Malaysia pula yang perlu menanggung akibatnya?

Isu ini juga mesti dibaca dalam konteks lebih luas. Dunia hari ini sedang bergerak semula ke arah geopolitik blok. Negara-negara NATO semakin berhati-hati dalam mengeksport teknologi pertahanan kepada negara yang tidak berada dalam lingkungan pakatan mereka. Dalam keadaan ini, dasar luar Malaysia yang selama ini bersifat berkecuali dan bebas mungkin semakin sukar dipertahankan tanpa kos strategik.

Malaysia berdagang dengan China, berdialog dengan Rusia, bekerjasama dengan Barat, dan pada masa sama mengekalkan pendirian lantang dalam isu Palestin dan Iran. Dari sudut Putrajaya, ini adalah kedaulatan geopolitik. Kita sebagai negara berdaulat seharusnya ada kebebasan untuk menjalin hubungan diplomatik atau perdagangan dengan mana-mana negara di dunia.

Tetapi malangnya dari sudut sesetengah kuasa Barat, neutraliti mungkin tidak lagi dilihat sebagai kebijaksanaan diplomatik, sebaliknya dianggap sebagai ketidakpastian mahu menyertai blok yang mana satu.

Realitinya, dunia kini sedang beralih ke situasi mirip era Perang Dingin dengan kuasa-kuasa besar menekan negara kecil untuk memilih pihak.

Maka tindakan Norway harus menjadi titik semak penting kepada Malaysia. Kita perlu menilai semula siapa sebenarnya rakan strategik yang jujur, dan siapa pula yang hanya mesra ketika ia menguntungkan mereka. Rakan sebenar bukan sekadar hadir dalam latihan bersama, menjual teknologi ketika pasaran menguntungkan, atau bercakap tentang nilai bersama. Rakan sebenar ialah pihak yang menghormati komitmen apabila keadaan geopolitik menjadi sukar.

Komen