Titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, yang menzahirkan kekecewaan terhadap Kerajaan Persekutuan kerana tidak meluluskan eksport pasir sungai dari Pahang, wajar dibaca dengan terbuka tetapi tidak semestinya perlu disambut dengan persetujuan atau dilihat sebagai satu perintah.
Isu ini dilihat seperti soal “hak negeri”, dan juga seperti ada pertikaian antara Kuantan dan Putrajaya. Ia menyentuh persoalan lebih besar: apakah pasir sungai boleh dijadikan mesin tunai apabila hasil negeri mula dicari-cari?
Tetapi adakah “hak negeri” itu bermaksud mana-mana ahli Persekutuan bebas mencari sumber pendapatan tanpa batas? Atau adakah Putrajaya tidak sewajarnya memainkan peranan menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh mana-mana ahli Persekutuan?
Kerajaan Pahang berhujah bahawa eksport pasir sungai boleh menambah hasil negeri, malah menurut laporan Pahang Media, stok pasir di Sungai Pahang dikatakan berpotensi menjana sekitar RM500 juta. Hujah lain yang dibawa ialah pengorekan pasir dapat mendalamkan sungai, melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir ketika tengkujuh.
Di atas kertas ia nampak masuk akal. Namun realitinya sungai bukanlah sumber kewangan yang boleh dipergunakan sewenangnya. Sungai Pahang bukan longkang besar yang boleh dikorek sesuka hati atas nama kejuruteraan. Ia ialah sistem kehidupan: ada tebing, arus, sedimen, ikan, habitat riparian, kampung, kebun, nelayan sungai dan komuniti yang bergantung hidup padanya.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP sudah lama mengingatkan kerajaan tentang bahaya eksport pasir. Pada 2020, CAP menggesa kerajaan mengenakan larangan ke atas eksport pasir dan menarik balik AP eksport pasir sungai. Kebimbangan mereka jelas. Pengambilan pasir yang melebihi kadar pemulihan semula jadi boleh menyebabkan hakisan tebing, kerosakan infrastruktur, kehilangan tanah ladang, kemerosotan kualiti air dan gangguan habitat akuatik.
Inilah masalah apabila “mendalamkan sungai” dijadikan slogan mudah. Jika benar sungai perlu dipulihkan untuk mengurangkan banjir, maka ia perlu dibuat sebagai kerja pemulihan sungai yang dikawal ketat oleh pakar hidrologi, ekologi dan kejuruteraan sungai. Bukannya dipakej sebagai industri eksport pasir.
Bezanya besar. Pemulihan sungai bertujuan menyelamatkan sungai; eksport pasir bertujuan mengeluarkan sebanyak mungkin komoditi yang boleh dijual demi keuntungan.
Lebih membimbangkan, rakyat sendiri sudah menyuarakan kegusaran. Di media sosial penduduk setempat dan rakyat membangkitkan kebimbangan mereka akan kesan aktiviti pengambilan pasir seperti gangguan ekosistem sungai, hakisan tebing hingalah masalah lori pasir keluar masuk kawasan kampung dan menjejaskan jalan raya serta aliran trafik.
Rata-rata rakyat negeri Pahang masih ingat zaman keghairahan melombong bauksit satu masa dahulu hingga muka bumi sekitar Kuantan berubah menjadi seperti di planet Marikh.
Kita juga tidak boleh lupa sejarah isu pasir Malaysia. Eksport pasir dari Johor ke Singapura pernah menjadi polemik nasional. Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2010 pernah menyindir dakwaan berhubung pasir “silika” yang dibawa ke Singapura, termasuk laporan ratusan lori pasir keluar masuk sempadan setiap hari, sambil mempersoalkan logik menjual bahan mentah begitu sahaja tanpa nilai tambah. CAP turut mencatat bahawa Malaysia pernah mengeksport jumlah pasir yang sangat besar dengan majoritinya ke Singapura, sebelum larangan eksport pasir dilaksanakan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir yang kedua.
Di sini kerajaan Persekutuan perlu tegas. Hormat kepada institusi istana tidak bermaksud setiap titah berkaitan dasar awam mesti diterima tanpa semak imbang. Dalam sistem raja berperlembagaan, dasar alam sekitar, perdagangan, AP dan kepentingan antara negeri mesti ditentukan melalui prinsip tadbir urus, bukti saintifik dan kepentingan awam.
Pahang memang berhak mencari hasil. Tetapi hasil negeri tidak boleh datang dengan menggadaikan sungai terpanjang di Semenanjung. Sungai Pahang bukan lombong terbuka. Ia warisan alam, benteng ekologi dan nadi kehidupan rakyat.
Kalau benar Pahang mahu dilihat menjaga hutan, biodiversiti dan kawasan tadahan air, maka jawapannya bukanlah dengan mengeksport pasir. Jawapannya ialah menuntut pampasan ekologi, dana pemuliharaan, bayaran perkhidmatan ekosistem dan pembiayaan Persekutuan yang adil.
Pasir yang keluar boleh dikira dalam ringgit. Tetapi sungai yang rosak, tebing yang runtuh dan ekosistem yang mati tidak semudah itu untuk ditebus kembali. Jangan sampai kita dilihat ghairah membina istana pasir, nampak cantik tetapi sekali air bah, istana pasir pun rebah.

Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.









