3R Yang Akan Menjatuhkan PKR

Sebut sahaja 3R, kita pasti teringat ianya merujuk kepada tiga isu sensitif iaitu Religion (Agama), Race (Kaum) dan Royalty (Raja). 3R adalah isu yang kerap dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik, hinggakan kerajaan terpaksa bertindak tegas ke atas mana-mana isu berkaitan 3R dengan hujah ianya berpotensi mengancam perpaduan dan keselamatan negara.

Namun dalam ketegasan kerajaan hari ini menangani isu 3R, ada satu lagi 3R lain yang sedang hangat meletus dan berpotensi menjadi punca kejatuhan sebuah parti politik. Dan parti itu bukanlah sembarangan parti, melainkan parti yang merupakan parti Perdana Menteri dan tunjang kerajaan hari ini.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini sedang berada di puncak. Bukan sahaja memegang jawatan Perdana Menteri, menjadi tunjang kerajaan perpaduan, tetapi mempunyai segala kelebihan yang selama ini hanya mampu diimpikan ketika ia masih bergelar pembangkang. Tetapi anehnya, dalam saat kuasa berada di tangan, PKR kelihatan semakin tidak meyakinkan.

Kini PKR dilihat lebih sinonim dengan pergolakan dalamannya berbanding kejayaan luarnya. Rakyat kini melihat kelam-kabut watak-watak partinya berbanding kejelasan hala tuju perjuangannya. Dan lebih ramai rakyat, termasuk pengundi yang pernah meletakkan harapan besar kepada parti ini, mula memandang PKR dengan rasa letih, ragu dan kecewa.

Hakikatnya, kemerosotan imej PKR hari ini boleh diringkaskan kepada tiga huruf R. Akan tetapi 3R yang akan menjatuhkan PKR ini tidak ada kena mengena dengan Religion, Race dan Royalty.

R Yang Pertama – Rafizi

Dalam sebuah parti yang kini sarat dengan percaturan dan pergolakan dalaman, Rafizi Ramli adalah antara tokoh yang sekurang-kurangnya masih memberikan harapan bahawa PKR adalah parti yang mempunyai kerangka fikir dan keberanian untuk berdebat secara substantif. Suka atau tidak, Rafizi mempunyai identiti politik yang bersandarkan pada intelek dan bukan retorik semata.

Kewujudan Rafizi dalam PKR lah yang membuatkan penyokong parti percaya bahawa parti itu masih membawa isi dan bukan sekadar mengejar posisi.

Namun apabila kedudukan Rafizi semakin diketepikan dan berada dalam pertentangan dengan arus dominan parti, kesannya bukan kecil. PKR bukan sekadar kehilangan seorang pemimpin kanan bahkan kehilangan salah satu tonggak yang memberi parti itu wibawa intelektual dan tenaga politik yang segar.

Yang lebih buruk ialah pertelagahan antara kem Rafizi dengan kepimpinan atau elit tertentu dalam parti telah menelanjangkan satu hakikat yang sangat memalukan: PKR hari ini kelihatan lebih sibuk mengurus perang dalaman daripada mengurus cita-cita nasional.

Sebuah parti yang kononnya mahu memimpin negara tidak boleh kelihatan seperti sebuah parti Fight Club yang tidak habis-habis bertinju sesama sendiri. Apabila rakyat melihat tokoh seperti Rafizi tidak lagi diraikan, mesej yang sampai sangat jelas.

Dalam PKR hari ini keberanian, pemikiran dan merit tidak semestinya menjamin tempat. Yang lebih penting mungkin hanyalah sejauh mana seseorang itu serasi dengan susunan kuasa semasa, atau bagaimana seseorang itu mempunyai dana dan pengaruh untuk naik ke peringkat tertinggi.

Dan ini membawa kita kepada R yang kedua.

Ramanan

Kisah Ramanan tidak sama dengan kisah Rafizi. Jika Rafizi bermula dari bawah, dari jalanan di era Reformasi dan ketika PKR masih merupakan parti setahun jagung, Ramanan pula lain kisahnya.

Dalam politik akan sentiasa ada watak yang naik meroket. Tidak semua tokoh politik itu diberi ruang kerana kemampuan. Ada juga yang diberi ruang kerana kegunaan.

Di sinilah letaknya masalah besar PKR apabila Ramanan semakin dilihat sebagai tokoh yang mahu ditampilkan sebagai pengganti kepada ruang yang pernah diisi Rafizi. Perbandingan itu sendiri sudah cukup untuk menunjukkan betapa rendahnya standard parti kini.

Rafizi di sebalik segala kontroversinya tidak pernah ketandusan hujah, angka, idea dan daya fikir. Ramanan pula setakat yang terlihat lebih sinonim dengan permainan kuasa, kelincahan berpolitik dalam kelompok tertentu dan manifestasi bahawa kekuatan politik itu bergantung kepada kekuatan dana yang dimiliki seseorang.

Hakikatnya Ramanan bukan sahaja gagal mengisi ruang yang ditinggalkan Rafizi, malah kehadirannya mengukuhkan lagi persepsi bahawa PKR sedang bergerak daripada parti yang pernah mahu menjadi wadah idealisme kepada parti yang semakin tenggelam dalam politik naungan, perebutan posisis dan susunan kem.

Inilah yang menjadikan masalah Ramanan bukan sekadar soal peribadi beliau tetapi soal lambang. Ramanan melambangkan jenis politik yang dulu pernah dilawan PKR habis-habisan. Politik yang menilai kesetiaan kepada ganjaran berbanding kualiti kepimpinan. Politik yang melebihkan siapa yang pandai menyusun kedudukan daripada siapa yang benar-benar mampu memimpin.

Apabila jenis politik ini yang makin menonjol, rakyat akan membuat kesimpulan bahawa PKR sudah mula mabuk di lautan kuasa dan kini menjadi apa yang pernah dilawannya satu masa dahulu.

Dan apabila parti reformis mula menyerupai parti status quo, apa lagi yang boleh diharapkan

Reformasi – R Yang Terakhir

Inilah R yang paling besar, paling berat dan paling berbahaya. Kerana kalau Rafizi menyentuh soal tokoh, dan Ramanan menyentuh soal watak, Reformasi pula menyentuh soal roh.

PKR lahir daripada semangat reformasi. Bukan sekadar sebagai slogan kempen tetapi juga sebagai janji moral kepada rakyat bahawa politik Malaysia boleh dibersihkan, institusi boleh diperbetulkan, penyalahgunaan kuasa boleh dihadkan dan negara boleh dipimpin dengan semangat baharu.

Itu janji besarnya. Itu sebabnya dalam dua pilihan raya umum PKR dan Pakatan Harapan (PH) masih boleh bertahan di sebalik politik Malaysia yang makin bercelaru. Itu juga sebabnya pengundi sudi memaafkan kelemahan demi kelemahan ketika era PH 1.0 dahulu. Itu sebabnya rakyat terus mengundi walaupun ada sekelumit kekecewaan.

Tetapi kini persoalannya sampai bila?

Hari ini semakin ramai penyokong PKR dan PH mula terasa bahawa reformasi yang dijanjikan itu bukan sekadar lambat, tetapi seperti sudah terbantut. Banyak pembaharuan institusi kelihatan separuh jalan atau separuh masak. Banyak keputusan politik pula nampak terlalu biasa, terlalu lama dan terlalu serupa dengan gaya yang dahulu dikecam habis-habisan.

Apabila reformasi gagal diterjemahkan dengan nyata, kekecewaannya jauh lebih parah. Suka atau tidak, pimpinan PKR dan PH perlu sedar bahawa standard penyokong mereka tidak sama dengan standard penyokong parti lain. Yang dituntut ialah reformasi menyeluruh, bukannya soal masalah jalan berlubang atau harga barang semata-mata. Tetapi apabila reformasi itu tidak diterjemahkan, ia dilihat satu pengkhianatan terhadap sebab utama mengapa rakyat pernah memberi kepercayaan.

Pengundi PKR boleh menerima kelemahan. Tetapi mereka sukar menerima kehilangan makna.

Dan itulah bahaya sebenar yang sedang menghampiri PKR hari ini. Parti ini bukan sedang kehilangan kuasa semata-mata. Parti ini sedang kehilangan alasan untuk terus dipertahankan.

PKR mungkin jatuh kerana parti ini sendiri semakin sukar dibezakan dengan parti-parti lama yang pernah dilawannya.

Ketiadaan Rafizi menyerlahkan kemiskinan bakat dan kedangkalan wacana.

Kemunculan Ramanan menebalkan persepsi bahawa permainan kuasa sudah mengatasi prinsip.

Kegagalan menunaikan Reformasi pula mematikan sisa-sisa idealisme yang masih tinggal.

Komen