Falsafah sebagai Justifikasi Kuasa
Penjajahan bukan hanya merupakan tindakan ketenteraan dan ekonomi; ia juga melibatkan legitimasi moral dan intelektual. Dalam usaha kuasa-kuasa Barat menakluk dan menjarah dunia bukan Eropah, pelbagai gagasan telah digunakan untuk mengabsahkan tindakan mereka. Salah satu yang paling berpengaruh walaupun realitinya adalah disebabkan disalah tafsir adalah falsafah Friedrich Nietzsche, khususnya melalui konsep Ubermensch atau turut dikenali sebagai ‘superman’ dalam kesusasteraan Inggeris. Namun terjemahan dalam Bahasa Melayu tidak kurang meletakkan sebagai ‘manusia-yang-melepasi’ seperti dilakukan Dr Fauzi Naeim mahupun juga ‘adi-manusia’ oleh Dr Saiful Akram dan tidak kurang meletakkan sebagai ‘manusia unggul’. Kita ketepikan dahulu persoalan terjemahan dan harfiah kepada Ubermensch. Walaupun Nietzsche tidak pernah menyeru kepada penjajahan secara jelas dan nyata, pemikirannya tentang kekuasaan, moral dan keunggulan individu telah memberi ruang kepada penafsiran yang menguatkan naratif kolonial.
Konsep Ubermensch Dan Kuasa Moral Baharu
Dalam karya agungnya iaitu Also sprach Zarathustra: Ein Buch fur Alle und Keinen (Thus Spoke Zarathustra: A Book for Everyone and Nobdoy), Nietzsche memperkenalkan idea Ubermensch sebagai manusia yang melampaui nilai-nilai moral tradisional yang menurut beliau lahir daripada kelemahan terutamanya nilai Kristian seperti belas kasihan, kesamaan dan kerendahan hati. Nietzsche mengajak manusia untuk mencipta nilai-nilai baharu, yang berpaksikan keberanian, kekuatan dan penegasan terhadap kehidupan duniawi. Ubermensch ialah makhluk yang tidak tunduk kepada sistem moral lama dan sebaliknya mengarahkan hidupnya berdasarkan kehendak untuk berkuasa.
Dalam gagasan ini, nilai moral tidak lagi universal, tetapi relatif kepada kekuatan individu atau kelompok. Pandangan ini membuka ruang kepada justifikasi bahawa bangsa yang lebih kuat atau lebih tinggi tamadunnya berhak untuk menguasai bangsa lain seiring dengan semangat imperialisme abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Hubungan Gagasan Nietzsche Dengan Penjajahan
Walaupun Nietzsche secara langsung tidak menulis tentang penjajahan, ramai cendekiawan dan pemimpin politik menafsirkan Ubermensch sebagai gambaran bangsa Eropah yang unggul dan dominan. Contohnya, pemimpin kolonial Perancis dan British sering menyatakan bahawa mereka membawa tamadun kepada dunia yang “liar”. Satu naratif yang secara terang mencerminkan kepercayaan kepada keunggulan moral dan intelektual bangsa mereka. Pemikiran ini sejajar dengan ideologi Nietzsche yang menolak kesamaan manusia secara semula jadi.
Sejarawan Jerman, Johann Chapoutot, dalam kajian beliau mengenai hubungan antara falsafah Nietzsche dan Nazi Jerman, menjelaskan bahawa Ubermensch ditafsir oleh Nazi sebagai asas kepada keunggulan bangsa Aryan, bangsa yang kononnya ditakdirkan untuk memerintah dunia. Walaupun Nietzsche sendiri menolak antisemitisme dan nasionalisme, penulisannya tetap digunakan sebagai asas intelektual oleh para pemimpin Nazi, termasuk Adolf Hitler, yang menyimpan karya-karya Nietzsche dan menjadikan falsafahnya sebahagian daripada naratif ketuanan bangsa.
Contoh sejarah menunjukkan bagaimana gagasan keunggulan bangsa digunakan untuk menjustifikasi penjajahan: Projek Penjajahan Belgium ke atas Congo di bawah Raja Leopold II yang menyaksikan pembunuhan berjuta-juta rakyat Afrika, didorong oleh naratif bahawa mereka “belum bertamadun” dan perlu dikawal oleh bangsa Eropah yang lebih maju. Di sinilah ide Ubermensch menjadi sangat berbahaya apabila digunakan tanpa dianalisis sebaik mungkin kerana ia membenarkan kekuasaan melalui logik kekuatan yang bersifat dangkal.
Sokongan Terhadap Gagasan Nietzsche: Tokoh Dan Sarjana
Sesetengah sarjana mempertahankan Nietzsche dengan menyatakan bahawa beliau bukanlah seorang penyokong penjajahan, tetapi seorang pengkritik moraliti konvensional dan dogma. Walter Kaufmann, seorang sarjana falsafah Nietzsche abad ke-20, menyatakan bahawa Nietzsche tidak pernah menyokong nasionalisme, rasisme atau imperialisme, malah sering mengecam patriotisme Jerman yang sempit. Kaufmann berhujah bahawa Ubermensch adalah ideal individu, bukan ras atau negara.
Dalam konteks ini, Nietzsche dilihat sebagai seorang pemikir yang ingin membebaskan manusia daripada struktur moral tradisional yang membelenggu potensi sebenar manusia. Beliau tidak membenarkan kezaliman, tetapi memperjuangkan kekuatan dalaman individu yang berani menentang arus. Oleh itu, jika dibaca dengan berhati-hati dan dalam konteks sebenar, idea Ubermensch bukanlah alat penjajahan, tetapi suatu cabaran kepada keadaan kerancuan moral yang dihadapi masyarakat Eropah era beliau.
Bahaya Penyelewengan Falsafah
Kesimpulannya, gagasan Ubermensch dan Will to Power oleh Friedrich Nietzsche adalah pemikiran falsafah yang dalam dan sangat kompleks. Ia memberi cabaran besar kepada sistem moral konvensional dan menuntut manusia untuk bertindak. Namun, apabila ditafsir secara selektif dan digunakan untuk mengabsahkan dominasi serta penjarahan, ia boleh menjadi senjata yang membenarkan kekuasaan zalim dan tidak bermoral.
Sejarah telah membuktikan bahawa idea falsafah boleh menjadi alat berbahaya apabila digunakan tanpa konteks, seperti yang berlaku dalam penjajahan, fasisme, dan ideologi fasis. Maka, dalam dunia yang masih bergelut dengan kesan kolonialisme, kita wajar membaca semula Nietzsche bukan sebagai alasan untuk menindas, tetapi sebagai peringatan bahawa kebebasan berfikir juga datang dengan tanggungjawab moral yang besar kerana diakhirnya persoalan moral sebenarnya belum pernah berakhir terutama dalam era pasca kebenaran ini.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.









