“Coronavirus forces us to question the values we have built modern society on- what we have chosen to worship and what to cast aside.”
Arundhati Roy, Azadi
SUDAH lebih 1 tahun 6 bulan, pandemik melanda negara kita. Tak pernah kita menyangka dengan satu jenis virus dapat melumpuhkan pelbagai perkara termasuk kesihatan, kepimpinan politik, ekonomi dan moral. Cabaran di negara kita cukup besar kerana masyarakat harus memikul beban yang bertimpa-timpa, kerana malapetaka hadir seiring dengan tersebarnya wabak Covid-19. Cukup terang dan jelas bagaimana adanya kelompok yang hilang kewarasan dan pertimbangan akal moral demi memenuhi keserakahan.
Kisah-Kisah Derita Sepanjang Pandemik
Sepanjang tempoh wabak ini juga, setiap hari dapat kita saksikan, dengar dan baca kisah derita kelompok yang tergusur miskin. Dalam laporan akhbar Berita Harian bertarikh 20 Jun 2021 melaporkan:
“Hanya kerana ingin mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di kawasan yang mempunyai capaian Internet yang baik, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Hussein, parah selepas terbabit kemalangan jalan raya. Siti A’isyah Mohd Idris, 17, sedang menunggang motosikalnya di Jalan Rantau Panjang-Selama untuk mengikuti PdPR secara dalam talian di rumah bapa saudaranya di Taman Permai 2, Selama sebelum terbabit nahas dengan sebuah kereta BMW di jalan itu, pada jam 9.45 pagi.”
Dari akhbar Utusan bertarikh 2 Julai 2021 memberikan gambaran dan laporan tentang ketempangan fasiliti hospital dalam mendepani wabak Covid-19. Seorang doktor yang dipercayai berkhidmat di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur mendedahkan bahawa mereka sebenarnya sudah tidak mampu untuk menampung pesakit baharu. Dalam tulisannya di media sosial, beliau berkata, perkara itu berlaku disebabkan bilangan pesakit terlalu ramai sehingga ada yang terpaksa menunggu lama untuk dirawat.
“Dengan jumlah pesakit di hospital sekarang, kami tidak mempunyai katil yang mencukupi, semua katil kanvas pun sudah penuh, pesakit terpaksa menunggu di atas kerusi dan kerusi roda sahaja”. Tambah beliau lagi “Sebilangan pesakit perlu berkongsi tangki oksigen mereka dengan pesakit lain kerana tangki sedia ada tidak mencukupi untuk semua pesakit.”
Begitu juga dengan kisah tragedi apabila kemiskinan semakin menghimpit mereka yang sudah sedia ada miskin kerana mereka mula mencuri barang keperluan. Barang keperluan seperti ikan dan sayur merupakan barangan pilihan untuk dicuri di pasar raya besar sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perkara ini telah didedahkan sendiri oleh Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Ameer Ali Mydin dalam satu wawancara khas bersama stesen televisyen tempatan.
“Jika dulu, individu yang tidak bertanggungjawab datang ke pasar raya untuk curi televisyen dan pembesar suara untuk dijual. Sekarang ini, mereka terpaksa curi ikan kembung dan sayur-sayuran di pasar raya. Ini sangat menyedihkan.”
Juga yang paling terkesan adalah ketika kenyamanan dan keselesaan hidup seorang bayi terpaksa dikorbankan. Air rebusan beras terpaksa digunakan bagi menggantikan susu untuk anak kecil yang kelaparan, antara yang dilakukan sebuah keluarga akibat terkesan dengan pandemik Covid-19 di negeri ini. Perkara itu didedahkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Kebajikan Fisabilillah Negeri Terengganu yang berdepan kisah sedih berkenaan ketika menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan.
Sebab utama mengapa kes-kes derita ini terjadi sudah tentu akibat kemiskinan. Kemiskinan mengundang ketidakcukupan dan ketidakcukupan itu harus dipenuhi walau apa cara sekalipun. Cukup menghairankan kerana kerap kali kita semua dimomokkan dengan label negara dunia ketiga sebagai negara yang miskin seterusnya tidak dapat memenuhi semua kehendak masyarakatnya terutama oleh elit pemerintah, namun ironi berlaku di dalam negara yang membangun ini dan dikatakan tidak kecukupan masih lagi mampu melahirkan jutawan dan hartawan terutama dalam kalangan elit politik. Sebenarnya keperluan memang tak boleh dicukupkan atau ada pihak yang menjadi parasit menyedut sumber sehingga berlaku ketidakcukupan?
Kemunculan Elit JADONG
Dalam masa yang sama masyarakat dikejutkan lagi dengan sebuah laporan berita bertarikh 7 Ogos 2021 di mana;
“Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran mendakwa beliau telah dihubungi seorang individu tidak dikenali yang menawarkan ganjaran sekiranya memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN). Naib Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga bekas Menteri Sumber Manusia itu berkata, tawaran itu dibuat melalui pesanan di aplikasi WhatsApp menerusi telefon setiausahanya, Jeremy Chuah. Beliau mendakwa tawaran itu antara lain menyebut ganjaran wang berjumlah RM30 juta, kedudukan sebagai menteri serta pelbagai insentif lain.”
Bayangkan betapa besarnya nilai RM30 juta yang ditawarkan oleh elit politik semata-mata untuk meraih sokongan. RM30 juta itu sekiranya ditawarkan pada murid-murid sekolah tanpa peranti, mereka yang miskin tiada makanan, kelengkapan fasiliti hospital dan pemberian susu formula untuk bayi sudah tentu masyarakat dapat menghadapi wabak Covid-19 yang cukup mencabar ini dengan baik juga banyak nyawa yang boleh diselamatkan. Itu baru saja untuk satu sokongan, bagaimana sekiranya ada dua, tiga malah sepuluh sokongan lagi. Nilainya sudah tentu dapat membangkitkan semula ekonomi terutama untuk mereka yang terjejas teruk. Tidak perlu orang bergantung pada bakul makanan yang kandungannya hanyalah tersedia satu papan telur dan beberapa paket mi segera.
Rupa-rupanya negara kita tidaklah miskin tetapi dimiskinkan oleh elit Jadong (jahat, bodoh dan sombong) yang pernah diungkapkan oleh Almarhum Syed Hussein Alatas. Takrif rasmi jadong adalah jahat sambil tidak cukup atau lekas mengerti, dan pada waktu yang sama, begitu sombong dan meninggikan diri sehingga tidak mengakui kebodohan. Sifat jadong ini telah mengheret masyarakat masuk ke dalam kesedaran palsu. Masyarakat dipaksakan bahawa segala tindakan mengkritik terhadap elit yang gagal merupakan satu iri hati tanpa mereka melihat segala kemelesetan yang telah berlaku di sekeliling malah menganggap segala bantuan yang diberi sudah pun cukup padahal bantuan yang diberi tidak setimpal dengan apa yang diperolehi.
Sampai hari ini, saya masih membayangkan apa yang terjadi pada bayi yang meminum air rebusan beras menggantikan susu formulanya, RM30 juta yang ada sebenarnya cukup untuk memberi minum ratusan ribu bayi di negara ini tetapi piroritinya berbeza lantas tidak mempedulikan mereka yang tersepit dan memerlukan. Jadi hari ini boleh dipertanyakan kembali, apakah nilai yang telah dipupuk pada elit dan masyarakat selama ini?

Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.