Tahun 2024 ini merupakan tahun yang dipenuhi dengan pilihan raya. Dimulai dari pilihan raya presiden di Indonesia, India, Perancis, dan menjelang hujung tahun ini, Amerika Syarikat bakal mengadakan pilihan raya presiden mereka pula.
Pilihan raya pada kali ini tertumpu kepada pertarungan antara Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris dan mantan Presiden AS, Donald Trump. Meskipun pada awalnya Joe Biden dilihat bakal mempertahankan jawatan presiden yang dimenanginya pada tahun 2020, namun beliau terpaksa menarik diri akibat dikritik oleh ramai pihak susulan daripada prestasi merudum yang ditampilkannya dalam debat perdana pada awal bulan lalu di samping ketidakmampuan beliau untuk memimpin negara kuasa besar itu lagi.
Semestinya liputan media pada pilihan raya presiden kali ini akan lebih tertumpu kepada kedua calon tersebut seolah-olah hanya mereka berdua sahaja yang bertanding, padahal ada calon lain yang bertanding dalam pilihan raya nanti.
Umum diketahui bahawa pilihan raya presiden AS selalunya melibatkan pertempuran di antara dua parti umum di sana iaitu Parti Republikan dan Parti Demokrat. Republikan atau dipanggil Grand Old Party (GOP) merupakan parti yang berideologikan konservatif manakala Demokrat pula merupakan parti yang memegang kepada nilai liberalisme.
Ada beberapa calon lain yang bertanding pada pilihan raya kali ini, namun calon bebas yang perlu diberi perhatian oleh warga AS selain daripada Harris dan Trump ialah Robert F Kennedy Jr yang bertanding atas tiket calon bebas.
Beliau datang daripada dinasti keluarga yang dihormati di Amerika Syarikat iaitu keluarga Kennedy di mana ayahnya, Bobby Kennedy merupakan Peguam Negara pada era pentadbiran John F Kennedy dan pernah bertanding sebagai calon presiden pada 1968 manakala bapa saudaranya, John F Kennedy pula adalah Presiden Amerika Syarikat dan berkhidmat dari tahun 1961 hingga kematiannya pada 1963 akibat dibunuh.
Robert Kennedy Jr atau mesra dipanggil RFK JR berusia 70 tahun merupakan seorang peguam alam sekitar selain turut dikenali sebagai aktivis antivaksin yang didakwa seringkali menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai vaksin ketika pada zaman Covid-19. Beliau sebelum ini bertanding sebagai calon Presiden Demokrat menentang Biden, namun pada Oktober lalu beliau menarik diri dan memutuskan untuk bertanding atas tiket calon bebas.
RFK JR sering dilabel oleh media arus perdana sebagai sosok yang mempromosikan teori konspirasi yang melibatkan sistem kesihatan awam di sana terutamanya berkaitan dengan vaksin Covid-19 di mana beliau mendakwa vaksin boleh mendatangkan penyakit autisme sehingga mengundang kecaman dari ramai pihak termasuk dari ahli keluarga beliau sendiri.
Meskipun beliau hanya merupakan calon ketiga sahaja, namun pemerhati politik di AS menjangkakan beliau mampu menarik undi daripada pengundi konservatif dan juga pengundi liberal, itu merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian yang serius juga.
Ini dapat dilihat melalui laporan media di sana yang melaporkan bahawa Trump telah menghubungi Kennedy sehari selepas beliau menghadapi percubaan membunuh di Pennsylvania dimana Trump didakwa menawarkan jawatan kepada Kennedy untuk berkhidmat di dalam pemerintahannya andai beliau menang dalam pilihan raya pada November nanti.
Ada pandangan beliau dalam beberapa isu di AS agak tidak konsisten di mana pandangan beliau ada yang boleh dikategorikan sebagai pandangan liberal, manakala ada pandangannya juga kadangkala dianggap sebagai konservatif.
Misalnya, dalam isu keguguran beliau lantang mempertahankannya dengan alasan bahawa adalah menjadi hak kepada wanita yang ingin menggugurkan kandungannya walaupun tindakan tersebut merupakan suatu tragedi. Manakala dalam isu imigrasi pula, beliau berpendapat bahawa isu ini merupakan isu kemanusiaan, dan berpendapat bahawa krisis tersebut dapat ditangani dengan menggunakan teknologi sepenuhnya seperti kamera bagi membendung krisis tersebut.
Di samping itu, beliau lantang mengkritik polisi Trump yang merancang untuk membina dinding di sepanjang sempadan negara tersebut dengan Mexico dan juga mengkritik pentadbiran Biden yang dilihat gagal menangani krisis imigrasi yang semakin teruk di selatan negara itu.
Walaupun kemungkinan untuk menang dalam pilihan raya kali ini dilihat agak sukar, tetapi mengapa tidak berikan peluang kepada calon bebas yang mewakili blok ketiga untuk memenangi pilihan raya November ini, kerana rakyat Amerika semestinya sudah bosan dan muak melihat kepada ahli politik di negara kuasa besar tersebut yang tidak habis berpolitik 24 jam dan tidak bekerja sepenuhnya untuk rakyat.
Bahkan, kalau kita lihat dari pilihan raya sebelum ini pun, bukannya tidak ada calon bebas yang pernah bertanding dalam pilihan raya presiden AS. Sebagai contoh, tahun 1992 Ross Perot, usahawan dari Texas pernah bertanding sebagai calon bebas melawan Bill Clinton dari Demokrat dan George H.W Bush dari Republikan dan meskipun tidak berjaya memenangi pilihan raya tersebut tetapi beliau berjaya memperoleh sebanyak 19 juta undian, jumlah undian paling banyak yang diperolehi oleh calon yang bukan datang dari mana-mana parti politik.
Kemunculan calon bebas ini sebenarnya merupakan satu perkara yang sihat di dalam demokrasi. Hal ini demikian kerana mereka telah memberikan satu alternatif yang baharu ataupun dalam bahasa mudahnya lain daripada yang lain sehingga membuatkan pengundi tertarik untuk mengundi calon bebas berbanding dengan calon lain.
Di samping itu, pengundi dapat meluahkan rasa ketidakpuashatian mereka kepada ahli-ahli politik ini dengan mengundi calon yang berada di luar lingkungan sistem politik yang kalau kita lihat terang-terang dikuasai oleh pelobi supaya dapat memberi peringatan kepada mereka tentang janji-janji yang mereka telah taburkan semasa proses berkempen.
Kuasa mengundi berada di tangan rakyat AS. Mereka berhak untuk memilih pemimpin yang dirasakan mereka layak untuk memimpin negara kuasa besar tersebut kerana itu adalah sebahagian daripada proses demokrasi. Manakala pemimpin yang dipilih nanti harus bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai isu global yang dihadapi di antaranya ialah isu perang Ukraine-Russia yang tidak berkesudahan, kebangkitan China dan Russia yang dianggap sebagai ancaman terhadap AS dan paling penting isu Palestin-Israel yang tidak pernah mencapai kata putus.
(Artikel ini adalah tulisan saudara Naufal Durokhman dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.