PRN Melaka: Ujian Litmus Untuk PRU15?

Lama sebelum ini, saya pernah menulis tentang prospek pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekitar Mac 2021. Dalam artikel itu, saya menjelaskan bagaimana PRU15 akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara tiga blok politik utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Di dalam artikel tersebut, saya menggariskan bagaimana komposisi setiap blok politik tersebut dan kekuatan masing-masing dalam menghadapi PRU15 nanti. Turut saya jelaskan sayap politik setiap dari mereka dengan PN di sayap kanan, PH di sayap kiri dan BN dilihat berada di tengah mengimbangi keduanya. Saya juga menjelaskan bagaimana Gagasan Sejahtera (GS), blok politik yang dikepalai PAS ketika PRU14 dahulu telah diganti oleh PN dengan BERSATU sebagai ‘abang besar’ dalam gabungan itu.

Pertembungan antara 3 blok politik utama ini pernah berlaku ketika PRN Sabah pada September 2020, walaupun tidak melibatkan semua kerusi DUN dan berlaku melalui pertalian rumit melibatkan pelbagai parti kebangsaan dan kenegerian (BN dan PN akhirnya bergabung membentuk kerajaan GRS dengan disokong oleh PBS, manakala WARISAN Plus adalah nama yang digunakan bagi mewakili konsep gabungan PH dan parti WARISAN).

Berbeza kali ini dengan PRN Melaka, pertembungan tiga blok politik ini lebih jelas dan mudah dihadam. Tidak ada perjanjian strategik melibatkan parti kecil lain dan kesemua tiga blok politik utama kini akan bertanding melawan satu sama lain di semua 28 kerusi DUN Melaka.

Maka tidaklah menghairankan jika PRN Melaka 2021 ini menyaksikan jumlah calon bertanding paling ramai seramai 112 orang calon, 84 dari calon tersebut datang dari BN, PH dan PN. Baki lagi 28 calon terdiri dari PUTRA seramai 5 calon, IMAN (1 calon) dan selebihnya calon Bebas seramai 22 orang. Seperti yang lazim kita lihat dalam PRU14 atau PRN Sabah 2020, pertembungan pelbagai penjuru kerap menarik penyertaan parti-parti kecil atau calon Bebas yang mahu mencuba nasib dengan mengambil kesempatan dari berlakunya pecahan undi.

Lantaran bagaimana kita mahu menduga keupayaan dan peluang setiap tiga blok politik utama ini?

Barisan Nasional

BN menyertai PRN Melaka akibat pengkhianatan di dalam parti mereka sendiri. Tindakan Idris Haron dan Nor Azman Hassan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri ketika itu, Sulaiman Md Ali membawa padah kepada tumbangnya kerajaan negeri yang mencetus kepada PRN.

Melaka sejak sekian lama adalah sinonim sebagai sebuah negeri BN. Ia tidak pernah jatuh ke tangan parti lawan dan boleh dianggap stabil atau ‘selamat’ untuk BN. Tetapi PRU14 mengubah senario ini, walaupun kekalahan BN adalah tipis dengan hanya 13 kerusi DUN berbanding 15 yang dimenangi PH.

Justeru PRN Melaka adalah medan tempur penting buat BN untuk menilai kembali sama ada mereka sudah kembali mempunyai kekuatan dan sokongan pengundi pra-PRU14. Dan jika dilihat pada kedudukan semasa, BN sememangnya berada dalam kedudukan terbaik untuk mengekalkan penguasaan mereka di Melaka.

Namun, pengkhianatan oleh Idris Haron dan Nor Azman Hassan boleh menjadi faktor yang menjejaskan peluang BN untuk mencapai majoriti mudah 15 kerusi yang diperlukan. Selain itu, pertembungan dengan PN di semua 28 kerusi DUN walaupun kedua-dua blok politik ini membentuk kerajaan Persekutuan boleh menjejaskan jumlah pungutan undi BN.

Harus diingat, kekalahan BN ketika PRU14 berpunca dari pertembungan tiga penjuru di kebanyakan kerusi parlimen dan DUN seluruh negara.

Pakatan Harapan

PH menyertai PRN Melaka dengan membawa harapan untuk kembali merampas negeri ini dan meletakkan kerajaan negeri PH seperti mandat yang diberikan rakyat pada PRU14 lalu. Bagaimana kerajaan PH Melaka tumbang adalah juga kesan pengkhianatan apabila Norhizam Hassan Baktee (PH-DAP) dan Noor Effandi Ahmad (PH-BERSATU) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pasca Langkah Sheraton. Mereka berdua kemudiannya bertindak menyertai Idris Haron dan Nor Azman Hassan untuk menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali yang mencetus kepada PRN Melaka 2021.

PH melakukan tindakan yang betul apabila menolak kedua-dua pengkhianat ini dari dicalonkan dalam PRN kali ini. Tetapi sayangnya pada masa yang sama menerima Idris Haron dan Nor Azman Hassan sebagai calon PH. Ia pastilah satu langkah realpolitik, tetapi walaupun digula-gulakan dengan istilah ‘Katak Berprinsip’ atau sebagainya ia tetap kelihatan jelek di mata umum.

Tidak mustahil tindakan realpolitik tersebut boleh menjejaskan peluang PH untuk memenangi PRN ini.

Pun begitu peluang PH untuk menang masih ada. Ada beberapa kerusi selamat untuk PH dan angkanya mungkin sekitar 6 atau 7 kerusi, hampir separuh dari angka 15 untuk mencapai majoriti mudah. Pertembungan BN dan PN juga memberikan peluang cerah buat PH merampas beberapa kerusi tertentu.

Namun untuk PH benar-benar menang dan boleh membentuk kerajaan negeri, majoriti mudah 15 kerusi adalah angka minima yang wajib dicapai by hook or by crook.

Perikatan Nasional

Faktor PN adalah punca kenapa PH wajib mencapai majoriti mudah. Tanpa majoriti mudah, PH boleh sahaja menang lebih banyak kerusi berbanding BN dan PN tetapi itu tidak cukup, apatah lagi dalam politik Malaysia ‘kerajaan minoriti’ adalah satu konsep yang asing.

PN dilihat sebagai blok politik paling lemah dalam PRN ini. Mereka masih baru dan tidak ada akar umbi yang kuat. Walaupun BERSATU pernah memenangi 2 kerusi DUN ketika PRU14, kita semua tahu ia berlaku kerana faktor sokongan pengundi PH. Kini dengan tidak berada bersama PH, sukar untuk kita melihat BERSATU menarik jumlah undi yang sama apa lagi untuk mendapatkan lebih banyak undi.

Kehadiran PAS dalam PN mungkin memberikan blok ini sedikit kekuatan tetapi harus diakui sokongan kepada PAS di negeri Pantai Barat tidak sama seperti di Pantai Timur. GERAKAN pula dilihat bukanlah parti yang mampu menarik sokongan besar, sama seperti MCA di dalam BN malahan jauh lebih teruk lagi.

Akan tetapi, kelemahan PN yang ketara ini tetap menjadikan ia dark horse dalam persaingan tiga penjuru di semua 28 kerusi. Mungkin akan ada satu atau dua kerusi yang dimenangi PN susulan perpecahan undi. Apabila kerta undi sudah habis dikira nanti, tidak mustahil BN dan PH hampir sama dari jumlah kerusi yang dimenangi dan di sinilah satu atau dua kerusi PN tadi menjadi faktor penentu siapa yang akan membentuk kerajaan.

Kemungkinan yang paling besar adalah kerajaan negeri Melaka bakal dibentuk mengikut acuan yang sama di peringkat Persekutuan sekarang.

Ujian Litmus PRU15

Ternyata, peluang PH untuk membentuk kerajaan di Melaka adalah dengan majoriti mudah. Manakala untuk BN dan PN, gabungan kerusi antara keduanya jika cukup untuk membentuk majoriti akan membuatkan dua blok politik ini kembali tidur sebantal demi kuasa dan jawatan.

PRN Melaka adalah ujian litmus untuk PRU15 bagi semua parti yang bertanding. Ia adalah ujian untuk BN melihat jika mereka boleh mengekalkan formula tiga sekawan UMNO-MCA-MIC untuk memenangi PRU15. Ia adalah ujian untuk PH menilai jika mereka mempunyai kekuatan tersendiri atau masih perlu mengharapkan pertembungan tiga penjuru untuk memecah undi. Ia adalah ujian untuk PN menduga jika mereka sudah boleh diterima oleh pengundi sebagai blok ketiga yang baharu dalam kancah politik negara.

Apa yang pasti, PRU15 nanti akan berlaku pertembungan tiga penjuru yang sama melibatkan BN, PH dan PN.

Konflik antara BN dan PN memang akan berulang tetapi perlu kita fahami bahawa ia adalah konflik melibatkan ego dan status antara keduanya. Usai PRN Melaka, dan usai PRU15 nanti kedua blok ini boleh sahaja bergabung kembali kononnya atas konsep perpaduan ummah demi bangsa dan agama.

Komen