PRU15 Dan Prospek Pertembungan Tiga Penjuru (Sekali Lagi)

Walaupun pandemik Covid-19 masih belum reda, namun cakap-cakap tentang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sudah pun mula berkumandang. Apatah lagi, dengan tibanya vaksin dan proses vaksinasi yang giat dijalankan, pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) sendiri seperti sudah yakin bahawa situasi kesihatan akan mengizinkan PRU15 diadakan dalam penggal separuh kedua tahun ini.

Jika ini benar berlaku, maka berkemungkinan besar kita bakal melihat senario pertembungan tiga penjuru sekali lagi seperti PRU14 yang lalu, khususnya di kerusi-kerusi parlimen dan DUN di Semenanjung. Ada dua asas yang memungkinkan senario ini berlaku.

Yang pertama, pengalaman dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 (PRN Sabah 2020) di mana majoriti kerusi DUN menyaksikan pertembungan tiga penjuru atau lebih, termasuklah di kalangan pakatan elektoral Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri dari PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). GRS sendiri bertembung sesama sendiri di 17 dari 73 kerusi DUN yang dipertandingkan, petanda tidak wujudnya persefahaman yang kohesif antara parti komponen dalam pakatan itu.

Yang kedua, iklim politik semasa terutama sekali melibatkan kem PN dan BN, atau lebih tepat lagi antara BERSATU dan UMNO yang kini sudah retak hubungannya. Konfrontasi antara dua parti Melayu ini dirumitkan lagi dengan kewujudan pihak ketiga iaitu PAS, satu lagi parti Melayu yang menunggang agama dan dilihat sedang menyelam di dalam dua kolam.

Justeru, pengalaman dari PRN Sabah 2020 dan iklim politik semasa menunjukkan pertembungan tiga penjuru berkemungkinan besar bakal berlaku dalam PRU15 nanti. Kemungkinan pertembungan tiga penjuru ini akan melibatkan gabungan politik yang terdiri dari PN, BN dan Pakatan Harapan (PH).

Perikatan Nasional

Pada masa ini, gabungan politik PN adalah terdiri dari BERSATU, PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN.

PN adalah gabungan politik yang masih tetapi ia menguasai kerajaan yang ada pada hari ini. Malahan kerajaan hari ini dirujuk sebagai kerajaan PN meskipun ia masih memerlukan sokongan dari BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan 3 hali parlimen Bebas untuk membentuk kerajaan.

PN menguasai 53 kerusi parlimen, dengan BERSATU menyumbangkan sejumlah 31 kerusi, diikuti PAS dengan 18 kerusi dan 1 dari PBS. Dua parti komponen lain di dalam PN iaitu SAPP dan GERAKAN bagaimanapun tidak mempunyai kerusi parlimen.

Sebagai gabungan yang menguasai kerajaan, PN dilihat mempunyai kelebihan menggunakan jentera pilihan raya sewenangnya seperti yang pernah dilakukan BN dahulu. Namun sebagai gabungan politik yang baru setahun jagung, sokongan rakyat ke atas PN masih diragui jumlahnya.

Barisan Nasional

Pertembungan tiga penjuru yang dijangka sebenarnya bergantung pada pendirian BN dan UMNO khususnya. Jika dilihat pada strategi yang digunakan sejak Langkah Sheraton, ada usaha dari BERSATU dan PN untuk melemahkan UMNO dan BN lalu menyerap mereka ke dalam PN.

Tetapi senario politik kebelakangan ini menonjolkan pendirian UMNO yang enggan bekerjasama dengan PN pada PRU15. Dalam erti kata lain, UMNO tekad untuk bergerak sendiri dalam PRU15 nanti dan tidak teragak-agak untuk bertanding melawan BERSATU dan PN di kerusi tertentu.

Kesetiaan MCA dan MIC, dua lagi parti komponen BN dan rakan baik UMNO untuk tidak keluar barisan dan menyertai perikatan juga adalah petanda bahawa BN masih utuh sebagai satu gabungan politik. Komposisi kerusi BN pada masa ini terdiri dari UMNO (38), MCA (2), MIC (1) dan PBRS (1), yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 42 kerusi di dalam Dewan Rakyat.

Walaupun jumlah kerusi ini jauh lebih kecil berbanding yang dimiliki PN, namun kekuatan BN sebagai sebuah parti yang paling lama memerintah dan sokongan kuat dari akar umbi bakal memberikan kelebihan buat mereka pada PRU15 nanti.

Pakatan Harapan

PH telah melalui sekian banyak perubahan sejak PRU14 hinggalah ke Langkah Sheraton dan kini. Keluarnya BERSATU dari PH yang turut membawa beberapa ahli parti komponen PH yang lain untuk lompat parti telah meruntuhkan kerajaan 22 bulan PH yang digemburkan bakal membawa wadah ‘Malaysia Baharu’.

Kini, PH hanya menguasai 89 kerusi parlimen berbanding 113 yang dimenangi ketika PRU14. Walaupun masih kekal blok gabungan politik dengan jumlah kerusi terbesar, PH bagaimanapun tidak memperolehi majoriti mudah dan tidak boleh membentuk kerajaan minoriti selagi PN dan BN masih sanggup tidur sebantal di Putrajaya.

Komposisi kerusi milik PH terdiri dari DAP (42), PKR (36) dan AMANAH (11). Berbeza dengan PN dan BN, tiada ‘parti abang besar’ dalam PH walaupun ada kalanya PKR dilihat sebagai de facto leader dalam PH, melalui pemimpinnya Anwar Ibrahim. Ini agak janggal, kerana jika dinilai dari komposisi kerusi parlimen amat jelas DAP adalah parti komponen dengan kerusi terbanyak.

Lantaran itu cabaran PH adalah untuk mengekalkan kesatuan mereka dalam potensi pertembungan tiga penjuru pada PRU15 nanti. Gelombang tsunami yang diperolehi pada PRU14 sudah tidak boleh diharapkan lagi, apa lagi dengan tiadanya BERSATU sebagai parti Melayu dalam gabungan (seperti UMNO dalam BN). PH perlu berdepan PRU15 dengan strategi dan iltizam yang baharu.

Pertembungan Tiga Penjuru

Ketiga gabungan politik yang disebut tadi sudah pasti akan bertembung di kebanyakan kerusi-kerusi parlimen di Semenanjung dan tidak mustahil juga di Sabah. Sebagai tiga blok terbesar dalam Dewan Rakyat, pertembungan sesama mereka sudah pasti tidak dapat dielakkan.

Senario ini sama seperti apa yang berlaku pada tahun 2018 ketika PRU14. Tetapi ibarat ungkapan ‘sama tapi tak serupa’, wujud perbezaan dari segi rupa gabungan politik dalam tiga penjuru ini.

Dalam PRU14, tiga blok yang wujud adalah terdiri dari BN, PH dan Gagasan Sejahtera (GS). GS pada ketika itu terdiri dari parti PAS dan dua parti komponen lain iaitu BERJASA dan IKATAN, selain tiga rakan strategik iaitu parti PCM, PAP dan PHM. GS yang membawa ideologi Konservatisme Islam bertanding di 161 kerusi tapi hanya menang 21 kerusi (semuanya oleh calon PAS).

PRU15 akan menyaksikan senario yang sama tetapi tidak serupa kerana tempat GS akan diambil alih oleh PN. Yang membezakan antara GS dan PN ialah ideologi yang tidak berpaksikan Islam sahaja, tetapi turut mengangkat konservatisme nasionalis dan populisme sayap kanan, mengikut pada acuan parti komponen terbesar dalam PN iaitu BERSATU.

Namun, senario tiga penjuru ini masih bergantung sepenuhnya kepada sejauh manakah UMNO dan BN serius dalam bergerak sendiri tanpa tunduk kepada PN.

Jika dilihat secara kasar, antara tiga blok gabungan politik ini setiap dari mereka berada dalam spektrum politik yang berlainan. PN dilihat lebih kepada far right dengan kewujudan BERSATU dan PAS di dalamnya, sedang PH pula boleh diunjur sebagai centre left berdasarkan dua parti komponen terbesar iaitu DAP dan PKR. BN pula, sebenarnya boleh dilihat berada di tengah jika UMNO mengambil pendekatan moderat dan tidak terjebak dalam politik perkauman sebaliknya kembali pada konsensus dan kerjasama tiga sekawan iaitu UMNO-MCA-MIC.

Jika kepimpinan BN bijak, mereka akan mengambil jalan tengah ini untuk menang dalam pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 nanti.

Komen