Apabila Dewan Negeri Johor dibubarkan awal sebelum tamat penggal, telah timbul bermacam persoalan tentang tindakan tergesa-gesa Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi.
Salah satu khabar angin yang tersebar luas adalah tindakan membubarkan dewan bukannya keputusan unilateral oleh UMNO sebagai parti utama dalam pemerintahan kerajaan negeri, tetapi dibayangi oleh pihak lain yang mahukan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan sekarang.
Beberapa perkembangan mutakhir sejak dewan dibubarkan dan bermulanya proses penamaan calon dan tempoh berkempen akhirnya telah mengukuhkan khabar angin yang tersebar luas itu.
PRN Johor tidak lagi boleh dibaca sebagai pertarungan biasa antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Ia kini telah beralih kepada satu persoalan lebih besar. Sejauh mana proses demokrasi di Johor benar-benar bebas daripada pengaruh bukan parti politik, khususnya apabila kenyataan-kenyataan dari istana mula masuk ke ruang pertarungan naratif pilihan raya?
Komen Tunku Mahkota Johor mengenai Kerajaan Persekutuan yang dikatakan “membocorkan” Johor mungkin teguran mengenai federalisme fiskal. Johor memang mempunyai asas mendakwa negeri itu menyumbang hasil besar kepada negara dan berhak menuntut pulangan pembangunan yang lebih adil. Namun masalahnya ialah apabila teguran sedemikian dibuat dalam suasana politik negeri yang sedang panas menjelang PRN. Walaupun isu hasil negeri wajar dibahaskan, suara istana yang terlalu dominan berisiko dilihat mencampuri perdebatan politik yang sepatutnya ditentukan oleh parti, calon dan rakyat melalui peti undi.
Dalam demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, institusi diraja dihormati kerana kedudukannya berada di atas politik kepartian. Tetapi apabila kenyataan yang keluar mula menyerang pihak tertentu dan mengkritik kerajaan tertentu, persepsi awam boleh berubah. Rakyat mungkin bertanya adakah ini sekadar pandangan seorang raja mengenai kepentingan negeri, atau ia sudah menjadi isyarat politik menjelang pilihan raya?
Tidak cukup dengan teguran terbuka sebegitu, kritikan yang mensasarkan wakil rakyat tertentu juga turut berlaku. Tetapi dalam hal ini kritikan terhadap Syed Saddiq kelihatan memakan diri. Apabila seorang wakil rakyat seperti Ahli Parlimen Muar dikritik kesannya tidak semestinya melemahkan beliau. Sebaliknya ia mengukuhkan imej Syed Saddiq sebagai seorang ahli politik muda yang berani berdiri dalam ruang demokrasi, walaupun berdepan tekanan daripada figura yang jauh lebih besar dari segi kedudukan sosial dan institusi. Kritikan tersebut bahkan boleh menguntungkan Ahli Parlimen Muar itu sendiri kerana pengundi muda khususnya cenderung melihat keberanian melawan tekanan sebagai nilai politik yang positif.
Tapi apa yang lebih memburukkan keadaan BN Johor ialah dakwaan Datuk Dr. Puad Zarkashi selepas beliau mengumumkan keluar dari UMNO. Puad bukan ahli UMNO picisan. Beliau bekas Speaker DUN Johor, bekas ADUN Rengit dan tokoh lama UMNO. Apabila beliau mendakwa UMNO Johor tidak bebas membuat keputusan serta dikawal oleh istana, dakwaan itu tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Ia merupakan tuduhan politik yang sangat serius terhadap struktur kuasa UMNO Johor itu sendiri.
Dakwaan Puad bahawa pembubaran DUN Johor dibuat atas titah istana, sekiranya tidak dijawab dengan meyakinkan, akan meninggalkan kesan besar kepada kredibiliti BN. Ia menimbulkan gambaran bahawa keputusan strategik parti bukan lagi lahir daripada musyawarah parti, suara akar umbi atau pertimbangan rakyat, tetapi daripada kehendak kuasa di luar parti. Dalam bahasa politik yang lebih mudah, UMNO Johor berisiko dilihat bukan lagi parti yang mewakili rakyat negeri Johor, tetapi parti yang dipimpin oleh istana.
Kedudukan Onn Hafiz Ghazi juga kini menjadi semakin rumit. Beliau cuba tampil sebagai Menteri Besar muda, bertenaga dan segar dengan pendekatan baharu. Namun naratif yang kini melekat ialah beliau tidak cukup bebas dan tidak cukup berani. Dakwaan Puad bahawa Onn Hafiz takut berdebat dengan Dr. Maszlee Malik dari PH menambah luka politik yang sedia ada.
Apabila seorang Menteri Besar enggan berdebat dengan alasan bahawa berdebat bukan budaya Johor, alasan itu nampak dangkal. Debat bukan budaya asing dalam demokrasi. Malah, debat atau perbahasan adalah asas kepada institusi Dewan Undangan Negeri sendiri. Jika kerajaan mempunyai rekod yang baik, majoriti yang kuat dan dasar yang meyakinkan, debat sepatutnya menjadi pentas untuk memperkukuh kedudukan.
Akibatnya, label “Menteri Besar boneka” atau “yes boy” kini semakin sukar ditangkis oleh Onn Hafiz. Benar, label itu bersifat politik dan datang daripada lawan serta pengkritik. Namun dalam kempen pilihan raya, persepsi kadang-kadang lebih kuat daripada penjelasan teknikal. Sekiranya pengundi percaya bahawa Menteri Besar tidak bebas membuat keputusan, maka segala pencapaian pembangunan boleh tenggelam di sebalik satu soalan mudah: siapa sebenarnya yang mentadbir Johor?
Inilah risiko terbesar kepada BN dalam PRN Johor nanti. BN mahu menjual kestabilan dan kekuatan parti mentadbir negeri. Tetapi isu yang sedang muncul bukan lagi soal jalan, air atau pelaburan semata-mata. Isunya ialah kebebasan politik negeri. Jika pengundi melihat BN Johor sebagai terlalu tunduk kepada istana, PH dan PN akan mendapat peluru kempen yang besar. PH boleh membawa naratif demokrasi dan semak imbang, manakala PN boleh menyerang BN sebagai parti lama yang hilang maruah politik.
PRN Johor akhirnya boleh menjadi referendum terhadap tiga perkara: hubungan negeri dengan Persekutuan, peranan istana dalam politik, dan keberanian kepimpinan Onn Hafiz. Dalam keadaan biasa, BN mungkin masuk gelanggang dengan kelebihan jentera dan rekod pentadbiran. Tetapi apabila isu “siapa sebenarnya membuat keputusan” mula mendominasi, kelebihan itu boleh terhakis.
Demokrasi Johor tidak boleh hanya kelihatan stabil di permukaan. Ia mesti diyakini bebas, terbuka dan dipandu oleh mandat rakyat. Jika BN gagal menjawab dakwaan Puad, gagal menjarakkan diri daripada persepsi campur tangan istana, dan gagal menampilkan Onn Hafiz sebagai pemimpin yang benar-benar bebas dan berwibawa, maka PRN Johor boleh menjadi medan di mana kekuatan BN bertukar menjadi beban politiknya sendiri.
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.









