Politik Melayu Pasca PAU2020

Sebelum ini saya pernah menulis tentang kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. Kemungkinan ianya berlaku melibatkan 3 blok politik yang besar, iaitu Perikatan Nasional (PN) yang terdiri dari BERSATU, PAS dan GERAKAN; Barisan Nasional (BN) yang terdiri dari UMNO, MCA dan MIC serta Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, DAP dan AMANAH. Pertembungan tiga blok besar ini dijangka akan berlaku di kebanyakan kerusi parlimen di Semenanjung.

Selepas melihat nada dan pendirian yang diambil dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) hujung minggu sudah, kemungkinan berlakunya pertembungan tiga penjuru ini sudah hampir pasti. Ini kerana hubungan dua parti Melayu, UMNO dan BERSATU sudah jelas tidak mempunyai sebarang harapan untuk kembali mesra seperti bulan-bulan awal pasca Langkah Sheraton. Malahan, hubungan antara UMNO dan PAS juga sudah menunjukkan bibit keretakan ketika PAU2020, tidak lagi semesra ketika mereka berpegangan tangan meraikan Muafakat Nasional (MN) dalam dewan yang sama satu masa dahulu.

Melihat kepada situasi semasa ini, kita boleh bersetuju bahawa politik Melayu yang dijaja dengan agenda penyatuan ummah dan kuasa Melayu kini sudah menemui jalan buntu. Selepas sekian lama menunggang sentimen bahawa Melayu terancam, dominasi bukan Melayu dalam kerajaan PH dan semuanya ‘salah DAP’, kini apa yang kelihatan adalah lebih tentang soal siapa yang mahu jadi ‘abang besar’ dan siapa yang lebih layak bertanding di kerusi-kerusi majoriti Melayu.

Seperti diduga, UMNO sentiasa melihat dirinya sebagai ‘abang besar’ politik Melayu. Pada UMNO, politik Melayu adalah milik mereka, begitu juga segala persoalan tentang Melayu berkaitan kepentingan atau nasib orang Melayu. UMNO melihat diri mereka sebagai juara orang Melayu dan tidak ada parti lain yang setaraf dengan UMNO dalam memperjuangkan bangsa Melayu, baik BERSATU mahu pun PAS.

Kepercayaan ini sangat menebal dalam UMNO dan kita boleh lihat ianya diulang sebut ketika PAU2020 oleh Ketua Pemuda, Timbalan Presiden bahkan oleh Presiden UMNO sendiri. Dan ia diulang serta disorak oleh perwakilan-perwakilan yang hadir.

Perlu diakui, kepercayaan yang menebal dalam UMNO itu ada asasnya. UMNO adalah parti Melayu yang wujud di semua negeri dalam Malaysia kecuali Sarawak. Dan kewujudan mereka di negeri-negeri itu bukan sekadar cukup syarat. Di Pulau Pinang yang sekian lama dikuasai DAP, ada UMNO. Di Kelantan yang juga sekian lama dikuasai PAS, ada UMNO. Bahagian UMNO wujud di kawasan parlimen seperti Tanjong, Kepong, Seputeh atau Bukit Bintang, kawasan yang mencatatkan pengundi bukan Melayu hampir 90%. Hampir tiada kerusi parlimen di Malaysia (kecuali di Sarawak) yang tiada orang UMNO di dalamnya.

Dengan kewujudan di setiap kawasan itu, UMNO mempunyai akar umbi yang kuat. Pendek kata di mana sahaja kerusi ditandingi BN, ada orang UMNO yang menjalankan tugas walaupun kerusi itu calonnya dari MCA atau MIC, dua sekutu UMNO dalam BN yang pasca PRU14 dilihat semakin lemah.

Kekuatan akar umbi ini pula dibajai oleh kewujudan apa yang selalu kita gelar sebagai warlords atau hulubalang. Budaya warlords ini saya lihat eksklusif dalam UMNO dan hampir tidak dipraktiskan oleh mana-mana parti politik lain. Ia adalah tradisi dalam UMNO yang dibudayakan selama berpuluh tahun lamanya. Mungkin ada parti lain yang cuba meniru konsep warlords ini, BERSATU contohnya tetapi percayalah ianya memakan masa. BERSATU boleh sahaja menaburkan pelbagai habuan atau ganjaran tetapi untuk melahirkan satu warlords dengan sokongan akar umbi yang setia ianya tidak boleh dilakukan dalam tempoh sekadar beberapa tahun.

Berpegang kepada tiga perkara tadi, kewujudan UMNO di hampir setiap kawasan parlimen, sokongan akar umbi dan adanya warlords atau hulubalang maka dakwaan UMNO bahawa mereka adalah ‘abang besar’ politik Melayu (bahkan mungkin juga Malaysia) tidak boleh dikesampingkan dengan mudah.

Atas sebab itu jugalah, pendirian UMNO ialah untuk tidak mengakui kewujudan satu lagi parti politik Melayu yang akan mencabar reputasi dan dominasi UMNO. Dalam kes ini, BERSATU diihat pesaing paling nyata kerana ianya sebuah parti yang berteraskan orang Melayu walaupun dalam keghairahan Muhyiddin Yassin mahu mendapatkan sokongan, BERSATU telah menerima sahaja kemasukan ahli parlimen dan DUN bukan Melayu ke dalam parti itu.

Pendirian UMNO terhadap BERSATU ini bagaimanapun berbeza dengan pendirian mereka terhadap PAS. Sebaliknya, UMNO melihat PAS sebagai rakan strategik yang diperlukan. Ini kerana PAS mendapat sokongan dari kelompok Melayu ultra konservatif dan cenderung agama seperti di wilayah Pantai Timur dan rantau utara Semenanjung, kawasan di mana UMNO tidaklah begitu dominan. Kerana tiadanya pertindihan ini maka untuk UMNO, mereka boleh bersekutu dengan PAS di bawah MN tetapi tidak sama sekali dengan BERSATU.

Cuma seperti apa yang kita lihat berlaku sejak Langkah Sheraton, hubungan UMNO-PAS di bawah MN kini retak menanti belah. PAS yang kini secara rasmi menyertai PN dilihat menyelam dalam dua kolam, mengambil keuntungan dari UMNO dan juga BERSATU. Berat untuk kita mengakuinya, tetapi seperti apa yang dikhutbahkan Hadi Awang sejak dulu, PAS kini menjadi king maker sebenar.

Akan tetapi, pendirian yang diambil UMNO dalam PAU2020 menampakkan bahawa ‘abang besar’ tidak akan berdiam diri apabilan kejantanannya dicabar. Jelas, UMNO telah memberikan ultimatum kepada PAS dengan bahasa yang mudah, pilih sama ada mahu bersama UMNO atau BERSATU, tidak boleh terus menyelam dalam dua kolam. UMNO enggan dan tidak mahu diperkotak-katikkan oleh parti yang sejak sekian lama dipanggil mereka sebagai parti lebai dan tok guru pondok.

Maka apa akan jadi denga politik Melayu pasca PAU2020?

Yang paling jelas, hal agenda penyatuan ummah dan sebagainya sudah tamat. Kini dengan PRU15 yang boleh berlaku bila-bila masa dalam dua tahun akan datang, perkara pokok parti-parti Melayu ini tadi adalah kerusi dan kuasa.

Buat UMNO, mereka sedar bahawa status ‘abang besar’ mereka masih ada. UMNO wujud di hampir semua kerusi parlimen, UMNO ada sokongan akar umbi dan UMNO ada hulubalang yang tidak akan berdiam diri memberi laluan kepada pengkhianat dari BERSATU atau penunggang agama dari PAS.

Tidak mustahil, UMNO akan melihat kekuatan dirinya adalah untuk bergerak sebagai parti orang Melayu di bawah panji BN bersama rakan sekutu yang setia sejak dulu iaitu MCA dan MIC.

Dan kita bakal berdepan pertembungan tiga penjuru, seperti yang saya tuliskan sebelum ini.

Komen