Polemik Penerima Vaksin

Baru-baru ini heboh polemik berkenaan golongan yang layak menerima vaksin terlebih dahulu berbanding golongan lain, hingga timbul teguran seorang doktor pakar yang lantang bersuara tentang adanya ADUN dan YB yang potong barisan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Saya faham keresahan yang ditimbulkan oleh doktor pakar tersebut. Saya menghormati beliau sebagai seorang doktor pakar yang hebat dan baik. Malah, saya juga setuju dengan pendapat beliau bahawa mereka-mereka yang terlibat dalam merawat pesakit harus diberi keutamaan untuk menerima vaksin Covid-19.

Tapi, apabila melihatkan situasi sekarang, saya mengambil pendirian berbeza dari sesetengah orang lain termasuklah aksi protes dari sekumpulan pekerja hospital swasta yang bergambar dengan sepanduk mereka belum divaksinasi. Ia adalah dari kumpulan hospital sama di mana salah seorang petugasnya pernah berkata bahawa mereka tidak mahu merawat pesakit Covid-19 di fasiliti swasta.

Saya dibesarkan dengan kisah bagaimana tiga orang tentera Islam yang sedang berperang dan berada dalam keadaan dahaga yang amat sangat. Seorang tentera yang dahaga mempunyai bekalan air tetapi dia sebaliknya memberi air tersebut kepada rakannya. Pelawaan itu juga ditolak dan dia meminta agar air itu diberi kepada seorang rakan yang lain. Seorang rakan lain turut menolak air tersebut dan meminta ia diminum oleh si pemberi air. Akhirnya, ketiga-tiga mereka mati syahid akibat dahaga yang melampau dan terlalu mengutamakan kebajikan orang lain.

Jangan salah faham, saya tidak menyuruh para staf perubatan dijangkiti Covid-19 dan mati syahid!

Saya sedar, ramai orang menjadi resah kerana tidak sabar untuk menerima suntikan vaksinasi. Negara kita boleh dikatakan antara negara yang agak lambat memulakan program vaksinasi ini.

Ketika saya menulis catatan ini, rata-rata hospital dan klinik di Sabah juga belum memulakan program vaksinasi mereka kecuali terhadap pasukan yang terlibat untuk memberi vaksin atau pasukan perubatan standby sekiranya ada komplilasi timbul akibat vaksinasi. Saya sendiri masih tidak diberikan tarikh untuk divaksinasi walaupun telah lebih awal memberi nama untuk disuntik secara sukarela.

Namun demikian, saya berpendapat bahawa kita sebagai petugas perubatan harus berhenti mempunyai altitud bahawa kami adalah segala-galanya (atau mungkin bersifat dewa kecil) kerana kami berhadapan dengan pesakit Covid-19, maka segala tumpuan harus diberi kepada kami. Jika vaksin sampai, kami mesti menerimanya! Saya tahu, kenyataan ini mungkin menimbulkan sedikit rasa tidak senang kepada golongan petugas perubatan lain. Maafkan saya kerana berpandangan sebegini dan ia melukakan hati anda.

Kenapa kita secara tiba-tiba berperang untuk vaksin? Sedangkan, perkara paling terbukti keberkesanannya untuk mencegah Covid-19 adalah pemakaian PPE yang sempurna dan pengamalan norma baru yang konsisten. Adakah negara kita gagal menyediakan keperluan ini terhadap petugas perubatan kita? Pasti sekali tidak. Ia bahkan jauh lebih baik berbanding negara jiran kita yang tidak pun begitu cakna untuk menyediakan kelengkapan ini hingga beratus-ratus petugas kesihatan mati akibat Covid-19.

Lagipun, apa bezanya jika anda lambat divaksin seminggu kerana vaksin bukanlah ubat magik yang menyebabkan anda menjadi kebal dalam masa satu hari atau selepas menerima satu suntikan sahaja? Proses pembentukan imuniti ini mengambil masa sehingga dua minggu selepas suntikan dos kedua vaksin. Oleh itu, pemberian vaksin bukanlah tiket untuk mengabaikan langkah pencegahan dari mendapat Covid-19. Ia cuma sebahagian dari koktail untuk menewaskan pandemik ini.

Saya banyak menerima kes di mana staf keselamatan seperti polis positif Covid-19 setelah bertugas di lapangan di mana mereka dikerumumi masyarakat berisiko tinggi. Mereka ini juga adalah golongan berisiko tinggi.

Kita boleh sahaja menyindir ADUN dan menteri yang kelihatan tidak melakukan tugas di era pandemik ini. Tapi, mereka juga golongan berisiko mendapat Covid-19 apabila turun ke lapangan dan bertemu dengan masyarakat.

Kerana itu, jawatankuasa teknikal pemberian vaksin telah menyenaraikan kategori penerima vaksin. Kategori 1 dan 2 akan menerima vaksin. Melalui pemerhatian saya, majoriti golongan kategori 1 dan 2 adalah penjawat awam. Malaysia sendiri telah membeli 12.8 juta dos vaksin Pfizer sedangkan jumlah penjawat awam di Malaysia adalah sekitar 1.7 juta orang. Ia adalah lebih dari mencukupi apatah lagi ramai penjawat awam tidak mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin tersebut. Malah, kita juga dalam proses membeli lebih banyak vaksin agar sekurang-kurangnya 70-80% populasi dapat diberi suntikan vaksinasi.

Jadi, tidak perlulah berebut. Tenang-tenang aja dan tunggu giliran. Pada masa yang sama, amalkan langkah pencegahan Covid-19 secara konsisten dan efektif.

Komen